Tuesday, November 25, 2014
Bahana Hasad
Hasad ialah api dalam hati yang membakar, menyeksa empunya diri dahulu sebelum ia membakar saudara yang dihasad. Jiwa tidak tenang, fikiran sentiasa kacau dan perasaan tidak tenteram. Dia mengharapkan nikmat yang ada pada saudaranya hilang, bahkan berusaha secara lisan dan tindakan untuk menghapuskannya. Semua ini menunjukkan keyakinannya kepada Allah dan hari akhirat sangat goyah. Alangkah ruginya orang yang hasad. Api hasad membakarnya di dunia dan di akhirat kelak dia akan dibakar lagi oleh api neraka. Nauzubillah min zalik.
Zaid bin Thabit berkata, “Kami mendengar Rasaulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang (menjadikan) dunia tujuan utamanya, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinan (selalu ada) di hadapannya, padahal dia tidak akan mendapat (harta benda) duniawi melebihi apa yang Allah tetapkan baginya. Dan sesiapa yang (menjadikan) akhirat niatnya (tujuan utama), maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan (yang ada) dalam hatinya, dan (harta benda) duniawi datang kepadanya dalam keadaan rendah (tidak bernilai di hadapannya).”
Hasad pertama mula berlaku di Syurga apabila Iblis enggan sujud kepada Adam dengan katanya, “Aku lebih baik daripada dia. Kau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Kau ciptakan daripada tanah.” Surah Al A’raf ayat 12. Hasad kedua pula berlaku di Dunia apabila Qabil membunuh Habil kerana dengkikan Habil yang ditentukan untuk berkahwin dengan adik perempuan yang lebih cantik, dan ternakan korbannya juga diterima Allah.
IMPAK HASAD adalah pertama, hasad MEROSAKKAN AKIDAH seseorang kerana sikapnya itu sama seperti membenci takdir Allah. Dalam hadis qudsi, Allah berfirman: “Sesiapa yang tidak redha terhadap takdir yang telah berlaku dan tidak sabar terhadap cubaan daripada-Ku, maka carilah Tuhan selain Aku.” (HR Al Tabrani). Kedua, IMAN TIDAK SEMPURNA kerana dalam hati penghasad ada sifat benci dan permusuhan terhadap saudara seIslam. “Tidak sempurna salah seorang kamu sehingga dia mencnitai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Muttafaq ‘alaih).
Ketiga, sifat hasad ini MENYERUPAI SIFAT ORANG YAHUDI. “ Ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurnia yang Allah telah berikan kepadanya. Sesungguhnya Kami memberikan kitab dan hikmah kepada keluarga Ibrahim dan Kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar. “ An Nisa ayat 54. Keempat, hidup penghasad DIPENUHI TEKANAN BERPANJANGAN. Dia sibuk mencari-cari kesalahan, mengumpat dan melakukan pelbagai perbuatan negatif, sengaja menyusahkan diri kerana cuba melawan takdir sedangkan takdir tetap tidak dapat diubahnya.
Kelima, MUSIBAH YANG DITERIMA TIDAK MEMBERIKANNYA PAHALA sebagaimana sepatutnya. Sabda Rasulullah s.a.w., “Jauhkanlah (oleh kamu) dengki (hasad) kerana ia akan memakan kebaikan kamu sebagaimana api memakan kayu bakar.” (HR Abu Daud).
Keenam, hasad MEMUTUSKAN TALI PERSAUDARAAN dan memecahbelahkan masyarakat. Tidak hairan jika pada hari ini amat berleluasa sifat hasad dengki, fitnah memfitnah, umpat mengumpat dan hasut menghasut, dari peringkat pemimpin hingga kepada rakyat jelata.
Ketujuh, hati penghasad dipenuhi karat, tidak mampu memantulkan cahaya keimanan. Seruan demi seruan dalam bentuk kuliah, tazkirah, nasihat dan pesanan tentang kebenaran, kebaikan dan kesabaran berlalu begitu sahaja tanpa meninggalkan bekas. Ini disebabkan HIDAYAH DAN TAUFIK TELAH ALLAH CABUTKAN dari dadanya. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Kamu telah diserang penyakit yang pernah menyerang umat sebelum kamu; hasad dengki dan marah, ia merupakan pencukur, pencukur agama, bukan pencukur rambut.” (HR Al Tirmizi).
CARA MENGATASI RASA HASAD: Belajar dan MENGHAYATI PRINSIP AKIDAH yang akan membuka pintu hati dan melihat perlunya sifat-sifat sabar, redha, qanaah dan zuhud. MENCARI ILMU tentang keburukan sifat hasad.JANGAN ZAHIRKAN dalam ucapan dan tindakan. Jaga lisan, jaga tulisan. BERMUJAHADAH MELAWAN KEHENDAK. Jika timbul sifat buruk dalam hati, lawanlah ia dengan mengamalkan sikap yang bertentangan seperti panas lawannya sejuk.
Contoh: Jika timbul rasa cemburu atas kejayaan orang, ucapkan tahniah. Jika terasa hendak mengumpat, segera ceritakan hal yang baik-baik tentangnya. Jika timbul takabbur, cepat-cepat bertindak untuk merendahkan diri. Apabila muncul rasa iri hati, segera bertanya khabar dan menziarahi rumah/tempat kerja orang berkenaan. Terdapat ungkapan Arab terkenal berbunyi “Semoga Allah meramaikan orang yang hasad terhadap kamu.” Ungkapan ini dimaksudkan sebagai doa di mana pahala penghasad diserahkan kepada orang yang dihasadkan. Jika tidak cukup, dosa orang yang dihasad dipikulkan ke atas penghasad.
BERTAUBAT kepada Allah dan banyak MENGINGATI MATI. Berdoa semoga dihapuskan sifat hasad dengki daripada diri. Bukan setakat BERDOA UNTUK DIRI, tetapi BERDOALAH UNTUK ORANG YANG DIHASADKAN. “Tidaklah sama (kesan dan hukum) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara (balasan) yang baik. Apabila kamu berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat yang setia.” Fussilat Ayat 34.
[Ringkasan dari Bahana Hasad dalam SOLUSI # 32]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment