Friday, November 14, 2014
Bahagia Sebenar
Sepasang suami isteri tukang kebun yang hidup sederhana memerhatikan pasangan suami isteri kaya yang duduk minum teh di anjung banglo mereka. Tukang kebun menganggap pasangan kaya itu bahagia dan bertuah kerana memiliki banyak harta. Pada masa yang sama, lelaki kaya pula merasa pasangan tukang kebun itu sungguh bahagia kerana memiliki tubuh badan sasa yang sihat dan mampu bekerja dengan selesa sedangkan dirinya terpaksa berkerusi roda sahaja lantaran penyakit. Sebenarnya kedua-dua pasangan tukang kebun dan orang kaya itu sama-sama berada dalam keadaan BAHAGIA. Mereka BERKONGSI kasih sayang dengan keluarga masing-masing.Sudah menjadi lumrah manusia sering melihat pelangi di atas orang lain tetapi tidak perasankan pelangi di atas diri sendiri.
Ini sebuah kisah yang pernah disiarkan di radio suatu ketika dulu, diceritakan sendiri oleh seorang hartawan yang melakukan banyak perkara demi mencari kebahagiaan. Dia melibatkan diri dengan dunia persilatan, tidur dengan ular, melakukan terjunan bertali (bungee-jumping), belayar di laut seorang diri dan bermacam-macam kegiatan lain. Akhir sekali dia mengikut rombongan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Ketika berjalan sendirian di sebatang jalan, dia bertemu seorang kanak-kanak yang kelihatan daif. Lalu dihulurkannya sekeping wang. Anak itu membelek-belek wang tersebut dan merenung wajahnya, kemudian dia memegang tangan hartawan itu dan menciumnya sambil berkata dalam bahasa Inggeris, “Saya cium tangan yang mulia ini kerana saya hendak jumpa tuan lagi disyurga”. Si hartawan menitiskan air mata kerana anak-anaknya sendiri tidak pernah mencium tangannya, tetapi kini seorang anak orang asing yang daif berharap dapat bertemu dengannya lagi di syurga!!! Timbul suatu perasaan aneh yang amat melegakan hatinya. Ketika itu baru dia faham bahawa kebahagiaan bererti kesediaan untuk MEMBERI apa sahaja yang ada pada diri. Pemberian membuatkan jiwanya yang dulunya kosong, kini telah terisi. Dia amat BERSYUKUR dengan pengisian ini. Memberi dan bersyukur merupakan petua kebahagiaan yang pertama.
Petua kebahagiaan yang kedua pula ialah MEMAAFKAN kesalahan orang. Didik hati supaya melupakan salah orang pada kita tetapi selalu ingat akan salah kita pada orang. Ingat kebaikan orang pada kita walau sekecil mana pun, tetapi lupakan kebaikan kita pada orang.
Petua kebahagiaan yang ketiga, MENDOAKAN orang lain. Bila kita mendoakan orang lain, hakikatnya kita memberi KESEJAHTERAAN pada diri sendiri. Andai perbuatan menghina dan mengutuk dibuang jauh-jauh, Allah akan menurunkan Mawaddah dan Sakinah ke dalam hidup kita. Orang yang MULA-MULA MEMBERI PENGHARGAAN adalah orang yang paling bahagia. Manusia yang bahagia tidak sesekali melakukan 3M iaitu MERUNGUT, MENYESAL, MENYALAHKAN. Andai ditimpa ujian, tidak pernah dia berkata, “KALAU aku buat begini dan begitu, tentu tidak akan jadi begini.” Dia tahu kata-kata sedemikian boleh mengundang keburukan, seolah-olah dia menyalahkan takdir pula.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Orang yang kaya itu bukanlah kaya harta, tetapi kaya jiwa.” Sesungguhnya orang yang kaya jiwa hidupnya lebih tenang dan produktif, sikapnya murah dengan pujian kepada ahli keluarga meskipun kebaikan yang mereka lakukan kecil sahaja. Dia sentiasa bermuhasabah diri dan tetap mengingati Allah walau di mana dia berada. Inilah kebahagiaan sebenar.
[“Bahagia Sebenar” oleh Ustaz Elyas Ismail dalam BISMILLAH 14 November 2014 TV9]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment