Wednesday, October 30, 2013
Toxic People
Tip Untuk Pelajar
Monday, October 28, 2013
Bertemu Malaikat Maut
(Foto: Dr Zakir Naik Fan Club Official).
AHMAD, seorang jurutera di sebuah syarikat multinasional, sentiasa sibuk dengan tugas pejabat, kadang-kadang hingga lewat malam dan hujung minggu. Isterinya, Aminah dan dua orang anak lelaki mereka ingin bersama-sama dengannya pada masa santai tetapi apakan daya sudah memang begitu rutin harian Ahmad. Suatu hari pada tahun 2009, Ahmad telah mengalami kemalangan jalan raya bila keretanya bertembung dengan sebuah van ketika dalam perjalanan ke pejabat. Akibatnya dia koma selama 3 hari dan dirawat di sebuah hospital pakar.
Genap 3 hari, pada jam 1.45 tengah hari Ahad, Ahmad sedar daripada koma dan terus menangis. Dalam keadaan sedu sedan Ahmad menceritakan kepada Aminah dan rakan baiknya, Ismail, yang turut berada di hospital mengenai apa dialaminya ketika berada dalam keadaan koma. Dalam keadaan tidak sedarkan diri itu Ahmad telah didatangi oleh Malaikat Maut yang memberitahu bahawa nyawanya akan dicabut pada jam 1.45 tengah hari Ahad. Namun Allah akan menangguhkan kematian itu sekiranya ada 50 orang yang ikhlas berdoa supaya usianya dipanjangkan.
Setakat jam 1.30 tengah hari itu hanya doa Aminah dan anak-anaknya sahaja yang diterima. Doa orang lain termasuk ibu bapa, mertua, adik beradik, ipar-duai, sahabat, jemaah kariah masjid dan jiran semuanya ditolak kerana tidak ikhlas 100%. Ahmad berasa sangat takut kerana di manalah hendak dicari 47 orang lagi yang boleh berdoa secara ikhlas untuknya dalam masa yang yang hanya berbaki 15 minit.
Tiba-tiba bila masa tinggal kurang daripada ½ minit, Malaikat Maut memberitahu Ahmad bahawa Allah telah mengabulkan doa sekumpulan jemaah anak yatim yang baru selesai bersolat zohor. Kumpulan anak yatim itu mengetahui nasib malang yang menimpa Ahmad menerusi siaran akhbar dan berita di televisyen. Tepat jam 1.45 tengah hari Malaikat Maut ghaib dan Ahmad pula sedar daripada komanya dalam keadaan kesedihan.
Ahmad sungguh menyesal kerana terlalu mementingkan kerja sehingga mengabaikan masa santai bersama Aminah dan anak-anak padahal mereka amat menyayanginya dia. Kata-kata Ahmad yang kasar sering menyakitkan hati ibu bapa dan mertuanya. Adik beradik dan ipar duai jarang diziarahi kerana takut mereka hendak meminjam wangnya. Selain daripada solat Jumaat, Ahmad malas berjemaah di masjid. Akibatnya anggota kariah tidak berapa mengenalinya. Solat wajib lima waktu selalu tidak cukup terutama solat Asar lantaran kesibukan kerja. Sikap tidak mahu bertolak ansur dengan kakitangan pejabat telah menimbulkan kebencian mereka. Zakat tidak ditunaikan walaupun dia sebenarnya mampu. Sedekah kepada penghuni rumah anak yatim yang dibuatnya pada bulan Ramadan dahulu pun adalah atas desakan isterinya.
MORAL CERITA Habluminallah (hubungan dengan Allah) dan Habluminnas (hubungan dengan manusia) patut dijaga. Secara fitrahnya, manusia adalah makhluk yang hidup bermasyarakat dan saling memerlukan. Tiada sesiapapun boleh hidup bersendirian tanpa kasih sayang Allah dan insan-insan lain. Jangan berlagak bahawa diri amat penting dalam organisasi. Ingatlah, bila kematian datang menjemput, jawatan penting itu diwarisi oleh orang lain.
Jangan Hati Terpesong
"Ahli neraka merayu ahli syurga (dengan berkata):Limpahkanlah kepada kami sedikit air atau rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu. Mereka (ahli syurga) menjawab: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan kedua-duanya atas orang kafir. (Surah al A'raf ayat 50).
"Penduduk syurga setengahnya menghadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanya. Seorang antara mereka berkata: "Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu ada seorang rakan yang berkata:"Adakah kau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari Akhirat)? Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang kita telah lakukan?" Dia berkata lagi:"Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanmu yang engkar itu)?" Maka diapun memandang ke arah neraka lalu dilihatnya rakannya itu berada di tengah-tengah neraka yang menyala-nyala. Dia pun berkata:Demi Allah! Kau nyaris-nyaris menceburkan aku dalam kebinasan. Kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya aku akan menjadi daripada orang-orang yang diseret (untuk menerima balasan azab)." (Surah al Saffat ayat 50-59).
"Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman pula mentertawakan orang yang kafir itu. Sambil mereka berehat di atas pelamin yang berhias, serta melihat hal yang berlaku kepada musuhnya. (Untuk menambahkan kegembiraan mereka), mereka ditanya: "Bukankah orang-orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka kerjakan dahulu?" (Surah al Mutaffifin ayat 34-36).
Kesimpulannya: Yang jelas kafir memang jelas di mana mereka akan ditempatkan. Tetapi yang Muslim pun boleh berada di tempat yang sama jika gagal menepati piawaian yang Allah tetapkan (termasuk juga Redha dan Rahmat-Nya). Terlalu banyak hal-hal duniawi yang boleh menyeret kita ke sana.
"Ya Tuhan kami, janganlah Kau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Kau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu; kerana Kau Maha Pemberi (kurnia) - Surah Ali Imran ayat 8.
Sunday, October 27, 2013
Friday, October 25, 2013
Wangian Mampu Menghalau Jin
Mandi Sebelum Subuh
Thursday, October 24, 2013
Mengubah Tabiat
At Taubah 128-129
Wednesday, October 23, 2013
Jadi Ahlullah Dengan Al-Quran
Tuesday, October 22, 2013
30 Orang Pertama Dalam Islam
Dimensi Ciptaan Allah
Membuka Aib
Sunday, October 20, 2013
Beting Beras Basah
Friday, October 18, 2013
Bacaan Sunat Sebelum Tidur
Keluarga Rasulullah s.a.w.
Thursday, October 17, 2013
Keakraban Syiah Iran dan Yahudi
Tuesday, October 15, 2013
La Ilaha Ila Allah
serenemaklong.blogspot.com
Sesaat selepas askar Assad meletupkan Masjid, jemaah di dalamnya dibakar hidup-hidup. Salah seorang yang syahid, In shaa Allah, mengangkat satu jarinya ke atas.
**La Ilaha Ila Allah (Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah)!
Menuju dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Kuasa? – Surah Yusuf Ayat 39.
(Demi) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah satu – Surah As Soffat Ayat 4.
Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu – Surah Asy Syuura Ayat 15.
Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan – Al Ikhlas Ayat 3.
Aku tidak akan sembah apa-apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak sembah (Allah) yang aku sembah – Al Kafiruun Ayat 2-3.
Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya – Surah Al Anbiyaa Ayat 122.
Mereka (bangun menegaskan tauhid) lalu berkata, “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan selain daripada-Nya – Surah Al Kahfi Ayat 14.
Sunday, October 13, 2013
Setulus Ibnu Raabah
serenemaklong.blogspot.com
(Foto Malaysia Life Line For Syria)
MASJID Bilal Ibnu Raabah, Idlib: masjid ini hancur 100 peratus. Tiada yang tinggal melainkan kubah masjid yang menunggu masa untuk rebah.
Kubah yang berada setinggi lapan meter tersembam ke atas bumi dek serangan rejim Basyar selepas solat subuh dan mengorbankan empat orang jemaah termasuk imam masjid tersebut.
Manusia paling ikhlas ialah Bilal Ibnu Raabah. Seorang yang berkulit hitam .. Berbibir tebal .. Berambut kerinting ..
Suatu hari Nabi s.a.w bersabda kepada para sahabat .. Disebalik kulit yang hitam itulah ada sekeping hati yang amat putih .. Di sebalik bibir yang tebal itulah ada suara yang amat kuat melaungkan azan ..
Apabila Bilal melaungkan azan .. Suaranya kedengaran sehingga ke langit ketujuh .. Subhanallah .. Bilal belum wafat tapi tapak kakinya sudah didengari di dalam Syurga ..
(Dato Abu Hassan Din Al Hafiz)
Saturday, October 12, 2013
Masjid Mesra Jemaah
serenemaklong.blogspot.com
KELMARIN ada berita seorang lelaki dipenjara 2 tahun kerana mencuri RM2 dari tabung masjid. Hari ini ingin saya kongsikan status seorang sahabat FB. Bacalah tulisannya dengan berlapang dada dan renungkan jika amalan yang dilakukan selama ini baik atau tidak untuk anggota kariah. Inilah status insan yang saya namakan AKU:
Assalamualaikum kawan-kawan pentadbir,
Masjid mempunyai banyak duit tetapi pihak pengurusan masjid menjadikan duit masjid macam duit mereka sendiri. Curi RM2 kena penjara.Mungkin yang melidi duit tabung itu dalam kesempitan sangat.
Aku pernah masuk gereja dekat Kompleks Asia Jaya. Ada kotak ‘transparent’ atas meja. Ada buku catatan di sebelah kotak. Dalam kotak tak bertutup itu ada banyak duit bermacam-macam not.
Aku belek buku. Lima ruang untuk diisi…tarikh, nama, nombor telefon, jumlah, catatan. Berbagai kaum punya nama ada di dalamnya. Memang aku mencari nama Melayu. Jumpa beberapa nama lengkap dengan nombor telefon.
Aku ambil salah satu nombor. Dia seorang lelaki yang ambil RM50 untuk beli susu anak. Aku call nombor yang dicatat. Sembang beberapa minit. Dia baru diberhentikan kerja sebagai Jaga.
“Dah jumpa Pak Imam masjid. Kena buat surat pada Bendahari. Bendahari pula suruh pergi Pejabat Zakat. Sampai Pejabat Zakat kena isi borang itu ini. Entah bila boleh dapat. Kawan India saya suruh pergi gereja. Boleh terus ambil, kemudian baru tulis nama. Saya pun pergi tempat itu dengan dia.”
Aku tanya dia, “Kenapa encik ambil RM50 saja? Bukan ada orang jaga pun.”
Jawabnya, ”Entahlah. Tapi walaupun tak ada orang jaga tapi Allah nampak, walaupun dalam gereja. Niat saya memang nak beli susu anak dan sikit untuk tambang pusing-pusing cari kerja.”
Terdiam aku sekejap. Lepas itu aku tanya lagi,” Lepas tu, encik?”
Dia meneruskan,” Saya terus pergi beli susu anak dan balik rumah dengan nasi bungkus makan 5 beranak. Padi esoknya gereja telefon. Mereka beri saya kerja jadi Jaga di gereja itu. Tak apalah, asal tak mencuri.”
Aku Tanya lagi, “Encik masih kerja di situ?”
Jawabnya, “ Tak lagi. Saya balik kampung. Gereja bagi modal. Sekarang ni saya berniaga gerai makan.”
Aku rasa pentadbir masjid patut boleh buat lebih daripada gereja. Jangan bangga dengan jumlah terkumpul ratusan ribu tetapi ahli Kariah ada yang dapur tidak berasap. Fikir-fikirkan…
Thursday, October 10, 2013
Maafkanlah
serenemaklong.blogspot.com
Dalam hidup ini begitu banyak individu yang sering menyakitkan hati, mengguris dan melukakan perasaan bahkan menjadikan jiwa berserabut dan penuh kebencian. Seringkali senyuman hilang serinya, tawa menjadi hambar dan air muka hilang cahaya setiapkali bertembung wajah mereka. Bahkan ada yang begitu dengki dan sengaja menyakitkan hati malah sering mereka-reka fitnah dan onar untuk mencacatkan kewibawaan diri.
Ini sebahagian dari warna-warna yang menjadikan perjalanan hidup lebih unik dan jiwa akan menjadi lebih matang jika mampu menyikapinya dengan betul.
Bagaimana rasanya bila berdepan dengan golongan ini, walaupun bilangannya mungkin tidak begitu ramai? Apa pula perasaannya bila yang sering menyakitkan hati itu ialah orang yang begitu hampir dengan kita?
Dia merasakan dirinya paling benar sehingga menolak pandangan orang lain dan tidak memberikan ruang untuk pandangan itu dikemukakan, sedangkan apa yang dilakukannya salah, buah fikiran dan caranya ketinggalan zaman walaupun dari satu sudut dia begitu ikhlas.
Sesungguhnya tidak ada yang lebih baik selain memberi KEMAAFAN - agar jiwa lebih lapang dan bahagia. MAAFKANLAH sehingga kebencian tidak lagi mampu mencemarkan keindahan budi atau merubah rupa jiwa. MAAFKANLAH agar diri mampu tersenyum melihat kehidupan.
Adakah kita merasakan kebencian kita itu menguntungkan kita atau merugikan mereka? Yang kita dapat dari kebencian itu hanya keserabutan jiwa, kemarahan yang meluap-luap dan terusirnya ketenangan dan kedamaian dari hati nurani. Bahkan setiapkali kebencian mula bertahkta, hati akan makin keras, gersang, kasar dan merosakkan air muka. Hingga akhirnya dunia yang luas terasa sempit, hidangan yang lazat hilang kenikmatannya dan tidur tidak lagi merehatkan jiwa untuk mendepani hari baru.
"...dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (An-Nuur 24:22)
Jadi, MAAFKANLAH kerana dalam kemaafan itu Allah SWT menjanjikan keampunan. Bukankah dosa-dosa sendiri pun masih terlalu banyak sedangkan kematian sering mengintai di setiap simpang siur kehidupan. Bagi jiwa yang menyakini hari pertemuan dengan Allah SWT tentunya kita merindukan pengampunan-Nya kerana itu lebih berharga daripada pertambahan usia. Apalah gunanya umur yang bertambah tetapi dosa tidak berkurang.
MAAFKANLAH kerana kita juga sering membuat salah dan setiapkali kita membuat salah, kita sangat mengharapkan orang lain menghadapi kelakuan buruk kita dengan baik bahkan menasihati kita dengan penuh hikmah. Kenapa apabila orang lain membuat salah kepada kita, kita lalu marah-marah dan mempamerkan wajah buruk penuh kebencian?
MAAFKANLAH, agar jiwa menjadi lembut bahkan membuahkan kesabaran dan kepasrahan hingga kita mampu mengukirkan senyuman dari hati paling dalam. Biarkan kemaafan itu menghiasi jiwa dengan kasih sayang sehingga mereka tertunduk hormat dan malu kepada kita.
Pejamkan mata dan berdoalah: Wahai Allah yang Maha Mengetahui; saksikanlah aku sedang memaafkannya dan aku juga mengharapkan keampunanMu. Saksikanlah, aku kasihkannya kerana aku tahu dia ikhlas beramal untuk keredhaanMu. Walaupun dia punya banyak kelemahan tetapi di dalam ilmu Mu, dosa-dosaku lebih banyak. Semoga Engkau menerima amalnya dan amalku, ya Allah.
Di saat itu pasti akan terasa seolah-olah satu hijab gelap yang menutupi hati terangkat dan limpahan cahaya kehidupan kembali menerangi. Tidak ada lagi kebencian dan keresahan. Kemudian carilah kesempatan untuk bermaafan. Pasti nikmat dan kebahagiaan akan ditemui. Setiapkali bertembung wajah, senyuman mudah terukir bahkan diri mampu duduk berbual dan bercerita.
Bagaimanapun yang salah perlu juga diperbetulkan. Kata Ibnu Qayyim; Jika kamu ingin menyuruh yang ma’ruf pastikan ia menjadi ma’ruf. Justeru, jika kita inginkan kebaikan, biarlah tindakan dan cara kita mampu menghasilkan sesuatu yang baik atau lebih baik. Maknanya, setiap tindakan kita perlu disesuaikan dengan niat, cara dan masa yang baik. Kalaupun usaha kita tidak berjaya, yakinlah Allah menjanjikan ganjaran di atas usaha dan kesabaran itu.
Maafkanlah
agar jiwa petah berbicara
mengajar insan erti bahagia
dan tersenyum dalam duka
Maafkanlah
Agar hati lapang segala
Menikmati hari-hari baru
yang kini penuh duka lara
Maafkanlah
Kerana jiwa ini sedar mengerti
Hidup ini ada hari datang dan pergi
Kekayaan Hakiki
serenemaklong.blogspot.com
(Sequoia National Forest, California)
"Kekayaan (yang hakiki) bukanlah dengan banyaknya harta. Namun kekayaan (yang hakiki) adalah hati yang selalu merasa cukup."
(HR. Bukhari Muslim)
Buat Baik Berpada-pada
serenemaklong.blogspot.com
Hamba Allah yang berharta lagi baik hati umpama kembang yang berseri.
Banyak serangga bermanfaat dan serangga sampah datang menghampiri.
Yang bermanfaat mendoakan kesejahteraan.
Yang sampah pula mengambil kesempatan.
Bila hamba Allah itu ditimpa kesempitan, yang bermanfaat tetap jadi peneman.
Yang sampah angkat kaki bertempiaran.
BUAT BAIK BERPADA-PADA, BUAT JAHAT JANGAN SEKALI.
Tuesday, October 8, 2013
Khurafat Di Istana Raja Bilah
serenemaklong.blogspot.com
Khurafat Di Bagas Godang
Filem paranormal pertama di Malaysia bakal diharamkam tayangannya?
Dari hari pertama ditayangkan sehingga hari ini kontroversi filem ini hangat diperkatakan.
Siapa dan Apakah motif sebenarnya disebalik kontroversi ini?
Kalau terdapat arahan dari 'pihak tertentu' supaya filem ini dihentikan serta merta, ianya boleh dicatatkan dalam 'Malaysia Book Of Record' dan sejarah perfileman negara...
from Mazlan Mahdi
to uncleseekers@gmail.com,
intan.syafina@primeworks.com.m
cc Cik Ijah
date Sat, Apr 23, 2011 at 3:22 PM
subject 05 - Penunggu Istana - Pewaris Istana Billah meluahkan rasa tidak puashati
MAZLAN BIN HAJI MAHDI (Anakanda Afifah bt Mohd Dahlan)
TEL: 0166055013
E: mazlanmahdi@gmail.com
KEPADA: PRIMEWORKS STUDIO SDN BHD
(FORMERLY KNOWN AS GRAND BRILLIANCE SDN BHD)
3RD FLOOR NORTH WING, SRI PENTAS
NO 3 PERSIARAN BANDAR UTAMA, BANDAR UTAMA
Tel: 03 7726 6333
Fax: 03 7726 7324
Dan ALTERNATE STUDIOS
Buat perhatian:
1. Teuku Iskandar Teuku Alaudin – Penerbit Eksekutif
2. Ahmad Puad Onah – Penerbit Eksekutif
3. Rosihan Zain – Penerbit Eksekutif
4. Wan Hasliza – Pengarah & Lakon Layar
5. Intan Syafina Hassan – Film Support Executive intan.syafina@primeworks.com.m
FILEM “PENUNGGU ISTANA” TERBITAN PRIMEWORKS STUDIOS, GB & ALTERNATE STUDIOS
BismillahirRahmanirRahim.
Saya yang bernama diatas mewakili generasi ke-3 dan ke-4 keturunan Raja Bilah bin Raja Asal, ingin menyatakan hasrat dukacita atas penerbitan filem terbaru “PENUNGGU ISTANA” yang sedang hangat dipromosikan di media tempatan. Perkara ini hanya kami sedari baru baru ini apabila kami melihat trailer dan juga keratan akhbar yang merujuk kepada filem anda.
Dari pemerhatian kami, kami mendapati ada beberapa kemusykilan dan juga perkara yang pastinya akan disalah tafsirkan oleh masyarakat apabila mereka menonton filem ini. Antaranya:-
1. Tema filem yang mengenengahkan unsur khurafat, puaka dan pemujaan yang bertentangan dengan kesucian Islam dan iktikad ahli Sunnah wal-Jamaah.
2. Nilai estetik sejarahnya dan kepentingan Istana Papan itu sendiri tenggelam dalam jalan cerita filem itu, dan ia bercanggah langsung dengan sejarah perjuangan Raja Bilah di waktu pemerintahannya di situ.
3. Kebenaran untuk menjalankan penggambaran di situ tidak mendapat restu dari waris Raja Bilah lain yang masih hidup. Kebenaran juga pasti tidak akan diberikan jika kami mengatahui yang filem itu lebih menjurus kepada mempromosikan syirik dan khurafat. Ini jelas tidak menjaga sensitiviti pewaris Raja Bilah bin Raja Asal.
Oleh itu, kami dengan kerasnya menolak usaha anda ini dan jika ada kekhilafan dari pihak anda, kami mungkin akan merujuk perkara ini ke badan yang berkaitan untuk mengambil tindakan.
Semoga usaha anda yang taksub mempromosikan khurafat melalui filem ini, walhal anda sepatutnya meng'akbar'kan Allah, akan dilaknat olehNya dan dijauhi dari keberkatanNya.
Saya lampirkan juga carta salasilah pewaris Raja Bilah bin Raja Asal yang masih hidup.
Dengan izin Allah,
Mazlan bin Haji Mahdi
http://
Bagas Godang Raja Bilah
serenemaklong.blogspot.com
SEBAHAGIAN besar orang tahu bahawa Tortor, Gordang Sembilan, masakan pucuk ubi tumbuk adalah sebahagian daripada budaya warisan kaum Mandailing.
Pun begitu, untuk melihat keindahan tarianTortor, ia mesti ditarikan oleh penari yang terlatih. Kehebatan Gordang Sembilan hanya akan terserlah bila dimainkan oleh pemuzik yang handal. Bahasa Mandailing mesti dituturkan oleh mereka yang tahu mengenai bahasa itu kerana bukan semua yang berketurunan Mandailing tahu berbahasa itu.
Semua warisan ini memerlukan kemahiran. Tetapi Bagas Godang Raja Bilah adalah warisan berbentuk fizikal yang boleh dihayati kewujudan dan keindahannya oleh bukan penari, bukan pemuzik, bukan penutur bahasa Mandailing, bukan pakar masak pucuk ubi tumbuk, malah bukan keturunan Mandailing pun.
Justeru, hari Ahad, 6 Oktober 2013 bersamaan 1 Zulhijjah 1434 lebih 100 orang pencinta warisan telah datang berhimpun di daerah sunyi namun bersejarah ini.
Sukarelawan-sukarelawan ini datang daripada berbagai golongan: yang berkerusi roda, yang bertongkat, yang lemah dek mengidap berbagai penyakit sambil dipimpin oleh kaum keluarga masing-masing, yang muda, kuat lagi gagah.
Pencinta warisan ini datang dari kawasan sekitar seperti Pusing, Chemor, Batu Gajah, Ipoh, Tanjung Malim. Tidak kurang juga sejauh Kuala Lumpur. Sebahagian besarnya berketurunan Mandailing namun ada juga dari etnik lain.
Niat di hati masing-masing hanya satu iaitu membersihkan kawasan persekitaran peninggalan Allahyarham Raja Bilah, melakukan amal jariah, mengeratkan silaturrahim sambil mengharapkan redha Allah. Andaikata Rasulullah s.a.w masih ada, tentu Baginda sangat bersetuju dengan tindakan yang menuruti sunnahnya ini.
Tanpa kehadiran ketua ataupun pengarah, masing-masing tahu apa yang perlu dibuat. Kaum lelaki memotong pokok dan menebas rumput sementara kaum wanita mengumpulkannya untuk dilupuskan. Warga tua bersama-sama menghidangkan sarapan dan makan tengah hari untuk sukarelawan. Selain Bagas Godang, turut menjadi tumpuan pembersihan ialah surau berdekatan yang mana ia merupakan salah sebuah surau tertua di Daerah Kinta.
Gotong-royong ini merupakan usaha jangka pendek. Seharusnya ada cadangan berbentuk jangka panjang untuk menjadikan Bagas Godang ini pusat pelancongan yang setaraf Kellie’s Castle atau lebih tinggi lagi.
Mungkin ada baiknya jika pewaris Raja Bilah membentuk satu kumpulan atau badan amanah. Kumpulan ini perlu memiliki sebuah akaun amanah di mana semua perolehan dana dapat dikumpulkan, sama ada ia datang dari individu, korporat atau bantuan kerajaan Negeri /Persekutuan. Dana ini digunakan khusus untuk merealisasikan impian tersebut.
Boleh difikirkan sama ada hendak menjadikannya sebagai sebuah muzium yang mempamerkan barangan peninggalan Penghulu Mukim Papan. Atau, pada skala lebih besar, menjadikan ia sebagai kampung budaya yang di mana ada persembahan Tortor, Gordang Sembilan dan masakan Mandailing (mungkin pada hujung minggu atau hari kelepasan am), di samping mempamerkan pakaian, peralatan atau apa sahaja yang mencerminkan etnik ini. Mungkin di sini juga boleh dijadikan tempat upacara perkahwinan.
Surau itu pula boleh diimarahkan kembali dengan solat berjemaah, acara tahlil, tazkirah dan sebagainya, menurut kesesuaian. Kita hidupkan kembali cara hidup di zaman Raja Bilah sebelum Allahyarham meninggal dunia pada 1911.
Pun begitu, untuk para pewaris Raja Bilah merealisasikan rancangan ini secara sendirian sangat sukar. Banyak kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan. Ini belum dikira prasarana untuk masuk ke tempat berkenaan. Mereka memerlukan kerjasama dan komitmen yang padu dari seluruh warga pencinta warisan dari berbagai keturunan dan warna kulit walau di mana jua – Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan sebagainya, secara individu mahupun korporat besar.
Bayangkan, Kellie’s Castle yang tidak pernah dihuni oleh pemiliknya sendiri kini telah terkenal di seluruh dunia. Inikan pula sebuah tempat di mana seorang penghulu menghimpunkan penduduk tempatan bagi mendengar permasalahan dan menganjurkan acara keagamaan bagi kesejahteraan mereka.
Setiap usaha bermula dengan LANGKAH PERTAMA.
Monday, October 7, 2013
Understanding Not Yet Muslims and Reverts
serenemaklong.blogspot.com
In most cases, a Not Yet Muslim (NYM) will find it more comfortable to talk to a revert because they believe a Muslim Revert understand them better and what they say will be easily understood by the revert. When they meet up, the NYMs will nod and smile when the revert are sharing their own experience in searching for God and the right religion because they can relate to what they are going through now.
That doesn’t mean that a born Muslim (bM) couldn’t do the same. To give them (NYM) confident and feel comfortable to talk to born Muslim, they (BM) need to assure them (NYM) that they really understand how they feel and what they are going through and everything. We must provide more balance and fair information about what Islam is all about, what and why choose Islam, without criticizing other religions.
Be sure we really knew what we are talking about and that we really understand them as we claimed instead of saying we understand how they feel but yet we doesnt really understand. Not Yet Muslim hate that kind of feeling. That why when reverts meeting up, a new revert will find comfort talking to more senior revert who has went through what they are about to go through and everything is not theoretical but a practical way in handling challenges.
Friday, October 4, 2013
Thursday, October 3, 2013
Wednesday, October 2, 2013
Pilih Menantu Terpilih
Sedangkan sewa rumah pun belum berbayar, inikan pula dipaksa menikah pada minggu hadapan. Bernikah dengan gadis kampung yang diaturkan oleh ibu bapanya, di rumah orang tua gadis tersebut, dalam majlis serba sederhana.
Salman memang bekerja tetapi dia tidaklah berjawatan tetap, kerja sambilan di hotel, tolong kawan-kawan berniaga dalam talian di internet, sesekali mengikuti seminar MLM, dan pada kebanyakan masa dia hanya duduk di rumah sewa, menatap ruangan kerja kosong di dada akhbar.
Salman ada melihat gambarnya, dan atas sebab kecantikan itulah dia setuju dengan perkahwinan yang diatur. Dengar cerita, gadis itu lulusan universiti luar negara, bekerja sebagai pegawai kerajaan yang gajinya cukup bagi membayar ansuran kereta BMW.
Pada mulanya, Salman terfikir dirinya ibarat tikus jatuh ke dalam guni beras, tetapi ketika majlis semakin hampir, dia membayangkan mungkin ada perkara yang disembunyikan. Adakah gambar yang diberi itu sama dengan wajah asli gadis yang bakal dinikahinya? Adakah dia seorang ibu tunggal? Atau yang paling menakutkan, wanita itu sedang mengandungkan anak orang lain, dan Salman menjadi 'pak sanggup'!!!
***************
Tengah hari itu Salman nekad pulang ke kampung untuk menyiasat latar belakang bakal isteri, dan mengapa ibu bapa dia sanggup melepaskan anak mereka kepada lelaki seperti dia. Dalam perjalanan menaiki bas menuju ke utara Semenanjung itu Salman beruntung dapat duduk di sebelah seorang penumpang lelaki yang peramah. Salman membuka mulut dan bertanya, “Macam mana hendak tahu latar belakang bakal isteri?”
“Senang sangat. Kalau dia ada FB, buka FB dia, atau taip saja nama penuhnya di internet. Nanti adalah maklumat tentang dia. Kalau susah sangat, pergi ke tempat kerja dia, tanya kawan-kawan dia, atau tanya jiran-jiran dia.”
Untuk menyiasat tentang tunangnya di internet, Salman sendiri tidak tahu nama penuhnya. Yang dia tahu namanya, Sarimah. Berapa ramai orang bernama Sarimah di internet? Lalu Salman mengambil kaedah kedua iaitu bertanya rakan-rakan sekerjanya. Mujur Salman tahu tempat gadis itu bekerja di bandar tersebut.
Sampai saja di kampung, Salman meminjam motosikal ayahnya dan terus ke pejabat berkenaan. Dia tidak tahu apa jawatan Sarimah tetapi di pejabat sebesar itu tentu tidak ramai orang yang sama namanya. Tetapi agak tidak logik pula kalau dia terus masuk ke pejabat dan bertanya berkenaan bakal isteri. Akhirnya dia mengambil keputusan menunggu dan memerhati di seberang jalan.
Mungkin pada waktu makan tengah hari nanti, Sarimah dan kawan-kawannya akan keluar. Apabila sudah cam wajah kawan-kawannya, semasa balik nanti boleh tanya tentang Sarimah. Begitulah Salman mengatur rancangannya. Dia duduk di atas motosikal menghadap pejabat yang cuma setingkat.
Kemudian datang pula rasa menyesal, sebab pada jam 11 pagi, cuaca sudah terik. Di situ pula belum ada pokok yang rendang kerana semuanya baru dicantas dahan. Sudahlah panas terik, pengawal keselamatan di luar pejabat pula asyik meninjau-ninjau. Bukan pengawal keselamatan saja, malah orang yang lalu-lalang pun turut memerhati.
Salman terlupa bandar itu kecil saja. Segala perbuatan yang bukan kebiasaan akan menjadi perhatian. Perbuatan dia duduk di hadapan pejabat nampak aneh. Dia semakin berasa menyesal bila dilihatnya seorang perempuan keluar dari pejabat dan berjalan menuju ke arahnya. Semakin dekat perempuan itu, semakin dia berasa berdebar. Wajahnya semakin jelas, dengan tudung kuning lembut dan baju kurung biru muda. Dialah bakal isterinya, yang cuma dikenal namanya sebagai Sarimah.
Ketika hendak menghidupkan motosikal dan berlalu dari situ, Sarimah sampai dan menyapanya, “Awak ni Salman,kan?”
Salman memberikan senyuman terpaksa. “Ya, saya. Awak boleh cam?”
“Kawan di pejabat yang beritahu, ada lelaki di seberang jalan. Mereka mengusik saya, mungkin saya kenal, dan saya mula perasan rupa awak sama macam gambar yang emak saya beri.”
Hah, seluruh pejabat perasan Salman menunggu di hadapan pejabat!!! Aduh, teruk betul cara dia menyiasat. Salman memerhatikan wajah Sarimah, ternyata wajah aslinya jauh lebih cantik daripada wajah dalam gambar.
