Sunday, November 30, 2014

Bila Diuji Kembalilah Kepada Allah

Di dunia ini tidak ada seorang hamba Allah yang tidak menerima ujian dari Allah. Orang yang hidup susah memang diuji, orang yang kelihatan hidup senang pun hakikatnya sedang diuji. Setiap masalah ada jalan keluar. Penyelesaiannya ada di sisi Allah. Yang penting ialah kembali kepada-Nya dengan melakukan perkara-perkara berikut:
1) Setiap hari bangun awal pagi, berwuduk dengan sempurna dan lakukan solat Tahajud & solat witir. 2) Istighfar sebanyak 70 ataupun 100 kali. 3) Ulang doa ini sebanyak 3 kali: “Aku kasihkan suami/isteri/ahli keluarga (sebutkan nama mereka) kerana Allah. Aku mohon Engkau kukuhkan perasaan ini dalam hati kami. Tetapkan kami di atas jalan-Mu.” 4) Sepanjang hari ulang mengucapkan Tasbih dalam hati berulang-ulang. 5) Sentiasa sapa dan beri salam pada orang-orang sekeliling (ahli keluarga, jiran, rakan alam nyata dan alam maya). Kalau sapaan tidak berbalas, terus bertasbih dalam hati untuk menghilangkan rasa tersinggung. 6) Dalam sebuah buku (atau fail dalam komputer )yang diberi tajuk Penambahbaikan Diri, tuliskan tarikh dan catatkan semua kebaikan yang dibuat pada hari itu, contoh: berpuasa sunat, solat dhuha, solat rawatib, membaca dan mentadabbur makna bacaan al-Quran, bersilaturrahim dengan … (senaraikan nama mereka), posting dakwah dalam laman sosial, kerja rutin di rumah, melayan suami/isteri dan anak-anak, memberi makan haiwan peliharaan, kerja-kerja kemasyarakatan dan sebagainya. 7) Jangan tulis hal peribadi dalam laman sosial sebab banyak mata yang memandang. Jangan gembirakan orang yang ada rasa hasad dengki dalam hatinya.
Semua kebaikan adalah ladang pahala dan semua keburukan ladang dosa. Kebaikan dan keburukan bersumber dari hati. Sentiasa ingat kata-kata hikmat ini: Carilah hatimu ketika membaca Al Quran. Jika kau tidak temui carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui carilah hatimu ketika duduk tafakkur kepada Allah. Jika kau tidak temui carilah dalam kebaikan yang kau lakukan. Jika tidak kau temui pintalah hati yang baru. Semoga Allah golongkan kita dalam kalangan hamba yang dikasihi dan ditolong-Nya.Aamiin aamiin Ya Rabbul Alamin.

Saturday, November 29, 2014

Jangan Terpedaya Dengan Gelaran

Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah r.a. berjalan-jalan, tiba-tiba beliau terlihat seorang budak yang berjalan dengan memakai kasut kayu. Lalu ditegurnya budak itu, " Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayumu. Bimbang nanti kau tergelincir." Budak itu mengucapkan terima kasih di atas keprihatinannya dan bertanyakan namanya.Jawab Imam Abu Hanifah, "Namaku Nuiman.""Oh, rupa-rupanya tuanlah yang digelar al-Imam al-A'dzam (Imam yang sangat hebat) itu.Jawab Imam Abu Hanifah, "Bukan aku yang meletakkan gelaran tiu. Orang ramai yang bersangka baik denganku yang meletakkannya." Kata budak itu," Wahai Imam, janganlah tuan sampai tergelincir ke dalam api neraka disebabkan gelaran itu. Aku hanya memakai kasut kayu. Jika aku tergelicir sekalipun hanya di dunia semata-mata. Namun gelaran tuan terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka lantaran angkuh dan berbangga-bangga." Imam Abu Hanifah menangis mendengarkan nasihat daripada budak tersebut.Semoga kita juga dapat mengambil iktibar dan mengamalkan akhlak dan peribadi Imam Abu Hanifah ini. Terima kasih atas baik sangka orang kepada kita.

Tuesday, November 25, 2014

Bahana Hasad

Hasad ialah api dalam hati yang membakar, menyeksa empunya diri dahulu sebelum ia membakar saudara yang dihasad. Jiwa tidak tenang, fikiran sentiasa kacau dan perasaan tidak tenteram. Dia mengharapkan nikmat yang ada pada saudaranya hilang, bahkan berusaha secara lisan dan tindakan untuk menghapuskannya. Semua ini menunjukkan keyakinannya kepada Allah dan hari akhirat sangat goyah. Alangkah ruginya orang yang hasad. Api hasad membakarnya di dunia dan di akhirat kelak dia akan dibakar lagi oleh api neraka. Nauzubillah min zalik.
Zaid bin Thabit berkata, “Kami mendengar Rasaulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang (menjadikan) dunia tujuan utamanya, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinan (selalu ada) di hadapannya, padahal dia tidak akan mendapat (harta benda) duniawi melebihi apa yang Allah tetapkan baginya. Dan sesiapa yang (menjadikan) akhirat niatnya (tujuan utama), maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan (yang ada) dalam hatinya, dan (harta benda) duniawi datang kepadanya dalam keadaan rendah (tidak bernilai di hadapannya).”
Hasad pertama mula berlaku di Syurga apabila Iblis enggan sujud kepada Adam dengan katanya, “Aku lebih baik daripada dia. Kau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Kau ciptakan daripada tanah.” Surah Al A’raf ayat 12. Hasad kedua pula berlaku di Dunia apabila Qabil membunuh Habil kerana dengkikan Habil yang ditentukan untuk berkahwin dengan adik perempuan yang lebih cantik, dan ternakan korbannya juga diterima Allah.
IMPAK HASAD adalah pertama, hasad MEROSAKKAN AKIDAH seseorang kerana sikapnya itu sama seperti membenci takdir Allah. Dalam hadis qudsi, Allah berfirman: “Sesiapa yang tidak redha terhadap takdir yang telah berlaku dan tidak sabar terhadap cubaan daripada-Ku, maka carilah Tuhan selain Aku.” (HR Al Tabrani). Kedua, IMAN TIDAK SEMPURNA kerana dalam hati penghasad ada sifat benci dan permusuhan terhadap saudara seIslam. “Tidak sempurna salah seorang kamu sehingga dia mencnitai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Muttafaq ‘alaih).
Ketiga, sifat hasad ini MENYERUPAI SIFAT ORANG YAHUDI. “ Ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurnia yang Allah telah berikan kepadanya. Sesungguhnya Kami memberikan kitab dan hikmah kepada keluarga Ibrahim dan Kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar. “ An Nisa ayat 54. Keempat, hidup penghasad DIPENUHI TEKANAN BERPANJANGAN. Dia sibuk mencari-cari kesalahan, mengumpat dan melakukan pelbagai perbuatan negatif, sengaja menyusahkan diri kerana cuba melawan takdir sedangkan takdir tetap tidak dapat diubahnya.
Kelima, MUSIBAH YANG DITERIMA TIDAK MEMBERIKANNYA PAHALA sebagaimana sepatutnya. Sabda Rasulullah s.a.w., “Jauhkanlah (oleh kamu) dengki (hasad) kerana ia akan memakan kebaikan kamu sebagaimana api memakan kayu bakar.” (HR Abu Daud). Keenam, hasad MEMUTUSKAN TALI PERSAUDARAAN dan memecahbelahkan masyarakat. Tidak hairan jika pada hari ini amat berleluasa sifat hasad dengki, fitnah memfitnah, umpat mengumpat dan hasut menghasut, dari peringkat pemimpin hingga kepada rakyat jelata.
Ketujuh, hati penghasad dipenuhi karat, tidak mampu memantulkan cahaya keimanan. Seruan demi seruan dalam bentuk kuliah, tazkirah, nasihat dan pesanan tentang kebenaran, kebaikan dan kesabaran berlalu begitu sahaja tanpa meninggalkan bekas. Ini disebabkan HIDAYAH DAN TAUFIK TELAH ALLAH CABUTKAN dari dadanya. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Kamu telah diserang penyakit yang pernah menyerang umat sebelum kamu; hasad dengki dan marah, ia merupakan pencukur, pencukur agama, bukan pencukur rambut.” (HR Al Tirmizi).
CARA MENGATASI RASA HASAD: Belajar dan MENGHAYATI PRINSIP AKIDAH yang akan membuka pintu hati dan melihat perlunya sifat-sifat sabar, redha, qanaah dan zuhud. MENCARI ILMU tentang keburukan sifat hasad.JANGAN ZAHIRKAN dalam ucapan dan tindakan. Jaga lisan, jaga tulisan. BERMUJAHADAH MELAWAN KEHENDAK. Jika timbul sifat buruk dalam hati, lawanlah ia dengan mengamalkan sikap yang bertentangan seperti panas lawannya sejuk.
Contoh: Jika timbul rasa cemburu atas kejayaan orang, ucapkan tahniah. Jika terasa hendak mengumpat, segera ceritakan hal yang baik-baik tentangnya. Jika timbul takabbur, cepat-cepat bertindak untuk merendahkan diri. Apabila muncul rasa iri hati, segera bertanya khabar dan menziarahi rumah/tempat kerja orang berkenaan. Terdapat ungkapan Arab terkenal berbunyi “Semoga Allah meramaikan orang yang hasad terhadap kamu.” Ungkapan ini dimaksudkan sebagai doa di mana pahala penghasad diserahkan kepada orang yang dihasadkan. Jika tidak cukup, dosa orang yang dihasad dipikulkan ke atas penghasad.
BERTAUBAT kepada Allah dan banyak MENGINGATI MATI. Berdoa semoga dihapuskan sifat hasad dengki daripada diri. Bukan setakat BERDOA UNTUK DIRI, tetapi BERDOALAH UNTUK ORANG YANG DIHASADKAN. “Tidaklah sama (kesan dan hukum) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara (balasan) yang baik. Apabila kamu berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat yang setia.” Fussilat Ayat 34. [Ringkasan dari Bahana Hasad dalam SOLUSI # 32]

Monday, November 24, 2014

Mengingati Mati Itu Satu Motivasi

“Demi Allah, seandainya jenazah yang sedang kamu tangisi boleh berbicara, lalu menceritakan (pengalaman sakaratul mautnya) pada kamu sekelian, niscaya kamu akan melupakan jenazah tersebut, dan mulai menangisi diri kamu sendiri”. (Imam Ghazali mengutip atsar Al-Hasan).
Kematian bersifat memaksa dan siap menghampiri manusia walaupun kita berusaha menghindarkan risiko-risiko kematian. Katakanlah: “Sekiranya kamu berada di rumahmu, nescaya orang-orang yang telah ditakdirkan akan mati terbunuh itu keluar (juga) ke tempat mereka terbunuh”. Dan Allah (berbuat demikian) untuk menguji apa yang ada dalam dadamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hatimu. Allah Maha Mengetahui isi hati. (QS Ali Imran, 3:154).
Kematian akan mengejar siapapun meskipun ia berlindung di balik benteng yang kukuh atau berlindung di balik kepakaran doktor yang canggih serta ratusan doktor terbaik yang ada di muka bumi ini. Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, meskipun anda di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh, dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan: “Ini (datangnya) dari sisi kamu (Muhammad)”. Katakanlah: “Semuanya (datang) dari sisi Allah”. Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan sedikit pun? (QS An-Nisa 4:7 8) ------------------------- Kematian akan mengejar siapapun walaupun ia lari menghindar. Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. (QS al-Jumu’ah, 62: 8)
Kematian datang secara tiba-tiba. Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (QS, Luqman 31:34).
Kematian telah ditentukan waktunya, tidak dapat ditunda atau dipercepat.Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS, Al-Munafiqun, 63:11).

