Sunday, January 12, 2014

Sifat Munafik - Toxic

serenemaklong.blogspot.com
Sikap manusia ada berbagai rupa. Pun begitu kita tetap juga tertanya-tanya mengapa ada manusia yang sanggup menyakiti manusia lain. Ada yang bertindak kejam secara terang-terangan. Contohnya, Ariel Sharon yang berlaku zalim ke atas rakyat Palestin ketika memegang tampuk kuasa di Israel pada 1980an. Dia menerima hukuman dari Allah apabila rohnya terawang-awang dalam keadaan koma selama 8 tahun. Hanya Allah yang mengetahui apa yang dialami dan dilihatnya pada tempoh tersebut. Akhirnya semalam malaikat maut datang menjemputnya untuk dibawa ke alam barzakh. Dalam pada itu ada pula manusia bersifat talam bermuka dua. Di hadapan khalayak dia bersikap baik. Setiap kata-katanya lembut, malah tulisannya penuh nada islamik. Tetapi di sebalik tabir, lain pula niatnya. Dia mahukan kuasa dan kedudukan, tetapi tidak pasti cara untuk mendapatkannya dengan usaha sendiri. Lalu dia memperdaya orang-orang di sekelilingnya, hatta ahli keluarga sendiri. Pakar motivasi dan penulis terkenal, Pahrol Mohd Juoi menggelarnya “TOXIC PEOPLE”. Di dalam al-Quran, Allah menamakannya MUNAFIK.
Kerana sukakan hidup mewah, munafik – toxic sanggup memijak bahu dan memperdaya orang-orang yang mempercayainya demi memastikan dompetnya terisi dan kedudukannya kekal tinggi. Mana-mana orang yang sudah tidak berguna lagi kepadanya, terus sahaja dilemparkannya ke sisi. Penyisihan ini tidak dilakukan oleh tangannya sendiri kerana khuatir imejnya di hadapan khalayak akan terjejas. Dengan pujian dan sanjungan melangit, dia memperdaya mangsa lain untuk melakukan tugas kotor ini. Yang mendapat nama buruk ialah si pelaku, sedangkan di mata dunia munafik – toxic tetap “bersih”.
Manusia BERUNTUNG bila dia menjadi TUAN kepada nafsunya dan RUGI bila NAFSU menjadi tuannya. Bila kita diuji dengan kehadiran munafik - toxic, sabar dan tabahlah. Yakinkan dalam hati bahawa kesabaran itu akan dibayar dengan ganjaran besar di akhirat sana. Serahkan bab hukum menghukum kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui. Ingatlah Firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 2: “Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.”

No comments:

Post a Comment