Wednesday, November 12, 2014
Pendidik Dan Pendidikan
Guru yang mendidik para pelajar, umpama menyusun batu bata yang membina sebuah bangunan dinamakan “masyarakat”. Guru harus menjaga ketrampilan diri yang kemas, melantunkan suara yang disenangi dan bijak berinteraksi dengan para pelajar. Guru yang baik tidak membezakan di antara pelajar cerdik dengan pelajar yang lambat menghadam ilmu. Pandangan matanya ketika mengajar dua golongan pelajar ini sama rata. Tindakan membeza-bezakan merupakan suatu penganiayaan. Guru berperanan mencungkil, mengasah dan memupuk kemahiran dan bakat yang ada dalam diri setiap pelajar, yang kemudiannya menjadi asas halatuju masa depan mereka - doktor, jurutera, arkitek, wartawan, atau apa-apa sahaja.
Mendidik bukan profesion yang eksklusif bagi lulusan perguruan. Sesiapa saja berhak mendapat kemuliaan menjadi guru. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah, para malaikat, seluruh makhluk termasuk ikan paus di laut dan semut di dalam lubang akan berselawat ke atas mereka yang mengajar kebaikan kepada umat manusia.” Sebagai contoh, ketika kita mengajar sekumpulan anak-anak cara membaca Surah Al Fatihah, seluruh alam berharmoni dengan kita melalui lantunan selawat mereka. Inilah balasan paling hebat.
Mendidik adalah tanggungjawab semua. Nabi SAW sendiri pernah murka kepada sekumpulan orang yang mengabaikan jiran sehingga mereka berada dalam keadaan miskin ilmu. Setiap orang ada jiran, sahabat mahupun rakan sekerja. Bila melihat mereka membuat kesilapan, atau mereka memerlukan maklumat, terangkan dan ajarilah mereka. Penyebaran ilmu bermanfaat adalah kewajipan bersama.
Suatu ketika ketika Nabi SAW sedang bermusafir, untanya telah ditahan oleh seorang lelaki badwi yang berkata, “Ajarilah aku apa yang bermanfaat.” Tindakan lelaki itu menggusarkan para sahabat yang berpendapat seorang nabi tidak harus dilayan seperti itu. Namun Baginda dengan tenang menyatakan bahawa lelaki itu telah menerima hidayah. Impak daripada ucapan itu menambahkan keinginan lelaki tersebut untuk belajar. Kita patut beri galakan kepada orang yang ingin belajar, meskipun cara dia meminta itu mungkin khilaf.
Pendidikan tidak memerlukan tempat khusus, boleh saja dilakukan di mana-mana sahaja. Andai sikap Rasulullah SAW dicontohi, nescaya kita bakal meraih cinta Allah. Wallahualam.
(Sumber info: TV Al Hijrah)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment