Monday, October 28, 2013

Bertemu Malaikat Maut


(Foto: Dr Zakir Naik Fan Club Official).

AHMAD, seorang jurutera di sebuah syarikat multinasional, sentiasa sibuk dengan tugas pejabat, kadang-kadang hingga lewat malam dan hujung minggu. Isterinya, Aminah dan dua orang anak lelaki mereka ingin bersama-sama dengannya pada masa santai tetapi apakan daya sudah memang begitu rutin harian Ahmad. Suatu hari pada tahun 2009, Ahmad telah mengalami kemalangan jalan raya bila keretanya bertembung dengan sebuah van ketika dalam perjalanan ke pejabat. Akibatnya dia koma selama 3 hari dan dirawat di sebuah hospital pakar.

Genap 3 hari, pada jam 1.45 tengah hari Ahad, Ahmad sedar daripada koma dan terus menangis. Dalam keadaan sedu sedan Ahmad menceritakan kepada Aminah dan rakan baiknya, Ismail, yang turut berada di hospital mengenai apa dialaminya ketika berada dalam keadaan koma. Dalam keadaan tidak sedarkan diri itu Ahmad telah didatangi oleh Malaikat Maut yang memberitahu bahawa nyawanya akan dicabut pada jam 1.45 tengah hari Ahad. Namun Allah akan menangguhkan kematian itu sekiranya ada 50 orang yang ikhlas berdoa supaya usianya dipanjangkan.

Setakat jam 1.30 tengah hari itu hanya doa Aminah dan anak-anaknya sahaja yang diterima. Doa orang lain termasuk ibu bapa, mertua, adik beradik, ipar-duai, sahabat, jemaah kariah masjid dan jiran semuanya ditolak kerana tidak ikhlas 100%. Ahmad berasa sangat takut kerana di manalah hendak dicari 47 orang lagi yang boleh berdoa secara ikhlas untuknya dalam masa yang yang hanya berbaki 15 minit.

Tiba-tiba bila masa tinggal kurang daripada ½ minit, Malaikat Maut memberitahu Ahmad bahawa Allah telah mengabulkan doa sekumpulan jemaah anak yatim yang baru selesai bersolat zohor. Kumpulan anak yatim itu mengetahui nasib malang yang menimpa Ahmad menerusi siaran akhbar dan berita di televisyen. Tepat jam 1.45 tengah hari Malaikat Maut ghaib dan Ahmad pula sedar daripada komanya dalam keadaan kesedihan.

Ahmad sungguh menyesal kerana terlalu mementingkan kerja sehingga mengabaikan masa santai bersama Aminah dan anak-anak padahal mereka amat menyayanginya dia. Kata-kata Ahmad yang kasar sering menyakitkan hati ibu bapa dan mertuanya. Adik beradik dan ipar duai jarang diziarahi kerana takut mereka hendak meminjam wangnya. Selain daripada solat Jumaat, Ahmad malas berjemaah di masjid. Akibatnya anggota kariah tidak berapa mengenalinya. Solat wajib lima waktu selalu tidak cukup terutama solat Asar lantaran kesibukan kerja. Sikap tidak mahu bertolak ansur dengan kakitangan pejabat telah menimbulkan kebencian mereka. Zakat tidak ditunaikan walaupun dia sebenarnya mampu. Sedekah kepada penghuni rumah anak yatim yang dibuatnya pada bulan Ramadan dahulu pun adalah atas desakan isterinya.

MORAL CERITA Habluminallah (hubungan dengan Allah) dan Habluminnas (hubungan dengan manusia) patut dijaga. Secara fitrahnya, manusia adalah makhluk yang hidup bermasyarakat dan saling memerlukan. Tiada sesiapapun boleh hidup bersendirian tanpa kasih sayang Allah dan insan-insan lain. Jangan berlagak bahawa diri amat penting dalam organisasi. Ingatlah, bila kematian datang menjemput, jawatan penting itu diwarisi oleh orang lain.

No comments:

Post a Comment