Saturday, January 11, 2014
Penyebaran Kalam Allah
serenemaklong.blogspot.com
Kebelakangan ini ada semacam pertembungan di antara perkembangan agama Kristian dan agama Islam di Malaysia. Agama Kristian seolah-olah berkembang lebih pantas berbanding agama Islam.
Bila diteliti sudah ramai rakyat Malaysia beragama Islam yang tidak mengambil berat tentang solat. Kalau solat pun hanya sekadar ritual semata-mata, tanpa roh. Ini menyebabkan orang kita jauh daripada Allah. Mungkin ada yang telah murtad pun. Wallahualam.
Sepatutnya solat mesti ditunaikan bila tiba waktunya, tidak kira di mana jua, hatta di padang bola. Namun bila golongan yang taat ini menyahut seruan Allah, ada pula yang mengejek dan mengutuk. Kata-kata sinis turut dilemparkan kepada kumpulan tertentu yang mengadakan “Street Dakwah” untuk mengembalikan golongan terpinggir seperti gelandangan, penagih dadah dan pelacur ke pangkuan Allah.Mengapakah perkara ini berlaku sedangkan kita sama seaqidah? Mungkin pendekatan kita yang salah. Mari kita kaji mengapa agama Kristian berkembang berbanding agama Islam.
1) Orang Islam memperdagangkan agama menerusi produk-produknya dengan harga yang mahal. Contoh air jampi dan minyak penyembuh yang kononnya sudah dibacakan 30 juzuk Al Quran. Begitu juga dengan air zamzam. Sebaliknya orang Kristian memberikan “holy water” secara percuma.
2) Ustaz-ustaz kita yang mengajar agama meminta bayaran tinggi. Ada pula yang menjual Tanah Suci menerusi pakej umrah/ziarah berharga mahal yang kebanyakannya bermotifkan keuntungan. Mubaligh Kristian memberi ceramah agamanya secara percuma . Mereka sanggup meredah jauh ke pedalaman dan menanggung sendiri perbelanjaaan makan minum dan penginapan. Mereka membantu memperbaiki rumah-rumah penduduk yang daif, membelikan keperluan dapur dan secara halus mengembangkan ajaran agama mereka.
3) Jabatan agama Islam menumpukan terlalu banyak masa dalam tugas pencegahan seperti menahan kumpulan kaki judi, pasangan berkhalwat dan berzina, kumpulan ajaran sesat dan sebagainya. Kurang masa berdakwah kepada orang awam demi meramaikan penganut Islam yang baru di samping membawa orang Islam yang berpaling daripada ajaran Allah kembali ke pangkal jalan. Kadang-kadang Jabatan agama Islam mengeluarkan kenyataan yang kadang-kadang boleh menakutkan orang. Sebaliknya, pihak gereja membantu orang-orang yang dalam kesusahan, ibu/bapa tunggal, mangsa bencana alam dan kerja-kerja kebajikan lain, tanpa mengira apa jua anutan agama mereka. Orang Islam cetek ilmu agama yang merasa terhutang budi mudah terpengaruh dengan ajaran agama mereka.
4) Gereja boleh dimasuki pada bila-bila masa. Di dalamnya tersedia tabung wang bantuan dan sesiapa sahaja boleh mengambil wang tersebut untuk kegunaan sendiri dengan syarat nama, alamat dan nombor telefon ditulis dalam sebuah buku yang disediakan di sebelah tabung tersebut. Tujuannya ialah untuk menghubungi orang-orang itu sekiranya memerlukan bantuan lain seperti pekerjaan dan sebagainya. Tetapi masjid kita dikunci kononnya kerana tidak mahu orang tidur di dalamnya.
5) Imam masjid dibayar gaji sedangkan paderi memberi khidmat secara sukarela.
6) Tujuan zakat ialah untuk membantu golongan asnaf. Pegawai-pegawai jabatan agama Islam tidak turun padang dan mencari golongan yang memerlukan ini menyebabkan ramai yang tercicir dari senarai penerima bantuan. Sebaliknya golongan daif ini diminta datang ke pejabat agama untuk mendaftarkan diri. Bagaimana mereka hendak pergi ke pejabat sedangkan wang tambang bas pun tidak cukup? Seperkara lagi, “belanja pengurusan” adalah lebih besar berbanding jumlah yang diserahkan kepada golongan asnaf. Sebaliknya paderi pula lebih mengutamakan pembinaan hospital.
Wallahualam...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment