Wednesday, January 1, 2014
Air Mata Si Rempit
serenemaklong.blogspot.com
Dalam satu operasi membanteras kegiatan lumba haram, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun begitu yakin memberi jawapan kepada pegawai serta anggota polis trafik yang bertugas bahawa dia dibenarkan menunggang motosikal oleh bapanya, yang juga pemilik kenderaan berkenaan.
Sebagaimana lazim, pegawai polis bertugas pun menghubungi ibu bapanya. Selepas menunggu hampir dua jam, akhirnya mereka pun tiba. Dari jauh, si ibu meluru ke arah anak lelakinya berdiri. Si bapa pula berjalan lesu. Ketika itu sudah hampir jam empat pagi.
Sebaik tiba di depan remaja itu, tanpa lengah si ibu melepaskan geram dengan mencubit dan menampar badan anaknya. Anggota polis trafik yang mulanya terpinga-pinga melihat situasi berkenaan dengan segera berusaha meredakan keadaan.
Si ibu diberitahu bahawa anaknya melarikan diri ketika cuba ditahan polis dalam sekatan jalanraya. Dia turut menendang motosikal anggota penguatkuasa yang mengejar kawan-kawan rempitnya. Sebaik keadaan ibu itu reda, tahukah apa yang diluahkan olehnya? "Masuk lokap je, encik. Tahanlah kat sekolah jahat Henry Gurney. Tak apa, saya rela".
"Mak tak boleh kawal kau lagi. Kat sekolah kau anak murid mak, kat luar mak tak boleh kawal kau seorang. Selama ini kau cakap tak goyang, tak goyang, tengok semua polis ni, tengok. Kalau dahi ni tak sujud pada sejadah, inilah jadinya," si ibu terus berleter. Keadaannya bagai sebuah drama realiti di depan hampir 50 pegawai dan anggota polis serta anggota Rela yang turut bersama-sama dalam operasi itu.
Semuanya memerhati, bagaikan menyokong tindakan si ibu. Mat-mat rempit lain yang turut ditahan, mulanya sibuk berbual sesama sendiri , namun tiba-tiba terdiam melihat adegan itu. Mungkinkah timbul keinsafan dalam diri mereka?
"Mak dah cakap, malam minggu jangan keluar. jangan, jangan. Tak tengok kat TV ke orang kena tangkap. Bila kita marah, dia cakap nak rompak rumah orang. Kurang ajar punya anak? Sampai hati kau jadi anak macam ni. Budak sekolah pukul 10 duduk kat rumah," kata si ibu lagi dengan nada berselang-seli kesedihan dan nada kekesalan. Airmata ibu mengalir deras. Si anak hanya tunduk kaku, tidak seperti selepas ditahan dua jam sebelum itu, ceria, beriya-iya.
Si bapa tidak mampu berkata-kata. Mungkin dia sudah puas meleteri anaknya itu. Mungkin sudah kering airmata si bapa memikirkan kedegilan anaknya ketika dia keluar mencari rezeki buat kesemua anaknya. Bagi meredakan keadaan, seorang pegawai polis mencelah.
"Kami akan charge (tuduh) dia lari dari sekatan jalan."
Mendengar penjelasan itu, tercetus lagi luahan si ibu. "Kat rumah berapa kali dia nak tumbuk saya. Sekarang ni apa? Aku ni mak kau. Hari-hari aku doa, Ya Allah jadikanlah anak aku golongan yang baik-baik. Tapi kau kata apa? Mak mampus, mak mampus!!!"
Si ibu mencucuk perut si anak. Hilang segala kehebatan si anak. Akhirnya ibu bapa juga yang datang. Biar marah, kesemua yang menyaksikan bagai mengerti, dia tetap anaknya. Dia tetap darah dagingnya. Mungkin kemarahan si ibu sudah sampai ke kemuncak.
"Nanti puan datang ke balai trafik untuk jamin anak ini," jelas anggota polis itu.
Sambil menjeling marah ke arah anaknya, si ibu dengan cepat menjawab: "Jamin kau? No, no. Mak tak akan jamin kau, tak ada tak ada," katanya bagai puas, biar malam itu menjadi pengajaran buat si anak yang degil. Si ibu berlalu pergi.
Belumpun sempat dibawa ke kenderaan polis, remaja itu menangis meraung-raung mengejar ibunya yang tetap tidak mempedulikan dia. Biarkan dia rasa. Biar dia serik. Suara si anak merintih pada ibunya semakin jelas. Si ibu terhenti. Dibiarkan anaknya menangis, meraung di depannya. Direnung anaknya itu.
Siapa tidak sayangkan anak. Tentu wanita itu ibu yang baik. Apatah lagi sebagai seorang guru, sifat penyayang tinggi dalam diri. Tampak wajah amarah si ibu sudah bertukar menjadi simpati dan penuh kasih sayang, tatkala si anak menarik tangan si ibu. Tangan yang sama mengendong dia ketika kecil, memimpinnya ketika melintas jalan, menepuk ketika mahu tidur. Akhirnya si ibu mengalah. Dipimpin tangan anaknya ke kenderaan polis. Berdiri kaku si ibu melihat si anaknya dibawa pergi.
Selepas segala proses selesai, si ibu berjalan keluar dari balai beriringan dengan suaminya dan anak mereka di sebelahnya. Tangan si anak dipimpin erat, kuat bagai tidak mahu dilepaskan lagi.
Seorang anggota polis menegur dan menasihati si anak, “Jika tak kesian pada diri sendiri, kesianlah pada mak ayah. Kesian mereka berhempas pulas membesarkan awak. Esok awak dah kahwin, awak nak anak awak macam awak ke? Jadilah anak yang baik. Sebab tu awak menangis minta maaf pada mak awak tadi, kan”. Tunduk, diam. Polis itu mengucapkan terima kasih kepada si ibu dan bapa kerana tidak putus asa dengan kasih sayang pada si anak yang degil. Tersenyum si bapa. Bagai meredakan hati si ibu.
Hormati dan hargailah ibu dan bapa selagi mereka masih ada. Jangan ditangisi dan diratapi bila mereka sudah tiada. Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment