Friday, November 7, 2014
Ujian Allah Dari Tiga Golongan
Dalam hidup ini, kita sering berhadapan dengan berbagai ragam manusia. Secara kasar mereka datang dalam tiga golongan: PERTAMA, orang yang MENOLONG ketika kita susah, KEDUA, orang yang MENINGGALKAN ketika kita susah, dan KETIGA, orang yang membawa KESUSAHAN pada kita.
Hidup terasa bahagia andai didampingi oleh golongan PERTAMA yang benar-benar IKHLAS menolong semata-mata kerana Allah. Pada zaman sekarang, golongan pertama amat sukar dicari, tetapi tidak mustahil untuk ditemui. Mereka inilah yang Allah janjikan perlindungan-Nya di Padang Mahsyar ketika seluruh umat manusia dari zaman Nabi Adam a.s hingga ke akhir zaman berhimpun di bawah mentari yang teriknya membakar hingga ke otak.
Paling kerap ditemui dalam hidup ini dari golongan KEDUA. Mereka bergantungan di sekeliling pinggang bagaikan lebah menyeri bunga. Selagi mampu, mereka akan mempergunakan segala apa yang ada pada kita untuk kepentingan diri mereka sendiri dan para kroni, sama ada pangkat dan kedudukan mahupun harta. Sebaik sahaja datang musibah, semuanya menjauhkan diri. Kawan meninggalkan kawan, pasangan meninggalkan pasangan, ibu bapa ditinggalkan anak-anak. Semua penderitaan terpaksa ditanggung sendiri.
Golongan KETIGA paling menyakitkan hati kerana membawa beban dan masalah berat pada mangsa. Sebagai contoh, ramai penjamin yang terpaksa menanggung hutang pinjaman bank yang dibuat oleh kawan (karib) dan ahli keluarga (rapat). Mereka menjual kereta, malah ada yang menjual rumah semata-mata hendak melangsaikan hutang orang lain. Malah ada yang diisytiharkan bankrap.
Rasa marah, sedih dan kesal bercampur-baur menjadi satu. Langsung tidak menyangka diri dipergunakan sewenang-wenangnya oleh orang yang sangat dipercayai. Hidup menderita bagai di lambung tsunami, longlai di terik mentari kemarau. Dalam keadaan kacau-bilau ini hanya ZIKIR, SOLAT dan TAWAKKAL menjadi sumber kekuatan. Inilah yang mengelakkan mangsa dari terjatuh ke lembah DENDAM yang mampu melemahkan kesihatan rohani dan jasmani mangsa, sekali gus menjejaskan kemampuan berfikir secara waras dalam menangani masalah yang berada di hadapan.
Ketahuilah, tiada suatu pun perkara yang berlaku di dunia ini tanpa sebab. Dia melakukannya dengan alasan yang kukuh, walaupun bagi hamba-Nya itu tidak munasabah kerana merasakan diri sudah cukup taat pada perintah-Nya. Ketiga-tiga golongan ini hadir dalam kehidupan kita dengan izin-Nya. Mereka merupakan UJIAN Allah yang ingin memberikan kita PELANGI indah di hujung terowong yang gelap. Kalau selama ini kita merasa kita taat kepada-Nya, Allah menghadirkan golongan ini untuk menguji KEIKHLASAN kita dalam beribadah. Kalau sebelum ini kita jauh, ini cara Dia MENGEMBALIKAN kita ke landasan yang lurus. Dia ingin melihat kita merayu dan memohon belas kasihan-Nya.
Ujian kita hanya sekelumit berbanding ujian yang dilalui para nabi dan rasul yang dikasihi-Nya. Sifat marah dan sedih adalah naluri semula jadi makhluk Allah. Namun jangan biarkan ia mempengaruhi kehidupan harian. Tidak ada baiknya bagi umat Islam untuk terus merintih dan merungut. Tukarkan semua itu menjadi DOA. Ambil iktibar dari pengalaman tersebut dan teruskan mencari dan mencipta kebahagiaan sendiri, dengan cara lain dan dengan orang lain. JANGAN ADA DENDAM DI HATI, JANGAN SIMPAN RASA BENCI, JANGAN DIKENANG TRAGEDI!!! Wallahualam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment