Tuesday, November 18, 2014

ROMEO NOVEMBER DELTA MALAYSIAN one seven

Ramadan Tahun 1435 Hijrah, seluruh dunia sedang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Gaza oleh Israel Defence Forces. Pada masa yang sama banyak negara di dunia melancarkan protes, demo dan pemboikotan produk yang menyokong operasi kekejaman Israel secara besar-besaran. Akibatnya ekonomi Israel terjejas teruk.
Pada 17 Julai 2014, 12.15 tengah hari waktu tempatan, pesawat penumpang Boeing 777- 200 ER milik Malaysia Airlines yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Schipol di Netherlands. Perjalanan dijadualkan mengambil masa 13 jam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur jam 6.10 pagi Jumaat 18 Julai 2014. Pesawat MH17 berusia 17 tahun menggunakan nombor pendaftaran 9M-MRD mula digunakan pada 17 April 1997. Laporan penyenggaraan menunjukkan pesawat itu berada dalam keadaan baik.
Dalam transkrip komunikasi terakhir, ketika melalui ruang udara Ukraine, ROMEO NOVEMBER DELTA MALAYSIAN one seven berkomunikasi dengan DNP (Pengawal Udara di Denpropetrosk, Ukraine) pada jam 13:19:56. ROMEO NOVEMBER DELTA adalah kod laluan yang diguna MH17 sebelum ia ditembak jatuh dan meragut kesemua 298 nyawa. Pada jam 13:20:00 DNP terputus hubungan dengan MALAYSIAN one seven. Pada jam 13:22:05 Rostov (Pengawal Udara di Rostov, Russia) memberitahu DNP bahawa ia juga gagal menghubungi MALAYSIAN one seven. DNP menyatakan pada Rostov “Ya, ia hilang!”
Seluruh dunia gempar bila Malaysia Airlines MH17 diberitakan telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu dan terhempas di Kampung Grabovo, Donetsk, Timur Ukraine, kira-kira 40 km dari sempadan Russia. Amerika Syarikat dan Ukraine sama-sama menuding jari kepada Russia yang dikatakan membekalkan senjata kepada puak pemisah Ukraine pimpinan Alexander Borodai, yang menguasai kawasan nahas. Serta-merta perhatian dunia beralih dari serangan “genocide” 24 jam di Gaza ke Ukraine pula.
Semalam, 17 November 2014, genap 4 bulan pesawat Boeing 777-200 ER milik Malaysia Airlines itu berkecai di ruang udara Timur Ukraine. Ketika menonton siaran dokumentari khas “MH17 ROMEO NOVEMBER DELTA” di TV3 jam 9.00 malam tadi, rasa sayu kembali lagi. 298 nyawa yang tidak berdosa dari 10 negara - Netherlands, Indonesia, Australia, Britain, Belgium, Jerman, Filipina, Kanada, New Zealand. Apakah kesalahan mereka? Mengapa mereka ditembak? Mereka hanya ingin bercuti ke Asia Tenggara, sesetengah lagi pula mahu kembali ke Malaysia berjumpa sanak saudara menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Imej satelit yang didedahkan oleh media Russia menunjukkan pesawat penumpang Boeing 777-200 ER itu diekori oleh jet-jet MIG29. Pesawat malang itu ditembak di kiri, kanan dan atas dengan peluru berpandu dari udara ke udara. Imej itu dipercayai diambil dari satelit Britain atau Amerika Syarikat. Penyebaran imej berkenaan menyebabkan Ukraine bertindak balas dengan mengatakan imej yang diterbitkan oleh penyiaran Russia itu palsu. Nada yang sama turut disuarakan oleh pihak Amerika yang mendakwa ia adalah propaganda Russia untuk mempengaruhi pendapat antarabangsa. Ukraine mendakwa MH17 ditembak oleh sistem peluru berpandu dari darat ke udara BUK yang mampu mengesan objek di udara sejauh 85km. Kumpulan pemisah pro Russia menafikan BUK itu milik mereka, lagipun mereka tiada kepakaran untuk mengendalikannya. Teori lain pula menyebut penembakan itu adalah akibat kesilapan identiti. Yang hendak dimangsakan ialah jet peribadi pemimpin Russia, Vladimir Putin. Jet itu mempunyai logo dan warna yang seakan-akan pesawat MAS.
Apapun, keluarga mangsa berasa syukur dan lega bila kumpulan pemisah bersedia memindah dan memulangkan 251 mayat dan 86 cebisan mayat dari Torez ke Kharkiv di atas permintaan kerajaan Malaysia. Pemimpin mereka, Alexander Borodai juga sanggup menyerahkan kotak hitam pesawat tersebut kepada Malaysia. Dari analisis yang dijalankan oleh penyiasat Belanda ke atas perakam penerbangan, ternyata MH17 telah dilanggar oleh objek-objek berkelajuan tinggi dari berbagai arah. Setakat ini objek itu yang belum dapat dikenal pasti lagi.
Sebaik ditembak, pesawat meletup secara spontan dan berkecai di udara. Bahagian kokpit terjunam serta-merta sementara badan pesawat terus terbang dan jatuh 8km dari tempat kokpit. Kawasan jenayah terbesar di dunia ini berukuran 10 km panjang dan 5 km lebar. Mayat dan cebisan daging berguguran dari langit menghujani rumah-rumah dan ladang di perkampungan Grabovo, Donetsk. Ketika itu udara nipis dan oksigen kurang menyebabkan kebanyakan penumpang pengsan. Ini menjelaskan mengapa ada mayat yang ditemui masih memakai topeng udara. Dr. Chandra Muzaffar, Presiden International Movement for Just World (JUST) tertanya-tanya jika ada hubungkait di antara pembunuhan kejam pada aras 33,000 kaki itu dengan kehilangan MH370 pada 7 Mac 2014 lalu. Jika ada, mungkin ini melibatkan agenda politik antarabangsa yang lebih besar. Sebagai negara yang menjadi mangsa, Malaysia mesti berani mencari kebenaran dan tidak perlu takut kepada sesiapa kerana yang menjadi mangsa ialah orang awam yang tidak berdosa.
Pun begitu, bila gajah berperang dengan gajah, tidak semestinya pelanduk mati di tengah-tengah. Perang 51 hari di antara kerajaan Zionis yang dibantu persenjataan dari negara-negara bersekongkol termasuk Negara Uncle Sam telah membuktikan sokongan besar dan senjata canggih belum cukup untuk mengalahkan semangat juang golongan kerdil mujahidin Gaza yang berpaksikan keyakinan padu kepada kuasa Maha Pencipta. Berbanding Israel Defence Forces yang bersifat takut mati, mujahidin Gaza seperti Al Surayaa dan Al Qassam sedia syahid demi mempertahankan tanahair dan agama tercinta. Kesepaduan mereka mengagumkan, meskipun HAMAS dan FATAH mempunyai pandangan politik yang berbeza.
MAS, syarikat penerbangan kebanggaan negara kita telah dianiaya oleh tangan-tangan ghaib yang menguasai dunia. Kehilangan MH370 dan kemusnahan MH17 memaksa MAS distruktur semula. Sahabat baik saya masih merindui tiga orang ahli keluarganya yang hilang bersama MH370. Adik angkat saya pula beserta 6,000 kakitangan MAS yang lain bakal kehilangan kerja. Hanya Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik kedua-dua ujian besar yang menimpa negara kita. Namun kita masih mempunyai dua senjata paling ampuh iaitu DOA dan BOIKOT. Jangan mengalah sama sekali. Hit them where it hurt most.

No comments:

Post a Comment