Tuesday, October 8, 2013

Bagas Godang Raja Bilah

serenemaklong.blogspot.com

SEBAHAGIAN besar orang tahu bahawa Tortor, Gordang Sembilan, masakan pucuk ubi tumbuk adalah sebahagian daripada budaya warisan kaum Mandailing.

Pun begitu, untuk melihat keindahan tarianTortor, ia mesti ditarikan oleh penari yang terlatih. Kehebatan Gordang Sembilan hanya akan terserlah bila dimainkan oleh pemuzik yang handal. Bahasa  Mandailing mesti dituturkan oleh mereka yang tahu mengenai bahasa itu kerana bukan semua yang berketurunan  Mandailing tahu berbahasa itu.

Semua warisan ini memerlukan kemahiran. Tetapi Bagas Godang Raja Bilah adalah warisan berbentuk fizikal yang boleh dihayati kewujudan dan keindahannya oleh bukan penari, bukan pemuzik, bukan penutur bahasa Mandailing, bukan pakar masak pucuk ubi tumbuk, malah bukan keturunan Mandailing pun.

Justeru, hari Ahad, 6 Oktober 2013 bersamaan 1 Zulhijjah 1434 lebih 100 orang pencinta warisan telah datang berhimpun di daerah sunyi namun bersejarah ini.

Sukarelawan-sukarelawan ini datang daripada berbagai golongan: yang berkerusi roda, yang bertongkat, yang lemah dek mengidap berbagai penyakit sambil dipimpin oleh kaum keluarga masing-masing, yang muda, kuat lagi gagah.

Pencinta warisan ini datang dari kawasan sekitar seperti Pusing, Chemor, Batu Gajah, Ipoh, Tanjung Malim. Tidak kurang juga sejauh Kuala Lumpur. Sebahagian besarnya berketurunan Mandailing namun ada juga dari etnik lain.

Niat di hati masing-masing hanya satu iaitu membersihkan kawasan persekitaran peninggalan Allahyarham Raja Bilah, melakukan amal jariah, mengeratkan silaturrahim sambil mengharapkan redha Allah. Andaikata Rasulullah s.a.w masih ada, tentu Baginda sangat bersetuju dengan tindakan yang menuruti sunnahnya ini.

Tanpa kehadiran ketua ataupun pengarah, masing-masing tahu apa yang perlu dibuat. Kaum lelaki memotong pokok dan menebas rumput sementara kaum wanita mengumpulkannya untuk dilupuskan. Warga tua bersama-sama menghidangkan sarapan dan makan tengah hari untuk sukarelawan. Selain Bagas Godang, turut menjadi tumpuan pembersihan ialah surau berdekatan yang mana ia merupakan salah sebuah surau tertua di Daerah Kinta.

Gotong-royong ini merupakan usaha jangka pendek. Seharusnya ada cadangan berbentuk jangka panjang untuk menjadikan Bagas Godang ini pusat pelancongan yang setaraf Kellie’s Castle atau lebih tinggi lagi. 

Mungkin ada baiknya jika pewaris Raja Bilah membentuk satu kumpulan atau badan amanah. Kumpulan ini perlu memiliki sebuah akaun amanah di mana semua perolehan dana dapat dikumpulkan, sama ada ia datang dari individu, korporat atau bantuan kerajaan Negeri /Persekutuan. Dana ini digunakan khusus untuk merealisasikan impian tersebut. 

Boleh difikirkan sama ada hendak menjadikannya sebagai sebuah muzium yang mempamerkan barangan peninggalan Penghulu Mukim Papan. Atau, pada skala lebih besar, menjadikan ia sebagai kampung budaya yang di mana ada persembahan Tortor, Gordang Sembilan dan masakan Mandailing (mungkin pada hujung minggu atau hari kelepasan am), di samping mempamerkan pakaian, peralatan atau apa sahaja yang mencerminkan etnik ini. Mungkin di sini juga boleh dijadikan tempat upacara perkahwinan.

Surau itu pula boleh diimarahkan kembali dengan solat berjemaah, acara tahlil, tazkirah dan sebagainya, menurut kesesuaian. Kita hidupkan kembali cara hidup di zaman Raja Bilah sebelum Allahyarham meninggal dunia pada 1911.

Pun begitu, untuk para pewaris Raja Bilah merealisasikan rancangan ini secara sendirian sangat sukar. Banyak kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan. Ini belum dikira prasarana untuk masuk ke tempat berkenaan. Mereka  memerlukan kerjasama dan komitmen yang padu dari seluruh warga pencinta warisan dari berbagai keturunan dan warna kulit walau di mana jua – Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan sebagainya, secara individu mahupun korporat besar.

Bayangkan, Kellie’s Castle yang tidak pernah dihuni oleh pemiliknya sendiri kini telah terkenal di seluruh dunia. Inikan pula sebuah tempat di mana seorang penghulu menghimpunkan penduduk tempatan bagi mendengar permasalahan dan menganjurkan acara keagamaan bagi kesejahteraan mereka.

Setiap usaha bermula dengan LANGKAH PERTAMA. 

No comments:

Post a Comment