Tuesday, January 21, 2014

Tin Kehidupan

serenemaklong.blogspot.com
Seorang profesor dalam kelas sosiologi telah mengeluarkan beberapa barang di hadapan kelas.Apabila kelas dimulakan, tanpa sebarang penerangan, profesor terus mengeluarkan satu tin biskut yang besar dan kosong, dan terus mengisi tin tersebut dengan bola-bola golf sehingga penuh. Kemudian, profesor bertanyakan kepada pelajarnya, “Tin biskut ini sudah penuhkah?” Mereka mengangguk dan mengatakan “Ya!” Profesor kemudian mengambil sekotak kacang, dan menuangkannya ke dalam tin biskut tersebut. Tin biskut digoncangkan sedikit, lalu kacang-kacang pun bergerak-gerak mengisi ruang di antara bola-bola golf. Kemudian, profesor bertanya lagi kepada pelajarnya sama ada tin biskut tersebut sudah penuh atau belum. Pelajarnya mengangguk dan mengatakan “Ya!” Selepas itu, tanpa ditunggu-tunggu, profesor mengambil pula sekotak pasir dan menuangkan pasir tersebut ke dalam tin biskut. Sudah semestinya, pasir yang halus itu mengisi setiap pelusuk dan ruang di dalam tin biskut tersebut. Kemudian profesor bertanya lagi kepada pelajarnya, “Tin biskut ini sudah penuhkah ?” Semua pelajarnya mengatakan “Ya!” dengan penuh yakin! Tiba-tiba, profesor mengeluarkan dua cawan kopi dari bawah meja, dan menuangkan semua kopi itu ke dalam tin biskut yang sudah penuh itu. Pelajarnya tersenyum melihat aksi terakhir itu.
“Sekarang, saya mahu kamu semua faham, tin biskut ini ibarat hidup kamu. Bola golf melambangkan perkara paling penting seperti Tuhan, agama, keluarga, anak-anak, kesihatan, kawan-kawan dan minat kamu. Jika kamu kehilangan benda-benda lain, itu sahaja yang hilang sedangkan hidup kamu masih penuh berisi.Kacang merupakan hal-hal seperti kerja, kereta, rumah. Dan pasir yang kecil dan halus melambangkan perkara-perkara kecil. Kalau kamu masukkan pasir dahulu ke dalam tin biskut, tentu tidak ada ruang bagi kacang ataupun bola golf untuk masuk ke dalam tin. Sama seperti hidup ini, kalau kamu luangkan semua masa dan tenaga kepada perkara-perkara kecil sahaja, kamu tidak akan ada masa dan tenaga untuk perkara yang lebih penting. Oleh itu tumpukan perhatian kepada perkara yang membahagiakan dan menggembirakan hidup kamu.
Sembahyanglah berjemaah. Kukuhkan ikatan silaturrahim. Bermainlah bersama anak-anak. Bawa pasangan tercinta keluar berjalan-jalan. Luangkan masa bersama kawan-kawan. Pasti akan ada masa untuk bersihkan rumah, lipat baju, baiki lampu rumah. Jagalah bola-bola golf dulu, perkara yang lebih bermakna dalam hidup kamua. Ketahui perkara mana yang lebih penting dan patut diutamakan. Yang lain itu semua pasir sahaja.
”Seorang pelajarnya kemudian mengangkat tangan dan bertanya, “Apa maksud kopi tu pula?” Profesor menjawab dengan penuh senyuman, “Bagus kamu tanya. Ia cuma nak menyatakan, tidak kira berapa sibuk pun hidup kita dalam seharian, pasti akan ada ruang untuk minum kopi bersama kawan-kawan..!!!”

No comments:

Post a Comment