Saturday, November 22, 2014
Mengekalkan Keikhlasan
Kubah di Masjid Al Aqsa telah dibina pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan menggunakan hasil kutipan cukai ke atas penduduk Mesir selama 7 tahun. Setelah siap, para jurubina memberitahu Khalifah Malik bahawa masih ada lagi emas yang berbaki dari perbelanjaan pembinaan kubah tersebut. Khalifah Malik menghadiahkan emas itu pada mereka sebagai bonus atas kerja-kerja binaan yang cemerlang. Tetapi para jurubina menolak sebab emas itu adalah hasil kutipan dari umat Islam Mesir yang dikhususkan untuk kubah. Niat mereka ikhlas, semata-mata kerana mencari redha Allah. Lalu emas itu dicairkan dan digunakan untuk mewarna kubah yang kini dikenali sebagai kubah emas. Begitulah keikhlasan hamba-hamba Allah suatu masa dahulu.
Masih adakah keadaan sedemikian pada zaman huru-hara yang ada pada hari ini? In sya Allah, mungkin masih ada tetapi bilangannya kecil. Ada beberapa cara untuk mengekalkan keikhlasan dalam amalan semata-mata kerana Allah.Pertama, sentiasa PERBAHARUI NIAT DAN TEKAD untuk terus mengikhlaskan segala amalan kerana Allah pada setiap pagi. Hati manusia sering berubah-ubah. Pada mulanya seseorang mungkin berniat, “Kalau aku jadi kaya aku nak bersedekah.” Namun bila diberi rezeki yang banyak, belum tentu dia masih ingat akan niat asalnya itu. Ketika itu keutamaannya ialah meningkatkan status diri dengan membeli rumah besar, kereta mewah, perhiasan diri yang serba mahal dan sebagainya.
Kedua, melatih diri MEMBUANG BISIKAN SIFAT –SIFAT YANG BURUK seperti riak, ujub (kagum dengan kebolehan diri sendiri), takbur dan sebagainya dengan melafazkan segera ISTIGHFAR sehingga perasaan itu hilang. Atau sebutkan “SEGALA PUJI BAGI ALLAH YANG DENGAN NIKMATNYA SEMPURNALAH AMALAN KEBAIKAN.” Ketiga, belajar MELUPAKAN KEBAIKAN SENDIRI PADA ORANG untuk mengelakkan ungkitan pada masa hadapan. Pada masa yang sama SENTIASA INGAT KESALAHAN SENDIRI PADA ORANG supaya timbul keinsafan yang mendalam menyebabkan datangnya rasa taubat.
Keempat, SENTIASA MELAZIMI ZIKIR. Atau sebutkan “TUHANKU, PADA ENGKAU DAN REDHAMU ITULAH TUJUANKU.” Kelima, SENTIASA BERDOA supaya hati sentiasa ikhlas. “Ya Allah, kurniakan kami keikhlasan seperti yang Kau telah rezekikan pada orang terdahulu daripada kami.Peliharalah hati kami. Berikan kami kekuatan untuk beramal.Aamiin aamin, Ya Allah.”
Perkara-perkara yang boleh merosakkan keikhlasan tersenarai dalam Surah Al Baqarah ayat 264 iaitu:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosakkan sedekahmu dengan MENYEBUT-NYEBUTNYA dan MENYAKITI (PERASAAN PENERIMA), seperti orang yang mendermakan hartanya kerana RIAK (menunjuk-nujuk) kepada manusia dan dia TIDAK BERIMAN KEPADA ALLAH dan Hari Akhirat. Perumpamaannya (orang itu) seperti batu licin yang di atasnya terdapat debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu dalam keadaan licin kembali. Mereka tidak memperoleh apa-apa pun daripada apa yang mereka kerjakan. Dan Allah tidak akan member petunjuk kepada orang-orang kafir.”
[“TIP KEKAL IKHLAS” oleh Ustaz Mohamad Abdullah dalam rancangan Motivasi Pagi TV3]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment