Sunday, November 16, 2014

Sedekah

Sedekah berumbikan perkataan Arab iaitu Sadiq bererti “benar”. Bila kita sudah bersedekah bererti kita sudah memBENARkan iman, dan balasan iman adalah syurga
“ Dan bersegeralah kamu kepada mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan SYURGA yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa. (Iaitu) orang yang MENAFKAHKAN (hartanya), di waktu senang mahupun susah, dan orang yang menahan kemarahannya dan memafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.”(Ali Imran ayat 133-134). “ Dan jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan ZAKAT, maka (mereka) itu adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat ini bagi kaum yang mengetahui.” (At Taubah ayat 11).
Sedekah ialah pemberian ikhlas seseorang kepada orang lain. Setiap perkara baik yang dilakukan adalah sedekah. Orang yang ikhlas bersedekah akan mendapat reda Allah yang mempermudahkan jalannya menuju syurga. Bagaimanapun, hakikatnya sekarang lebih ramai yang ingin menerima daripada memberi, hingga sanggup beratur panjang menunggu giliran, macam hendak beli tiket bola. Patut diingat bahawa tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Kalau zakat merupakan sedekah wajib, sedekah yang lain itu adalah sedekah sunat yang boleh dibuat bila-bila masa pada sesiapa saja di mana jua. Orang yang tinggi membantu orang yang rendah, orang sihat membantu orang sakit, orang yang berdiri membantu orang yang terbaring. Bersedekah tidak akan menyebabkan orang jadi miskin. Dan, sedekah juga wujud dalam berbagai bentuk, tidak semestinya wang semata-mata.
Dari Abu Dzar r.a. katanya beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. pernah berkata kepada baginda, “Kaum hartawan dapat memperoleh pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa, dan bersedekah dengan sisa harta mereka.” Jawab Nabi s.a.w. “Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu berseedekah? Setiap kalimah TASBIH adalah sedekah, setiap kalimah TAKBIR adalah sedekah, setiap kalimah TAHMID adalah sedekah, setiap kalimah TAHLIL adalah sedekah, AMAR MAKRUF dan NAHI MUNKAR (mengajak kepada kebajikan dan melarang kepada yang munkar) adalah sedekah, bahkan pada kemaluanmu pun terdapat unsur sedekah.” Tanya mereka “(Kalau begitu), dapat pahalakah bila kami memuaskan syahwat kami”. Rasulullah s.a.w. “Kalau kamu melakukannya dengan yang haram tentu kamu berdosa. Sebaliknya bila kamu lakukan dengan yang halal, kamu dapat pahala.” (Shahih Muslim no. 959)
Setiap kebaikan yang dibuat,walaupun sekadar memimpin orang buta dan orang tua melintas jalan, membantu orang dalam kesusahan juga adalah sedekah. Taat pada ibu bapa juga sedekah. Paling kurang pun sedekahkan senyuman pada orang lain. Islam adalah agama yang bertoleransi.Sedekahlah dengan sesuatu yang terbaik. Ia memberi kebahagiaan kepada pemberinya. Makin banyak kita memberi, makin banyak kita dapat. Sedekah memudahkan hidup di dunia dan juga di akhirat.Orang yang bersyukur suka bersedekah. Sedekah boleh menolak bala, apa lagi menggugurkan dosa, umpama air yang menyiram api, lalu api pun padam.
“Dan INFAKlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu, lalu dia berkata (menyesali): “Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menangguhkan (kematian)ku sedikit waktu lagi, maka aku akan bersedekah dan aku akan termasuk orang yang soleh.” (Al Munafikun ayat 10). [“Sedekah” oleh Ustaz Halim Din dalam Al Hidayah 16 November 2014 TV3].

No comments:

Post a Comment