Saturday, November 22, 2014

Mengekalkan Keikhlasan

Kubah di Masjid Al Aqsa telah dibina pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan menggunakan hasil kutipan cukai ke atas penduduk Mesir selama 7 tahun. Setelah siap, para jurubina memberitahu Khalifah Malik bahawa masih ada lagi emas yang berbaki dari perbelanjaan pembinaan kubah tersebut. Khalifah Malik menghadiahkan emas itu pada mereka sebagai bonus atas kerja-kerja binaan yang cemerlang. Tetapi para jurubina menolak sebab emas itu adalah hasil kutipan dari umat Islam Mesir yang dikhususkan untuk kubah. Niat mereka ikhlas, semata-mata kerana mencari redha Allah. Lalu emas itu dicairkan dan digunakan untuk mewarna kubah yang kini dikenali sebagai kubah emas. Begitulah keikhlasan hamba-hamba Allah suatu masa dahulu.
Masih adakah keadaan sedemikian pada zaman huru-hara yang ada pada hari ini? In sya Allah, mungkin masih ada tetapi bilangannya kecil. Ada beberapa cara untuk mengekalkan keikhlasan dalam amalan semata-mata kerana Allah.Pertama, sentiasa PERBAHARUI NIAT DAN TEKAD untuk terus mengikhlaskan segala amalan kerana Allah pada setiap pagi. Hati manusia sering berubah-ubah. Pada mulanya seseorang mungkin berniat, “Kalau aku jadi kaya aku nak bersedekah.” Namun bila diberi rezeki yang banyak, belum tentu dia masih ingat akan niat asalnya itu. Ketika itu keutamaannya ialah meningkatkan status diri dengan membeli rumah besar, kereta mewah, perhiasan diri yang serba mahal dan sebagainya.
Kedua, melatih diri MEMBUANG BISIKAN SIFAT –SIFAT YANG BURUK seperti riak, ujub (kagum dengan kebolehan diri sendiri), takbur dan sebagainya dengan melafazkan segera ISTIGHFAR sehingga perasaan itu hilang. Atau sebutkan “SEGALA PUJI BAGI ALLAH YANG DENGAN NIKMATNYA SEMPURNALAH AMALAN KEBAIKAN.” Ketiga, belajar MELUPAKAN KEBAIKAN SENDIRI PADA ORANG untuk mengelakkan ungkitan pada masa hadapan. Pada masa yang sama SENTIASA INGAT KESALAHAN SENDIRI PADA ORANG supaya timbul keinsafan yang mendalam menyebabkan datangnya rasa taubat.
Keempat, SENTIASA MELAZIMI ZIKIR. Atau sebutkan “TUHANKU, PADA ENGKAU DAN REDHAMU ITULAH TUJUANKU.” Kelima, SENTIASA BERDOA supaya hati sentiasa ikhlas. “Ya Allah, kurniakan kami keikhlasan seperti yang Kau telah rezekikan pada orang terdahulu daripada kami.Peliharalah hati kami. Berikan kami kekuatan untuk beramal.Aamiin aamin, Ya Allah.”
Perkara-perkara yang boleh merosakkan keikhlasan tersenarai dalam Surah Al Baqarah ayat 264 iaitu: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosakkan sedekahmu dengan MENYEBUT-NYEBUTNYA dan MENYAKITI (PERASAAN PENERIMA), seperti orang yang mendermakan hartanya kerana RIAK (menunjuk-nujuk) kepada manusia dan dia TIDAK BERIMAN KEPADA ALLAH dan Hari Akhirat. Perumpamaannya (orang itu) seperti batu licin yang di atasnya terdapat debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu dalam keadaan licin kembali. Mereka tidak memperoleh apa-apa pun daripada apa yang mereka kerjakan. Dan Allah tidak akan member petunjuk kepada orang-orang kafir.” [“TIP KEKAL IKHLAS” oleh Ustaz Mohamad Abdullah dalam rancangan Motivasi Pagi TV3]

Mulia Di Dunia Bukan Mulia Hakiki

Apabila Allah memuliakan seseorang, maka orang itu menjadi mulia. Mulianya ibu bapa,guru dan ulama adalah kerana Allah memuliakannya walaupun mungkin ada antara mereka yang kurang beradab, sombong dan sebagainya. Jadi Allah telah menetapkan siapa yang harus kita muliakan. Namun hari ini sukar untuk kita memuliakan orang lain. Kita hanya mudah untuk memuliakan orang apabila orang itu berbuat baik terhadap kita. Kalau seseorang itu tidak berbuat baik, maka memang kita susah untuk hormat dan memuliakannya.
Amat malang hari ini apabila kemuliaan dan penghormatan seakan sudah boleh dibeli dengan wang ringgit. Jika kita kaya dan berpangkat, maka orang akan mudah dan selalu berasa hormat dan melayan kita dengan mulia sekali. Kita akan dilayan bagai seorang ‘raja’ jika kaya dan berpangkat. Dunia hari ini seakan tiada penghormatan yang boleh kita dapat percuma, tanpa ada kemuliaan dunia. Persepsi ini sepatutnya diubah kerana kemuliaan hakiki sebenarnya terletak di sisi Allah, bukan bersifat duniawi atau manusiawi.
Kemuliaan al-Quran misalnya bukan kerana al-Quran itu kerana dari segi akalnya al-Quran itu hanyalah lembaran kertas saja. Tetapi kemuliaannya kerana ada ayat Allah di dalamnya. Maka al-Quran itu perlu dimuliakan walaupun ia hanya umpama sebuah ‘buku’, dan bukan orang. Tetapi kerana Allah menyuruh untuk memuliakan al-Quran, maka kita perlu memuliakannya. Apabila Allah memuliakan bulan, orang atau sesuatu maka menjadi kewajipan kita semua untuk turut memuliakannya. [Ustaz Syed Kadir Al-Joofre]

Persaudaraan Sesama Muslimin

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai karib kerabat. Aku sentiasa MENGHUBUNGKAN SILATURRAHIMI kepada mereka, tetapi mereka memutuskannya. Aku sentiasa BAIK kepada mereka, tetapi mereka jahat kepadaku. Aku sentiasa SANTUN kepada mereka, tetapi mereka jahil kepadaku. Bagaimana itu?” Jawab Nabi saw, “Jika benar kamu telah berbuat seperti yang kamu katakan itu, seolah-olah kamu telah menyebabkan mereka menjadi bosan, tetapi Allah sentiasa akan menolong ke atas mereka SELAMA KAMU TETAP BERLAKU DEMIKIAN. [Shahih Muslim no 2188]
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda: “Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim. Kerana itu janganlah menganiaya dia, jangan membiarkan dia teraniaya. TAQWA tempatnya di sini! Sambil Baginda menunjukkan ke dadanya tiga kali.---Alangkah besar dosa menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim haram menumpahkan darah saudaranya sesama muslim. Haram merampas hartanya, dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya.” [Shahih Muslim no. 2193]
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seluruh amalan manusia dipersembahkan kepada Allah SWT dalam seminggu (seJumaat) sebanyak dua kali iaitu pada hari ISNIN dan KHAMIS. Allah mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang mukmin, KECUALI orang yang bermusuhan. Maka dikatakan: Tinggalkanlah kedua orang itu dahulu, sampai mereka berdamai.” [Shahih Muslim no. 2196]

Friday, November 21, 2014

Beginilah Kehidupan

Bumi yang kita huni ini bulat. Hukum alam (sunnatullah) menetapkan apa saja yang dilontarkan keluar daripada diri akan kembali semula kepada si pelontar.Andai kebaikan yang dilontarkan, nescaya akan kembalilah ia kepada si empunya, kekadang dalam keadaan bertimpa-timpa. Aduhai, betapa nikmatnya, Alhamdulillah!!! Andai yang dilontarkan itu kejahatan dan keburukan, ia juga kembali kepada si empunya, kekadang dalam keadaan bertimpa-timpa. Aduhai, betapa seksanya, Astaghafirullah!!! Baik atau buruk, pilihlah sendiri. Jaga tulisan jaga lisan jaga perbuatan.
Siapa tidak pernah rasa kecewa. Mana mungkin insan gembira sepanjang masa. Usah menipu diri sendiri, kononnya insan mampu mengelak jatuh bangun dalam kehidupan. Usah nafikan perasaan itu, terimalah ia. Tanyakan pada diri. “Mengapa saya kecewa?” Kemudian, berusahalah menanganinya dengan penuh kelembutan. Insan rasa kecewa kerana itu memang sifat fitrahnya. Hidup ini medan ujian. Itulah tujuan penciptaan. Hidup tidak pernah sempurna. Andai ia benar-benar sempurna, untuk apa syurga dicipta. Ketidaksempurnaan hidup membuat insan mengharapkan kebahagiaan abadi yang Allah janjikan. Dalam kekecewaan ada kebaikan. Pengalaman pahit itu guru terbaik. Ujian hidup menganugerahkan kebijaksanaan. Kekecewaan mendekatkan insan kepada Pencipta. Itulah tanda kecintaan dan keampunan dari-Nya. Ujian membuat insan terlupa akan kehebatan diri, dan teringat pada keperluan hakiki. Ujian memaksa kecetekan minda bergerak jauh ke dalam rohaniah.HIDUP TANPA RASA PAHIT, TIDAK AKAN TAHU ERTI MANIS.
Kalau gaduh dengan pelanggan, walaupun kita menang, pelanggan tetap akan lari.Kalau gaduh dengan rakan sekerja, walaupun kita menang, tiada lagi semangat bekerja satu kumpulan.Kalau kita gaduh dengan bos, walaupun kita menang,tiada lagi masa hadapan di tempat itu. Kalau kita gaduh dengan keluarga, walaupun kita menang,hubungan kekeluargaan akan renggang.Kalau kita gaduh dengan guru, walaupun kita menang,keberkatan menuntut ilmu dan kemesraan itu akan hilang. Kalau gaduh dengan kawan, walaupun kita menang,yang pasti kita akan kekurangan kawan. Kalau gaduh dengan pasangan, walaupun kita menang,perasaan sayang pasti akan berkurangan. Kalau kita gaduh dengan sesiapapun,walaupun kita menang, kita tetap kalah..[Sukan Star TV]

Thursday, November 20, 2014

Orang Paling Bodoh Di Kalangan Manusia

Setiap hari Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz akan duduk bersama beberapa orang yang gemar mendengar nasihat dan tunjuk ajar daripada beliau. Dalam satu pertemuan, Amirul Mukminin bertanya kepada hadirin. “Sebutkan kepadaku siapakah orang yang paling bodoh di kalangan manusia?” Salah seorang daripada mereka menjawab, “Orang yang menjual akhirat untuk dunianya.” Mendengar jawapan itu terpancar kesedihan di wajahnya, lalu dia berkata, “Atau saya yang akan beritahu jawapannya.” Mereka menjawab serentak, “Ya.” Umar Abdul Aziz menyambung, “Orang yang paling bodoh ialah seseorang yang menjual akhiratnya untuk dunia orang lain.” Hadirin di depannya tercengang tidak faham. “Apa maksud tuan?” bertanya salah seorang daripada mereka. “Maksudnya orang itu rela membantu orang lain melakukan rasuah dan tipu daya dalam kehidupan di dunia sehingga menguntungkan orang yang dibantunya itu, sedangkan dirinya sendiri tidak mendapat apa-apa. Bahkan di akhirat nanti dia akan mendapat seksaan neraka yang kekal selamanya. Itulah orang yang paling bodoh, “jelas Khalifah Umar. (Al Islam November 2014)

Wednesday, November 19, 2014

Menghadapi Situasi Nazak

Seseorang anak yang berhadapan dengan ibu atau bapa yang sedang nazak, boleh mengambil peluang itu untuk membaca al-Quran terutama surah Yasin dan surat al-Ra’d. Dan sesekali talqinkan (ajarkan) mereka yang sedang nazak (berada dalam sakaratul maut) dengan kalimah Lailahaillallah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Talqinkan pada orang yang hampir mati dengan kalimah Lailahaillallah.”
Pada masa yang sama kalau dilihat seperti sukar hendak mati, berdoalah kepada Allah agar dipermudahkan sakaratul maut dan tunaikanlah solat hajat. Anak-anak sama ada lelaki atau perempuan boleh lakukan bersama. Tindakan yang sama perlu dilakukan kalau yang sedang nazak itu isteri. Sebaiknya suami dan anak-anak melakukan solat hajat secara berjemaah. Apabila berlakukan kematian, beberapa tindakan awal perlu dilakukan: • Menutup mata jenazah, hendaklah juga ditutup mulutnya dengan diikat daripada bawah dagu hingga ke atas kepala agar mulutnya tidak terbuka. • Melembutkan sendi-sendi anggota seperti jari, siku, lutut dan kaki. • Meletakkan sesuatu yang sederhana berat atas perut agar perut tidak kembung. • Tubuh jenazah hendaklah ditutup agar tidak terdedah auratnya, kemudian dietakkan pada tempat yang sesuai seperti di atas katil dalam keadaan menghadap kiblat serta meletakkan kedua-dua tangannya di atas dada seperti qiam dalam solat.

Khasiat Daun Salad Dan Brokoli

Antara khasiat sayur daun salad ialah ia menjadi penawar masalah insomia atau gangguan tidur kerana adanya sejenis bahan yang di kenali sebagai lactucarium yang bertindak sebagai sedatif iaitu mempunyai kesan menenangkan. Kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, potassium, vitamin A dan C, magnesium dan zink, daunnya juga mengandungi karotin,serat dan air yang dapat menghilangkan rasa dahaga dan juga bertindak menlancarkan sistem pernafasan. Salad juga mampu mengurangkan paras kandungan gula dalam badan, mencegah kanser, mengubati kecing manis, gout, penyakit jantung dan membantu sistem penghadaman.
Kajian menunjukkan bahwa diet kaya brokoli dapat mengurangi risiko beberapa jenis kanser. Brokoli juga memiliki sifat anti-penuaan, kaya dengan serat yang membantu pencernaan dan mencegah sembelit, membantu menurunkan kolesterol dan mengawal tekanan darah. Kaya kromium membantu membentuk insulin dan mengawal diabetes. Vitamin C dalam brokoli membantu menjaga sistem kekebalan tubuh yang membantu mencegah dan menghilangkan radikal bebas. Beta-karoten dalam brokoli melindungi mata dan mencegah katarak. Brokoli kaya dengan kalsium, magnesium, zink, dan fosfor, brokoli membantu menjaga tulang kuat yang kuat. [Zawidatul Asma Bt Zainuddin]

Tuesday, November 18, 2014

ROMEO NOVEMBER DELTA MALAYSIAN one seven

Ramadan Tahun 1435 Hijrah, seluruh dunia sedang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Gaza oleh Israel Defence Forces. Pada masa yang sama banyak negara di dunia melancarkan protes, demo dan pemboikotan produk yang menyokong operasi kekejaman Israel secara besar-besaran. Akibatnya ekonomi Israel terjejas teruk.
Pada 17 Julai 2014, 12.15 tengah hari waktu tempatan, pesawat penumpang Boeing 777- 200 ER milik Malaysia Airlines yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Schipol di Netherlands. Perjalanan dijadualkan mengambil masa 13 jam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur jam 6.10 pagi Jumaat 18 Julai 2014. Pesawat MH17 berusia 17 tahun menggunakan nombor pendaftaran 9M-MRD mula digunakan pada 17 April 1997. Laporan penyenggaraan menunjukkan pesawat itu berada dalam keadaan baik.
Dalam transkrip komunikasi terakhir, ketika melalui ruang udara Ukraine, ROMEO NOVEMBER DELTA MALAYSIAN one seven berkomunikasi dengan DNP (Pengawal Udara di Denpropetrosk, Ukraine) pada jam 13:19:56. ROMEO NOVEMBER DELTA adalah kod laluan yang diguna MH17 sebelum ia ditembak jatuh dan meragut kesemua 298 nyawa. Pada jam 13:20:00 DNP terputus hubungan dengan MALAYSIAN one seven. Pada jam 13:22:05 Rostov (Pengawal Udara di Rostov, Russia) memberitahu DNP bahawa ia juga gagal menghubungi MALAYSIAN one seven. DNP menyatakan pada Rostov “Ya, ia hilang!”
Seluruh dunia gempar bila Malaysia Airlines MH17 diberitakan telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu dan terhempas di Kampung Grabovo, Donetsk, Timur Ukraine, kira-kira 40 km dari sempadan Russia. Amerika Syarikat dan Ukraine sama-sama menuding jari kepada Russia yang dikatakan membekalkan senjata kepada puak pemisah Ukraine pimpinan Alexander Borodai, yang menguasai kawasan nahas. Serta-merta perhatian dunia beralih dari serangan “genocide” 24 jam di Gaza ke Ukraine pula.
Semalam, 17 November 2014, genap 4 bulan pesawat Boeing 777-200 ER milik Malaysia Airlines itu berkecai di ruang udara Timur Ukraine. Ketika menonton siaran dokumentari khas “MH17 ROMEO NOVEMBER DELTA” di TV3 jam 9.00 malam tadi, rasa sayu kembali lagi. 298 nyawa yang tidak berdosa dari 10 negara - Netherlands, Indonesia, Australia, Britain, Belgium, Jerman, Filipina, Kanada, New Zealand. Apakah kesalahan mereka? Mengapa mereka ditembak? Mereka hanya ingin bercuti ke Asia Tenggara, sesetengah lagi pula mahu kembali ke Malaysia berjumpa sanak saudara menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Imej satelit yang didedahkan oleh media Russia menunjukkan pesawat penumpang Boeing 777-200 ER itu diekori oleh jet-jet MIG29. Pesawat malang itu ditembak di kiri, kanan dan atas dengan peluru berpandu dari udara ke udara. Imej itu dipercayai diambil dari satelit Britain atau Amerika Syarikat. Penyebaran imej berkenaan menyebabkan Ukraine bertindak balas dengan mengatakan imej yang diterbitkan oleh penyiaran Russia itu palsu. Nada yang sama turut disuarakan oleh pihak Amerika yang mendakwa ia adalah propaganda Russia untuk mempengaruhi pendapat antarabangsa. Ukraine mendakwa MH17 ditembak oleh sistem peluru berpandu dari darat ke udara BUK yang mampu mengesan objek di udara sejauh 85km. Kumpulan pemisah pro Russia menafikan BUK itu milik mereka, lagipun mereka tiada kepakaran untuk mengendalikannya. Teori lain pula menyebut penembakan itu adalah akibat kesilapan identiti. Yang hendak dimangsakan ialah jet peribadi pemimpin Russia, Vladimir Putin. Jet itu mempunyai logo dan warna yang seakan-akan pesawat MAS.
Apapun, keluarga mangsa berasa syukur dan lega bila kumpulan pemisah bersedia memindah dan memulangkan 251 mayat dan 86 cebisan mayat dari Torez ke Kharkiv di atas permintaan kerajaan Malaysia. Pemimpin mereka, Alexander Borodai juga sanggup menyerahkan kotak hitam pesawat tersebut kepada Malaysia. Dari analisis yang dijalankan oleh penyiasat Belanda ke atas perakam penerbangan, ternyata MH17 telah dilanggar oleh objek-objek berkelajuan tinggi dari berbagai arah. Setakat ini objek itu yang belum dapat dikenal pasti lagi.
Sebaik ditembak, pesawat meletup secara spontan dan berkecai di udara. Bahagian kokpit terjunam serta-merta sementara badan pesawat terus terbang dan jatuh 8km dari tempat kokpit. Kawasan jenayah terbesar di dunia ini berukuran 10 km panjang dan 5 km lebar. Mayat dan cebisan daging berguguran dari langit menghujani rumah-rumah dan ladang di perkampungan Grabovo, Donetsk. Ketika itu udara nipis dan oksigen kurang menyebabkan kebanyakan penumpang pengsan. Ini menjelaskan mengapa ada mayat yang ditemui masih memakai topeng udara. Dr. Chandra Muzaffar, Presiden International Movement for Just World (JUST) tertanya-tanya jika ada hubungkait di antara pembunuhan kejam pada aras 33,000 kaki itu dengan kehilangan MH370 pada 7 Mac 2014 lalu. Jika ada, mungkin ini melibatkan agenda politik antarabangsa yang lebih besar. Sebagai negara yang menjadi mangsa, Malaysia mesti berani mencari kebenaran dan tidak perlu takut kepada sesiapa kerana yang menjadi mangsa ialah orang awam yang tidak berdosa.
Pun begitu, bila gajah berperang dengan gajah, tidak semestinya pelanduk mati di tengah-tengah. Perang 51 hari di antara kerajaan Zionis yang dibantu persenjataan dari negara-negara bersekongkol termasuk Negara Uncle Sam telah membuktikan sokongan besar dan senjata canggih belum cukup untuk mengalahkan semangat juang golongan kerdil mujahidin Gaza yang berpaksikan keyakinan padu kepada kuasa Maha Pencipta. Berbanding Israel Defence Forces yang bersifat takut mati, mujahidin Gaza seperti Al Surayaa dan Al Qassam sedia syahid demi mempertahankan tanahair dan agama tercinta. Kesepaduan mereka mengagumkan, meskipun HAMAS dan FATAH mempunyai pandangan politik yang berbeza.
MAS, syarikat penerbangan kebanggaan negara kita telah dianiaya oleh tangan-tangan ghaib yang menguasai dunia. Kehilangan MH370 dan kemusnahan MH17 memaksa MAS distruktur semula. Sahabat baik saya masih merindui tiga orang ahli keluarganya yang hilang bersama MH370. Adik angkat saya pula beserta 6,000 kakitangan MAS yang lain bakal kehilangan kerja. Hanya Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik kedua-dua ujian besar yang menimpa negara kita. Namun kita masih mempunyai dua senjata paling ampuh iaitu DOA dan BOIKOT. Jangan mengalah sama sekali. Hit them where it hurt most.

Sunday, November 16, 2014

Solat Yang Jadi Makruh

Di dalam Kitab ‘SABILAL MUHTADIN’, karangan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari rahimahullah, menyatakan: "MAKRUH MENGERJAKAN SOLAT sambil menahan HENDAK BUANG AIR BESAR ATAU AIR KECIL ATAU HENDAK KENTUT… Bahkan terkadang menjadi HARAM menahannya kalau akan mendatangkan mudarat, dan SUNAT menyelesaikan semua itu bahkan terkadang WAJIB, sekalipun tidak sempat mengerjakan sembahyang jemaah…. Makruh menahan semua yang disebutkan di atas apabila waktunya (waktu solat) masih panjang…. Tetapi jika waktu telah pendek, wajiblah bersembahyang sambil menahannya, selama tidak memberi mudarat, kerana menghormati waktu.."….
Secara asasnya, SOLAT ITU MASIH SAH, tetapi jatuh MAKRUH HUKUMNYA…. Sabda Rasulullah S.A.W: Dari Aisyah r.a berkata: "Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "TIDAK SEMPURNA SOLAT SEORANG MUSLIM apabila makanan telah dihidangkan, atau apabila dia didesak buang air besar atau kecil"… (HR Imam Muslim)… ANTARA SEBABNYA MENJADI MAKRUH ialah, apabila ditahan akan kentut, maka akan TERGANGGU KHUSYUKNYA dalam bersolat... Apatah lagi jika dengan menahan kentut itu, menyebabkan orang berkenaan akan bergerak-gerak kecil dan menyebabkan TERGANGGUNYA JEMAAH LAIN (jika solat berjemaah)… Tetapi hukumnya BOLEH MENJADI HARAM (iaitu tidak sah solatnya) jika dengan perbuatan menahan itu akan mendatangkan mudharat kepada orang yang menahan, seperti penyakit, dan lain-lain…. HUKUM MENAHAN KENTUT JUGA BOLEH BERUBAH MENJADI WAJIB, sekiranya jika kita membatalkan solat, maka akan luput waktu solat (Yakni solat di akhir waktu atas sebab2 yang syar'ie)… Wallahu a'lam...[Ustaz Ramli Joned]