Thursday, May 16, 2013

Boikot


serenemaklong.blogspot.com



 
BAGINDA SAW dan para sahabat diboikot selama 3 tahun di Mekah. Mereka diboikot Musyrikin Mekah kerana puak Musyrikin Mekah telah buntu tentang bagaimana cara hendak mengekang dakwah Islamiah Baginda SAW dan juga para sahabat. Mereka kehabisan idea.

Setelah berhijrah ke Madinah, Islam semakin berkembang dan menjadi semakin kuat. Akhirnya, Mekah ditakluk oleh orang Islam yang diketuai oleh Baginda SAW sendiri. Ramai Musyrikin telah mula mencongak bagaimana nasib mereka kerana dahulunya mereka menindas orang Islam di Mekah dan kini setelah berkuasa apakah mereka akan dibunuh. Dengan memegang pinggiran pintu Ka’bah, Baginda SAW bersabda:


“Wahai orang Quraisy, sesungguhnya Allah telah menghilangkan kesombongan jahiliyah dan pengagungan terhadap nenek moyang. Manusia dari Adam dan Adam dari tanah. Wahai orang Quraisy, apa yang kalian bayangankan tentang apa yang akan aku lakukan terhadap kalian?”

Merekapun menjawab, “Yang baik-baik, sebagai saudara yang mulia, anak dari saudara yang mulia.”

Baginda SAW bersabda:

“Aku sampaikan kepada kalian sebagaimana perkataan Yusuf kepada saudaranya: ‘Pada hari ini tidak ada cercaan atas kalian. Allah mengampuni kalian. Dia Maha penyayang.’ Pergilah kalian! Sesungguhnya kalian telah bebas!”

Allahuakbar...!!! Setelah ditindas dan diperangi selama ini malahan ada di kalangan Musyirikin Mekah telah membunuh saudara serta sahabat kesayangan Nabi SAW  tetapi Baginda SAW tidak membalas dendam dengan memboikot atau membunuh mereka tetapi Baginda SAW mengampunkan mereka sebagaimana Nabi Yusuf a.s mengampunkan adik-beradiknya yang membuangnya ke dalam perigi. 

Hebatnya seorang Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin adalah ketika mana di puncak kuasa, Baginda SAW tidak membalas dendam malahan mengampunkan mereka. Baginda SAW hanya mengatakan manusia dari Adam dan Adam dari tanah bagi menunjukkan kepada kita bangsa tiada nilainya di sisi Islam. Adakah kita yang mengaku Muslim mengikut petunjuk Nabi SAW dalam kehidupan seharian kita? Lupakah kita firman Allah SWT:

"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib." [Fussilat 41:34]

Umat Islam lupa akan tanggungjawab dakwah, lupa akan firman Allah dan sabda Nabi SAW dalam kehidupan seharian tetapi mengikut hawa nafsu akibat kegagalan melawan bisikan syaitan. 

“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”[Sahih Muslim]

* Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.
 
(Sumber: Malaysia Reverted Muslim (Formerly Malaysia Chinese Muslim)

No comments:

Post a Comment