Wednesday, May 29, 2013

Disangka Orang Gila

serenemaklong.blogspot.com

                                             Gambar hanya hiasan


JAM menunjukkan pukul 10.30 pagi. Perut Shamsul menyanyi lagu  keroncong lantaran malam tadi dia tidak menjamah apa-apa. Dek terlalu letih dia terus saja masuk tidur.

Dia singgah sarapan di sebuah bazar sementara menunggu temuduga di sebuah stesen minyak. Sekarang ini dia tidak memilih lagi, bersedia menerima apa sahaja kerja asalkan anak isteri tidak kebuluran. Lagipun tidak banyak lagi kerja yang memerlukan ijazah seperti yang dimilikinya.

Ketika sedang menyuap makanan, Shamsul terpandang seorang lelaki tua yang "lusuh " karekternya…bau busuk, baju koyak, kain pelikat singkat, kaki tidak bekasut, tetapi berkopiah. Dia duduk bersandar di tiang bazar dekat dengan kerusi Shamsul.

Terdetik dalam hati, “Adakah pakcik ini lapar. Orang gila yang lapar pun manusia juga". Shamsul terus memesan sebungkus lagi nasi. Pesanan segera sampai ke meja lalu diberikannya bungkusan itu kepada pakcik tadi.

Tuan kedai terkejut dan mengangkat tangan melambai seolah-olah memanggil. Shamsul memberi isyarat balas supaya dia tunggu sebentar.

Pakcik tadi merenung Shamsul dan berkata, "Pakcik dah makan. Terima kasih, nak."

Shamsul bangun dengan rasa kecewa kerana pesanannya tidak dijamah oleh pakcik itu lalu dia pergi kepada tuan kedai yang memanggilnya.

“Kenapa, Pakcik?"

Jelas tuan kedai, “Jangan bagi dan suruh dia makan di sini. Nanti pelanggan lain lari.”

Hati Shamsul tersentap dan menjawab dengan spontan, "Jika orang itu ayah kandung pakcik, adakah pakcik nak halau dia?"

Tuan kedai diam.

“Tak apa, pakcik, saya akan bayar ansuran kalau pakcik rugi hari ni. Cuma satu saja saya nak tanya, betulkah pakcik tadi tu sudah makan?”

Jawab tuan kedai, “Rasanya belum. Dari mula pakcik buka kedai pukul 6.30 tadi, pakcik berkopiah cuma duduk dekat tiang itulah”.

Hati kecil Shamsul berkata: "Tak pernah aku jumpa pakcik gila semulia ini. Tidak mengemis, tidak pula meminta." Shamsul pergi semula kepada pakcik berkopiah. "Pakcik, sunyilah makan sorang-sorang. Pakcik temankan saya makan, jom."

Pakcik itu akur dengan kesungguhan Shamsul. Ramai pelanggan lain  beralih meja kerana tidak tahan dengan baunya. Shamsul hanya menahan hidung kerana tidak mahu melukakan hati orang tua yang tidak dikenalinya itu. Lega tengok pakcik itu makan dengan sangat sopan. Shamsul melontarkan beberapa soalan kepadanya.

“Pakcik dari mana, tinggal di mana?”

Dia menjawab, “Pakcik merantau cari redha Allah.”

Shamsul terkejut. Dalam hatinya sudah syak yang bukan-bukan.”Wali Allahkah dia ini?”

“Mana keluarga pakcik?”

“Pakcik dibuang keluarga kerana sekeping geran tanah”.

“Kenapa, pakcik? Apa masalahnya?”

“Pakcik sedekahkan geran itu untuk seseorang bangunkan pondok mengaji. Keluarga pakcik marah, langsung terus buang pakcik”. 

“Pakcik tinggal di mana?” Dia diam. 

Masa terlalu singkat untuk Shamsul menyambung cerita kerana sebentar lagi dia harus menghadiri temuduga. Dipanggilnya tuan kedai supaya mengira. Jumlah semuanya RM 11.60. Shamsul membuka dompet. Aduh, hanya ada RM 5.00!!! Macam mana ni?  

Pakcik berkopiah melihat riak wajah Shamsul yang seolah-olah sedang dalam kesulitan. Pakcik itu mencelah, “Nak, ambil duit ni, Pakcik bayarkan”.

Dia mengeluarkan suatu sampul yang dijadikan seperti  dompet. Shamsul terpandang di dalamnya ada duit beratus ringgit setebal setengah inci, sekeping kad BSN dan kad pengenalan lama. Rupa-rupanya dia bekas tentera laut.

Tidak lama kemudian semua pelanggan dalam kedai  kehairanan bila tuan kedai mengumumkan bil makanan mereka semua sudah dibayarkan oleh pakcik berkopiah. Mereka semua memandang Shamsul dan pakcik berkopiah.

Dengan tiba-tiba pakcik berkopiah mengangkat tangan dan berdoa dengan suara yang sederhana kuat. Shamsul turut mengangkat tangan. Shamsul terharu mendengar suara "Aamiin." yang ramai. Bila Shamsul menoleh ke belakang, seluruh pelanggan dan tuan kedai mengangkat tangan bersama pakcik berkopiah. Ada yang bangun mendekati mereka berdua untuk berdoa dekat dengannya.

Shamsul rasa sangat terharu dengan keperibadian orang yang disangkanya gila itu. Rupa-rupanya dia itu guru agama!!! Ada yang menangis kerana doa yang cukup mengharukan.

Selesai berdoa, Shamsul bersalam dengan pakcik tadi dan mengucapkan terima kasih dengan harapan dapat berjumpa lagi. Dia  terus berjalan ke motosikal. Dia menoleh ke belakang seketika, semakin ramai yang mengerumuni pakcik tadi. Shamsul senyum tanda puas kerana orang di sekeliling mula berubah sikap dan mendekati pakcik.

Shamsul membuka semula dompet kerana kunci motosikalnya disimpan di situ. Dia terkejut bila melihat 2 keping duit seratus ringgit dan satu nota kecil bertulis: "Ambil duit ini buat beli susu anak dan buah delima untuk orang rumah yang sedang mengidam." 

Shamsul terkedu dan terus memandang ke arah tempat pakcik tadi. Beliau sudah tiada di situ. Shamsul terus memakai topi keledar dan menutup pemuka topi.

Dia menangis terharu dan rasa sangat bersyukur. "Bagaimana pakcik tahu aku dalam kesusahan? Ya Allah, Kau peliharakanlah pakcik itu."

Moral Cerita: 
Penampilan tidak  mencerminkan hati. Orang berpakaian buruk tidak harus dilabel dengan macam-macam gelaran dan dilemparkan dengan pandangan yang menghina. Mungkin dia seorang tabligh yang benar-benar mencari redha Allah.

Yang tampil bergaya kemas dan berkereta mewah itu mungkin saja anggota kongsi gelap yang menjalankan segala macam kerja maksiat.  




No comments:

Post a Comment