Diperhatikan pula perutnya, tetapi tidak nampak tanda mengandung. Ketika Salman sedang memerhati, Sarimah segera menyilangkan tangannya di perut, membuatkan Salman tersipu-sipu. Salman rasa Sarimah memang berani. Berani keluar berjumpa dengan dia. Kalau perempuan lain, tentu mereka tidak akan buat begitu. Inilah pertemuan pertama Salman dengan bakal isterinya. Pertemuan dalam keadaan yang agak aneh.
Kemudian mereka tiba-tiba diam. Masing-masing hanya berdiri di tepi jalan raya, sambil memandang ke arah yang sebenarnya agak aneh untuk dipandang. Salman memandang ke arah pokok dan Sarimah memandang ke arah motosikal ayah Salman.
“Ini tak betul. Aku ni lelaki, patut tunjukkan contoh yang baik kepada bakal isteri, “bisik hati Salman. Akhirnya dia memberanikan diri dan bertanya,”Dah makan?”
“Saya diet.”
Nasib baik dia diet. Kalau dia kata, “Jom makan”, mana hendak dicari duit belanja sedangkan dalam dompet cuma ada lima ringgit. Masakan cukup. Selepas itu, keadaan kembali sepi.
“Saya nak masuk pejabat balik,” kata Sarimah dengan sopan dan membuatkan Salman lega.
“Saya pun nak balik juga,” balas Salman.
“Malam ini jemputlah datang ke rumah.”
“Datang rumah awak?”
“Ya, makan malam dengan keluarga saya.”
Salman diam. Berdebar-debar.
“Jemputlah sekali ayah dan emak awak kalau mereka tak ada halangan.”
“In Sya Allah, selepas maghrib saya saya sampai.”
****************
Sepanjang perjalanan balik Salman berasa tidak puas hati dengan dirinya. Mengapa dia tiba-tiba menjadi kelu? Sepatutnya, pada masa itulah dia banyak bertanya sebab-sebab keluarga Sarimah memilih dia.
Malam itu Salman berasa sedikit cemas. Tentang alamat rumah Sarimah, dia boleh tanya pada ayah. Tetapi patutkah dia bawa ayah dan ibu sekali? Oh, tidak.. tidak.... Bukannya dia tidak tahu fe’el ibu.Nanti habis semua rahsia anak kesayangan itu dia ceritakan.
Salman ada banyak rahsia yang Sarimah dan orang tuanya tidak patut tahu. Paling dia takut ibu akan ceritakan dia minta duit daripada ibu pada setiap bulan. Tetapi hendak pergi seorang diri, rasa tidak yakin pula.
Akhirnya, Salman dapat idea paling bernas. Dia terus melencong ke rumah kawan karibnya, Rudy, yang dikenali sejak kecil. Salman yakin Rudy ada di rumah kerana mereka berdua senasib, belum ada kerja tetap. Bezanya, dia bertarung hidup di kampung, sedangkan Salman bertarung hidup di kota.
Sampai sahaja di rumah Rudy, dilihatnya Rudy sedang duduk di tangga sambil bermain gitar. Rudy pandai mengorat gadis dengan petikan gitarnya, dan dia juga berani berhadapan dengan perempuan, bukan macam Salman.
“Lama tak nampak,” kata Rudy sebaik Salman duduk di sebelahnya.
“Taklah lama mana. Baru dua bulan lebih.”
“Lamalah tu.”
Salman diam,hanya mendengar lagu dari petikan gitar Rudy. Salman cuba menyusun ayat untuk mengajak Rudy menemaninya, tetapi belum ada ayat yang bagus.
“Aku dengar seminggu lagi kau nak kahwin. Kau tak jemput pun aku,” kata Rudy, dan itu secara tidak langsung memberikan Salman jalan bagi melaksanakan rancangannya.
“Ini majlis sebelah pihak perempuan, jadi mereka jemput sebelah perempuan saja.”
“Sebelah lelaki bila pula?”
Salman diam kerana dia tidak tahu bila. Dengan kewangannya sekarang, hidangan mi goreng kepada tetamu pun dia tidak mampu.
“Tengoklah. Kalau ada kad aku sampai ke rumah kau, kau datanglah.”
“Dia cantik tak?” Rudy memandang dengan senyuman penuh berharap.
“Cantik.”
“Macam mana kau jumpa dia?” Senyuman Rudy kini semakin tinggi harapan. Mungkin harapan untuk melihat Saman bahagia.
“Ayah dan emak aku yang jodohkan. Aku terima sahaja.”
“Kau tak pernah jumpa dia?”
“Baru tadi.”
“Memang dia cantik?”
“Memang cantik.”
Rudy kini memperlihatkan pula wajah orang yang sedang gusar dan berfikir panjang.
“Apa kerja dia?”
“Pegawai. Aku tak tahu jawatannya. Tetapi ibu kata, pegawai tinggi juga.”
“Hmm... dia cantik, kerja bagus tetapi dia nak kahwin dengan kau. Hairan.”
Nampaknya Rudy juga sudah perasan sesuatu yang tidak kena. Dia pandang wajah Salman.
Rudy menyambung, “Kau pun, bukannya kacak sangat. Hairan,hairan.”
Salman tersenyum pahit. Memang dia tidak kacak dan itupun sebenarnya merisaukan juga.
“Kau tak hairan?” soal Rudy.
“Memang aku hairan.”
“Kau sudah periksa latar belakang perempuan itu?”
Dipandangnya wajah Rudy. Akhirnya peluang itu tiba.
“Malam ini kau ikut aku. Temankan aku ke rumah tunang aku.”
“Buat apa?” Rudy memandangnya dengan rasa hairan.
“Dia ajak aku makan malam di sana. Jumpa dengan ayah dan ibu dia. Waktu itu aku fikir baru hendak siasat latar belakangnya.”
“Kau pergilah sendiri.” Rudy kembali menyambung memetik gitar.
“Kau bukan tak tahu aku ni penyegan. Aku nak kau temankan aku. Lagipun kau berani, mungkin kau boleh tolong siasat juga.”
“Siasat macam mana?”
“Tanyalah apa-apa soalan yang patut. Engkau berpengalaman dalam dunia percintaan. Mestilah tahu.”
Selepas lama dipujuk, Rudy pun setuju.
****************
Malam itu, walaupun alamat sudah disalin daripada ayahnya, Salman tetap juga sesat. Dia sampai selepas isyak, bukannya selepas maghrib. Dilihatnya makanan yang terhidang di atas meja nampak sudah sejuk. Agaknya Sarimah dan orang tuanya sedang lapar.
“Maaf, lambat sikit.”
“Tak apa, masuklah,” kata seorang lelaki yang yang sebaya ayah Salman. Mungkin dialah ayah Sarimahdan bakal ayah mertua Salman.
