Sunday, October 20, 2013

Beting Beras Basah

serenemaklong.blogspot.com
BETING Beras Basah terletak di muara Sungai Perak dekat pekan Bagan Datoh, Perak. Terdapat dua cara untuk sampai ke Beting Beras Basah iaitu dengan melalui jalan darat dan jalan laut. Dari Teluk Intan, kita perlu melalui jalan raya sejauh 45km menuju Pekan Bagan Datoh. Setelah sampai di pekan tersebut, bolehlah naik bot atau sampan untuk ke sana, atau melalui Kampung Sungai Balai dengan mengikut jalan darat yang mempunyai jambatan. Beting Beras Basah hanya dapat dilihat sewaktu air Sungai Perak surut terutama pada waktu pagi dan ia akan tenggelam sewaktu air pasang. Tempat ini dianggap keramat oleh penduduk kampung kerana pelbagai peristiwa aneh. Menurut sumber lisan orang tua, tempat ini dijaga oleh Jin Negeri Perak yang dipunyai oleh Raja Ahmad (putera Sultan Abdul Malik Shah) sehingga kini. Kaitan Kesultanan Perak dengan Beting Beras Basah telah wujud sejak zaman Sultan Muzaffar Syah 1 (1528 – 1549). Sejak itu, setiap Sultan Perak yang akan ditabalkan disyaratkan datang ke Beting Beras Basah untuk istiadat pertabalan pusaka dan bersiram tabal dan beberapa upacara lain yang akan disempurnakan oleh Pawang Diraja. Selain Sultan, Raja Perempuan juga harus melakukan upacara yang sama. Kali terakhir upacara tabal raja ialah sewaktu pertabalan Sultan Azlan Shah dan Raja Perempuan Bainun pada penghujung 1985. Menurut cerita orang-orang tua di Bagan Datoh, sewaktu Almarhum Sultan Idris hendak ditabalkan menjadi Sultan Perak ke 33, pada 1963, baginda telah menyusur menggunakan sampan kecil hingga sampai di tapak tempat Sultan Muzaffar Shah mendarat pada 1528. Istiadat pertabalan sultan-sultan Negeri Perak dilaksanakan di sini kerana mengikut sejarahnya, Sultan Muzaffar Shah iaitu Sultan Perak pertama telah ditabalkan di sini. Sejak itu, keturunannya atau sesiapa yang akan menjadi Sultan Perak diwajibkan datang ke Beting Beras Basah untuk istiadat pertabalan. Mengikut kesah yang pernah diceritakan oleh Almarhum Sultan Idris kepada seorang pengkaji sejarah dari Jabatan Muzium, kapal yang membawa Sultan Muzafar dari Tanah Minangkabau telah tersangkut berhari-hari di Beteng Beras Basah ketika mudik di Sg.Perak. Selepas usaha untuk melepaskan kapal tersebut tidak berhasil, Sultan Muzafar telah berseru: Sedikit tanah Minangkabau Selengkung Pulau Perca Dilingkung ular sikat muna Sebenarnya aku menjadi raja Jauhkan segala mala petaka Perpisahan aku di Selat Melaka Diceritakan juga, selepas seru itu diucapkan, berlaku air pasang dan kapal yang membawa Sultan meneruskan mudik hingga ke Tanah Abang, yang sekarang dikenali sebagai Telok Bakung dan ditempat itulah Sultan Muzafar Shah ditabalkan sebagai Sultan pertama di negeri Perak. Manuscript sejarah asal Perak dulu banyak terdapat di Muzium Taiping tetapi kebanyakannya telah dipindahkan, kemana Wallahualam (Sumber: Mengkeme Anak-Anak Perak/ Mustapha Mohamed Yusoff)

No comments:

Post a Comment