Tuesday, May 7, 2013

Tabir Cahaya Dan Kegelapan


serenemaklong.blogspot.com



ALLAH berfirman, petikan dari Surah Bani Israil Ayat 72: 

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَمَن كَانَ فِى هَـٰذِهِۦۤ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلاً۬ (٧٢)
Maksudnya:
Sesiapa yang buta di dunia buta juga di akhirat. 

Bukan buta mata yang di kepala tetapi buta mata yang di hati yang menghalang seseorang daripada melihat cahaya hari akhirat.
 
Firman Allah petikan dari Surah Hajj Ayat 46: 

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ يَعۡقِلُونَ بِہَآ أَوۡ ءَاذَانٌ۬ يَسۡمَعُونَ بِہَاۖ فَإِنَّہَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَـٰرُ وَلَـٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ (٤٦)

Maksudnya:
Bukan matanya yang buta tetapi hatinya yang di dalam dada. 

Lalai membuat hati menjadi buta - lupa kepada Allah dan lupa kepada kewajipan dan tujuan serta ikrar kepada Allah ketika masih berada di dalam dunia. Lalai bermula dengan kejahilan tentang hakikat (kebenaran) undang-undang dan peraturan Tuhan. 

Kejahilan berterusan bila kegelapan menyeluruh menutupnya dari luar, dan sepenuhnya menguasai batin. Antara penyebab kegelapan ialah sifat angkuh, sombong, megah, dengki, bakhil, dendam, bohong, mengumpat, fitnah dan lain-lain sifat keji yang menjatuhkan ciptaan Tuhan serba sempruna jatuh merudum ke tahap paling rendah.

Bebaskan diri daripada kejahatan dengan penyucian jiwa. Penyucian  dilakukan untuk mendapatkan ilmu, yang kemudian diamalkan dan  berusaha melawan ego dengan berani, menghapuskan keburukan yang ada pada diri. Perjuangan diteruskan sehingga hati menjadi hidup dengan cahaya. Mata bagi hati yang suci akan melihat hakikat sifat-sifat Allah di sekeliling dan pada dirinya.

Selepas itu barulah timbul kesedaran diri sebenar. Timbul rasa rindu dan ingin kembali ke kediaman abadi, dengan pertolongan Yang Maha Mengasihani.

Bila sifat-sifat kegelapan terangkat, cahaya mengambil alih tempatnya dan orang yang memiliki mata rohani akan melihat. Dia kenal apa yang dia lihat dengan cahaya nama-nama sifat Ilahiah. Kemudian dirinya dibanjiri oleh cahaya dan bertukar menjadi cahaya. Cahaya ini masih lagi hijab menutupi cahaya suci Zat, tetapi masanya akan sampai bila ini juga akan terangkat, yang tinggal hanya cahaya suci Zat itu sendiri.

Hati mempunyai dua mata, satu yang sempat dan satu lagi yang luas. Dengan mata yang sempat seseorang boleh melihat kenyataan sifat-sifat dan nama-nama Allah. Penglihatan ini berterusan sepanjang perkembangan kerohaniannya.
 
Mata yang luas melihat hanya kepada apa yang dijadikan kelihatan oleh cahaya keesaan dan yang Esa. Hanya bila seseorang sampai ke daerah berhampiran dengan Allah, dia akan melihat, di alam penghabisan bagi kenyataan Zat Allah, Yang Esa dan Mutlak.

Untuk mencapai maqam ini ketika masih berada di dalam dunia, diri mesti dibersihkan daripada sifat-sifat keduniaan dan keegoan. Ketinggian yang dicapai ketika kembara ke arah maqam-maqam tersebut bergantung kepada sejauh mana diri diasingkan daripada hawa nafsu yang rendah dan rasa ego.

Pencapaian kepada matlamat yang diingini bukan seperti kebendaan sampai ke tempat kebendaan. Ia juga bukan ilmu yang membawa seseorang daripada tidak tahu kepada menjadi lebih tahu, bukan pertimbangan untuk memperolehi apa yang difikirkan, bukan juga khayalan yang menyatu dengan apa yang dikhayalkan. 

Matlamat yang ingin dicapai ialah kesedaran tentang kekosongan daripada segala sesuatu kecuali Zat Allah. Pencapaian ini adalah perubahan suasana yang berlaku, bukan perubahan pada sesuatu yang nyata. Di sana tiada jarak, tiada dekat atau jauh, tiada kesampaian, tiada ukuran, tiada arah, tiada ruang.

Dia Maha Besar, segala puji untuk-Nya. Dia Maha Pengampun. Dia menjadi nyata dalam apa yang Dia sembunyikan daripada kita. Dia menyatakan Diri-Nya sebagaimana Dia melabuhkan tirai di antara Dia dengan kita. Pengenalan tentang Diri-Nya tersembunyi di dalam ketidakupayaan mengenali-Nya.

Jika ada di antara kita yang sampai kepada cahaya ketika masih lagi berada di dunia, muhasabah (hisab) akan diri kita, buku catatan kita, tentang amalan kita. Hanya di bawah cahaya kita boleh melihat apa yang kita sudah buat dan sedang buat. Buatlah perkiraan sendiri, seimbangkannya. Kita akan membaca buku catatan kita di hadapan Tuhan pada HARI PEMBALASAN. Itulah hari muktamad. Tidak ada peluang lagi untuk mengimbangi jika sudah sampai ke sana.
 
Jika kita berada di dunia ini ketika waktu masih ada, dan kita pula berusaha kerasa untuk mencapai maqam yang didambakan, kita akan termasuk ke dalam golongan yang diselamatkan. Jika tidak, azab dan seksa menjadi bahagian kita di akhirat. Hidup akan berakhir. Di sana ada azab di dalam kubur, ada hari pembalasan, ada neraka yang menimbang sehingga kepada dosa yang paling kecil dan kebaikan yang paling kecil. 

Kemudian ada titian lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang. Hujungnya ialah taman, di bawahnya ialah neraka penuh kecelakaan, penderitaan. Semua itu berkekalan apabila kehidupan yang singkat ini berakhir.

(Sumber: Muhamad Nor Kartor)


No comments:

Post a Comment