“Oh, ini rupanya Salman. Ayah kamu kata kamu akan balik lusa, cepat pula kamu balik,” tegur seorang perempuan, agaknya dia ibu Sarimah.
“Ada hal sikit,” balas Salman sambil berkata, “Kenalkan, ini kawan saya Rudy. Ibu dan ayah saya tak dapat datang.”
Kemudian, Sarimah keluar dari dapur dan dia kelihatan sangat cantik. Salman dan Rudy terpegun.
“Untunglah kau,” bisik Rudy.
Selepas makan, mereka duduk di ruang tamu dan pada masa itulah, Salman menjeling pada Rudy supaya mula menjalankan tugasnya.
“Salman kata, ini kali pertama dia berjumpa dengan pak cik dan mak cik. Malah dengan Sarimah pun baru semalam berjumpa,” kata Rudy memulakan kata.
“Ya, kali pertama berjumpa. Sebelumnya, kami tengok gambar yang ibu dia beri,” jawab ayah Sarimah.
Salman rasa semakin berdebar-debar.
“Tak sangka, orang boleh tahan juga,” sambung ibu Sarimah pula.
Pipi Salman mula berasa panas. Jarang orang memuji dia macam itu. Kalau puji pun, ada makna di sebaliknya. Entah-entah ibu Sarimah pun cuma mahu menjaga hati.
“Itulah saya hairan. Sebab Salman beritahu, orang tua dia yang aturkan. Tak sangka, zaman sekarang masih ada lagi perkahwinan yang diatur oleh orang tua. Apa rahsianya, pak cik?” Tanya Rudy sambil ketawa kecil. Walaupun soalan itu serius, tetapi kelihatan seperti bergurau.
“Tak ada rahsia apapun. Salman tak beritahu kamukah?”
Rudy pandang Salman, kemudian memandang ayah Sarimah dan menggeleng.
Terus Salman bersuara, “Sebenarnya saya pun tak tahu apa-apa.”
“Kamu tak tanya ayah dan ibu kamu?”
Salman rasa menyesal kerana tidak pernah bertanya. Cuma dia ingat bila ibunya bertanya, “Nak ibu carikan jodoh kamu?” Jawabnya, “Boleh.” Tahu-tahu, dua minggu selepas itu, dia sudah bertunang dan dalam masa sebulan akan berkahwin. Itupun bertunang guna duit ibunya. Memalukan betul.
“Saya tak tanya.”
Ayah Sarimah ketawa kecil.
“Begini, saya dan ayah kamu itu memang sudah lama kenal. Suatu hari, borak-borak di kedai kopi, kami bercerita tentang anak masing-masing, kemudian terus bercerita hal jodoh. Akhirnya, terus kepada rancangan mahu menjodohkan anak masing-masing. Selepas itu, inilah yang terjadi,” jelas ayah Sarimah.
“Begitu sahaja, Pak Cik? Mudahnya!” Rudy nampak terkejut, dan Salman pun sebenarnya agak terkejut juga. Ya, mudahnya.
Ayah Sarimah tersenyum lebar. “Tidaklah semudah itu. Kami pun mahu yang terbaik untuk anak bongsu kami. Kami pun ada siasat latar belakang Salman.”
“Jadi pak cik tahu yang Salman ini menganggur dan tidak ada duit?” soal Rudy dan membuatkan Salman geram tetapi pada masa yang sama berasa sangat malu.
“Tahu,” jawab ayah Sarimah sambil ketawa kecil lagi.
“Jadi?” Rudy menyoal sambil memusingkan tangan kanannya. Salman dapat mengagak Rudy sebenarnya mahu kata, “Jadi, mengapa masih pilih Salman?” Mungkin kerana tidak sampai hati, dia cuma buat isyarat tangan sahaja. Salman kenal benar dengan perangai Rudy.
“Itulah yang diberitahu oleh ayahnya. Katanya, anak dia tidak kacak, tidak ada kerja tetap, malah, bulan-bulan masih minta duit daripada ibunya. Tapi, daripada situlah pak cik tahu, Salman ini akan menjadi suami yang baik.” Ayah Sarimah tidak lagi tersenyum, sebaliknya memandang Salman dengan wajah serius. Salman tunduk malu. Rupa-rupanya mereka sudah tahu dia minta duit bulan-bulan daripada ibu.
“Jadi?” Rudy sekali lagi menggerak-gerakkan tangannya.
“Ayahnya juga kata, anak dia akan menelefon ke kampung, paling kurang dua kali seminggu. Walaupun tak ada kerja tetap, kerja pula tak menentu dengan gaji yang kecil tapi setiap kali dapat gaji, dia tak pernah lupa memberikan sedikit kepada ibunya, sungguhpun cuma RM50. Bayangkan walaupun hampir tiap-tiap bulan dia tidak cukup duit, tetapi dia masih ada perasaan untuk membantu orang tua. Itulah namanya tanggungjawab!”
Salman tergamam. Dia tidak sangka ayahnya menceritakan perkara itu juga kepada ayah Sarimah.
“Ooo... tanggungjawab,” Hanya itu kata Rudy sambil mengangguk-angguk
Ayah Sarimah menyambung, “Tanggungjawab itu, bukan bermakna apabila kita kaya sahaja kita perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab itu adalah sesuatu yang kita pegang semasa kita susah dan semasa kita senang. Alam rumahtangga bukan selamanya senang. Lebih banyak masa susahnya. Jadi, pak cik akan berasa lega, kerana tahu anak pak cik berada dalam tangan lelaki yang bertanggungjawab.”
“Betul juga pak cik. Lagipun Salman ini, setahu saya dia tidak pernah tinggal solat dan tak ada girlfriend sebab takut perempuan,” tambah Rudy yang membuatkan Salman tersipu-sipu. Tidak sangka Rudy memujinya.
“Solat itulah perkara utama yang pak cik tanya daripada ayah dia, dan girlfriend pun pak cik ada tanya.” Ayah Sarimah kembali ketawa kecil.
“Susah nak cari orang seperti pak cik. Zaman sekarang, semua ibu bapa nak menantu yang kaya,” tambah Rudy. Tiba-tiba wajahnya murung. Mungkin dia sedang bercerita tentang dirinya secara tidak sedar.
“Semasa pak cik mengahwini ibu Sarimah, hidup pak cik pun susah. Pak cik juga orang susah, cuma bekerja sebagai kerani, sedangkan ibu Sarimah itu anak orang kaya di kampung. Alhamdulillah, keluarga isteri pak cik jenis yang terbuka. Lalu, mengapa pak cik tidak memberi peluang kepada orang yang susah, sedangkan pak cik dahulu pun diberi peluang. Yang utama, sebab dia susah bukan kerana dia malas, tetapi belum sampai rezeki. Besar bezanya, orang malas dengan orang yang belum ada rezeki. Kalau susah sebab duduk rumah dan tidur berguling-guling, memang pak cik tidak terima juga,” jelas ayah Sarimah dengan panjang lebar.
