Thursday, January 9, 2014

Adakah Pahala Bersedekah Pada Yang Belum Muslim?

serenemaklong.blogspot.com
Anggapan bahawa sedekah atau bantuan yang mendapat pahala hanya untuk sesama muslim itu tidak tepat. Pada zaman Nabi s.a.w. kaum muslimin juga pada awalnya merasa berat untuk memberikan bantuan harta kepada selain dari kalangan mereka. Mereka seakan merasakan pahala itu hanya diperolehi jika sedekah itu diberikan kepada sesama akidah. Lalu Allah menurunkan firmanNya dalam Surah al-Baqarah ayat 272 : (maksudnya): “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak beriman) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturanNya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan”. Dengan turunnya ayat ini bererti pemberian sedekah kepada sesiapa sahaja, sama ada muslim atau bukan muslim , orang soleh atau tidak, tetap mendapat pahala dari sisi Allah selagi tujuannya mencari keredaan Allah. (lihat: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/476, Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub). Bahkan dalam zakat, di kalangan ulama berpendapat peruntukan fakir miskin boleh diberikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam. Dr. Yusuf al-Qaradawi antara yang berpegang kepada pendapat ini. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/ 707, Beirut: Muassasah al-Risalah). {Prof Madya Dato Dr MAZA]

No comments:

Post a Comment