Thursday, October 24, 2013

Mengubah Tabiat

serenemaklong.blogspot.com
Islam membentuk umatnya menjadi insan yang baik. Mengubah tabiat ialah sesuatu yang mudah kita lakukan dan kita boleh melakukannya dengan mudah. Sifat pemarah diubah menjadi penyabar. Sifat boros dan membazir yang berunsur sifat syaitan, Nabi s.a.w. ajar umatnya supaya berjimat, berbelanja dengan berhemah dan mengambil kira hak orang yang susah melalui zakat dan infaq. Sebelum datang Islam, orang-orang Arab mempunyai tabiat yang teruk. Namun, dalam masa 23 tahun saja mereka berubah menjadi bangsa bertamadun luar biasa. Mulakan perubahan tabiat dengan niat. Firman Allah: “Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh) – Surah Al-A’la ayat 14.
Mulakan dengan berniat untuk menjadi suami/isteri soleh/solehah, anggota masyarakat yang baik, penghuni syurga, jadi baik untuk bersama-sama Rasulullah s.a.w. di akhirat, dan sebagainya.In sya Allah hidup ini akan dijuruskan kepada apa yang diniatkan oleh hati. Tanpa niat untuk berubah menjadi baik, hidup kita ini akan lalai tanpa sebarang peningkatan.
Perkara pertama yang perlu diubah ialah lisan. Orang baik bercakap mengenai perkara yang baik, sebaliknya orang berperangai buruk mengeluarkan kata-kata yang tidak elok. Sikap orang yang asyik mengeluh, maka nasibnya tidak berubah. Tetapi dengan sikap positif lama kelamaan hidup akan mengalami peningkatan. Kerana itulah Nabi s.a.w. mengajar umatnya berdoa dengan doa-doa yang baik, sebab doa itu adalah otak ibadah dan senjata orang mukmin. Umat Islam sering dinasihatkan supaya bermuhasabah – menilai diri sendiri, sebelum diri dihisab oleh Allah. Siapakah yang boleh memberitahu tentang kekurangan dan keaiban kita? Pertama, guru. Kedua, orang yang rapat dengan kita contohnya ahli keluarga. Ketiga, sahabat baik yang jujur. Kempat, orang bijaksana yang mempunyai hikmah. Kelima ialah musuh. Kadang-kadang apa yang terpacul dari lidah musuh itu ada benarnya. Oleh itu jangan kita sakit hati mendengarnya. Setelah mengetahui aib dan keburukan diri, segeralah ubah tabiat itu.
Kata Hukama, biasakanlah yang betul dan betulkanlah yang biasa. Oleh itu ubahlah semua rutin yang tidak baik. Contoh, tidur awal untuk membolehkan kita bangun awal bagi berqiamullail, kemaskan diri dan persekitaran, sayangi diri sendiri dan memohon supaya Allah juga menyayangi diri kita. Firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” - Surah Ar Ra’du ayat 1.
KESIMPULANNYA: 1. Ubah tutur kata. 2. Ubah cara memandang hidup. 3. Ubah perkara yang sia-sia.
DOA: Ya Allah, dengan segala kebesaran-Mu yang telah mencipta gunung, bukit dan awan ini, maka kurniakanlah kepada kami kebaikan. Ubahlah kami ke arah lebih baik yang Kau redhai untuk kehidupan dunia dan akhirat kami. [Ceramah Motivasi Pagi TV3 oleh Ustaz Muhamad Abdullah]

No comments:

Post a Comment