Salman berasa sedikit lega. Tidak sangka begitu fikiran ayah dan ibu Sarimah. Perlahan-lahan, perasaan malu itu mula berkurang. Perlahan-lahan juga, curiganya kepada Sarimah ikut berkurang.
“Anak pak cik pun hebat juga. Dia ikut kata pak cik. Zaman sekarang, biasanya semuanya sudah ada boyfriend dan girlfriend,” kata Rudy. Aku tahu, Rudy juga sedang memasang umpan bagi mengetahui latar belakang Sarimah pula.
“Alhamdulillah. Pak cik sangat bersyukur diberi anak sebegitu. Mulanya, pak cik khuatir juga, tetapi selepas seminggu, Sarimah kata setuju. Cuma pak cik tidak tahu sebab apa dia setuju, mungkin Salman boleh tanya dia sendiri selepas nikah nanti,” kata ayah Sarimah, lalu dia, isterinya dan Rudy ketawa bersama. Tinggal Salman dan Sarimah saja yang duduk terdiam malu. Sempat dia menjeling Sarimah, dan bertanya dalam hati, “Mengapa kamu setuju dengan lelaki macam aku?'
***************
Alhamdulillah. Allah permudahkan segala-galanya. Salman kini sah menjadi suami Sarimah, dan selepas bersalaman dengan Sarimah, gentar dan malunya kepada Sarimah mula berkurang. Malah dia memanggil Sarimah 'Sayang'. Selepas majlis kenduri, Salman dan Sarimah berdua-duan dalam bilik buat pertama kali.
Salman bertanyakan pada Sarimah soalan cepumasnya, “Sayang, mengapa sayang setuju bernikah dengan lelaki seperti abang? Lelaki yang belum tentu masa depan, dan mungkin juga membuat sayang menderita.”
Sarimah memandang lalu menyalami tangannya dan berkata, “Ampunkan Sarimah bang, ampunkan Sarimah.”
Salman mula berdebar-debar dan tidak sedap hati.
“Ampunkan apa, sayang?”
“Sebab, Sarimah sebenarnya pun curiga juga dengan abang, tidak yakin dengan abang. Sarimah minta tolong kawan yang kebetulan tinggal dekat rumah abang di KL supaya menyiasat latar belakang abang. Sarimah juga solat iskhtikarah kerana ragu-ragu kepada abang.”
Debarnya kembali menurun. Rupa-rupanya, Sarimah lebih dahulu menyiasat latar belakang dia. Salman mengangkat kepalanya dan memandang ke arah Sarimah. “Abang ampunkan. Abang pun minta maaf, sebab berasa curiga kepada sayang.”
Sarimah tersenyum. Bukan senyum manis biasa, tetapi senyuman seorang perempuan yang bahagia, dan senyuman itu sangat ajaib kerana ikut membuatkan Salman berasa bahagia. Mungkin inilah perasaan bahagia yang datang daripada kelakuan membahagiakan orang lain. Tetapi persoalan Salman masih belum terjawab sepenuhnya.
“Apa kata kawan sayang?”
“Katanya, abang ini kerja tak tetap. Motosikal pun pinjam motosikal kawan, tetapi katanya dia sentiasa melihat abang membaca ruangan akhbar mencari kerja, menghantar surat, dan sentiasa memeriksa peti surat. Maksudnya, abang ini seorang yang rajin berusaha. Katanya lagi, dia tak pernah nampak abang keluar dengan mana-mana perempuan. Solat pun abang buat berjemaah di surau.”
“Tapi orang secantik sayang takkan tak ada orang yang mahu. Tentu ramai yang mahukan sayang, dan mungkin juga yang ada sudah menghantar rombongan meminang.”
Sarimah sekali lagi tersenyum.
“Ya, memang ramai lelaki yang cuba dekat dengan Sarimah, tetapi Sarimah sangat takut. Sebab, teringat kepada kakak Sarimah?”
“Mengapa dengan kakak, sayang?”
Sarimah pun bercerita panjang lebar, dan tahulah Salman yang kakak dia sudah meninggal. Kakak Sarimah dahulu juga seorang perempuan cantik, dan ramai lelaki yang mahukan dia. Akhirnya, dia kahwin dengan lelaki pilihan hatinya sendiri. Lelaki yang kacak, berpelajaran tinggi, dan bekerja yang gajinya lumayan. Sayangnya, selepas setahun berkahwin, suami kakaknya mula berubah kerana belum mendapat anak. Mula balik lewat dan sering marah-marah.
Malah, apabila suami kakaknya dibuang kerja kerana krisis ekonomi, hidup mereka menjadi susah dan, suami kakaknya juga semakin besar perubahannya. Dia sudah tidak balik berhari-hari, apabila balik pula, hanya bagi meminta wang, marah-marah dan memberi sepak terajang. Kemudian pecahlah rahsia, rupa-rupanya suami kakaknya itu sudah ada perempuan lain. Lalu pada hari itu, dengan hati yang kusut, kakak Sarimah gagal mengawal keretanya lalu kemalangan dan meninggal dunia. Akhir ceritanya itu, terus Salman genggam tangan Sarimah erat-erat.
“Sebab itulah, Sarimah takut menerima mana-mana lelaki dalam hidup Sarimah. Malah, Sarimah juga sebenarnya sudah mengamanahkan ayah dan ibu mencari lelaki yang sesuai untuk Sarimah. Biar tidak kaya, biar tidak kacak, tetapi lelaki itu mampu membahagiakan hidup dengan kasih-sayang dan mendamaikan hati dengan agama.”
Akhirnya, semuanya sudah jelas. Mengapa ayah dan ibu Sarimah memilih lelaki seperti dia, dan mengapa Sarimah menerimanya. Genggaman tangan Salman semakin kuat.
“Abang jagalah Sarimah. Tolong jangan lukakan hati Sarimah,” rayu Sarimah dan matanya mula berair dan tumpah ke pipi. Segera Salman menyeka air mata Sarimah.
“Abang bukan lelaki terbaik, dan abang tak mampu berjanji menjadi suami yang terbaik untuk sayang. Abang cuma mampu berjanji, abang akan berusaha menjadi lelaki dan suami yang terbaik untuk sayang,” kata Salman perlahan, dan Sarimah terus memeluknya. Salman perasan, bahunya sudah basah dengan air mata Sarimah.
(Diadaptasi dari tulisan Encik Bahruddin Bekri)