Monday, May 13, 2013

Amalan Ibadah Tidak Sempurna


serenemaklong.blogspot.com



BERIKUT adalah sebahagian daripada himpunan  ketidaksempurnaan dalam ibadah yang dipetik daripada ceramah Ustaz Dato’ Ismail Kamus:

Pertama - Ketika sedang berpuasa sunat, ada orang menjemput  makan kenduri. Jemputan itu ditolak dengan alasan sedang berpuasa dan rasa sayang buka puasa, kononnya kerana ingin mendapatkan pahala puasa penuh.

Sebenarnya, kalau dalam keadaan begini, adalah lebih baik puasa itu dibuka dan pergi menghadiri kenduri kerana memperkenankan jemputan jauh lebih utama daripada meneruskan puasa sunat. Membuka puasa pun boleh mendapat pahala lebih.

Kedua - Ramai menganggap Islam hanya pada ibadat solat, puasa, haji, lalu hal itu dijaga sepenuhnya. Namun hukum - hukum lain langsung tidak mahu mengikut cara Islam, contohnya bab riba, dan rasuah. Islam itu syumul (menyeluruh) .

3. Sesetengah masjid suka bertarhim (baca ayat al - Quran sebelum azan Subuh) dan dilaungkan kuat speaker sampai satu kampung boleh dengar. Kadang - kadang sejam atau setengah jam sebelum azan sudah berbunyi. Itu HARAM hukumnya kerana mengganggu orang tidur. Mesti ambil kira juga orang di sekeliling. Mungkin ada orang tua, kanak-kanak baru lahir, orang sakit, orang yang tidur semula selepas bangun tahajjud, dan sebagainya. Mengapa diganggu tidur mereka? Yang disyariatkan dalam agama adalah azan Subuh sahaja. Kalau hendak baca al-Quran pun cukuplah baca sendirian saja. Tidak payah beri sekampung mendengarnya. Ingat dapat pahala, rupanya dapat bala.

Sebenarnya kalau kita sedang baca al-Quran sendirian, tiba - tiba kawan sebelah kita tertidur, kita kena berhenti membaca al - Quran sebab menghormati orang yang sedang tidur itu. Inikan pula sekampung?

Kalau hendak bertarhim kuatpun, agak-agak dalam 10 minit atau 5 minit sebelum azan itu sudah memadai. Tidak payah lama-lama. Sempatlah orang hendak bangun bersiap-siap untuk ke masjid.

4. Apabila hendak solat, tiba - tiba hidangan makanan sudah disediakan. Makanlah dulu kerana bimbang kita tidak khusyuk dalam solat nanti. Begitu juga jika terlalu mengantuk, tidurlah dulu baru solat tetapi dengan syarat masih di awal waktu.

5. Sesetengah orang menghadapi masalah ketika hendak bertakbiratul ihram. Angkat takbir berulang kali tetapi masih tidak masuk niat juga. Itu cuma gangguan Syaitan saja. Memang ada Syaitan yang tugasnya khas hanya untuk mengacau orang yang sedang bertakbiratul ihram. Pedulikan bisikan itu, yakin dengan diri sendiri.

Berkenaan dengan niat pula, niat itu bukan dibaca dalam hati, tetapi hanya lintasan dalam hati saja. Jika dibaca, itu yang menyebabkan susah hendak masuk sebab panjang sangat hendak dibaca. Apa yang dikhuatiri adalah: Jika anda sudah bertakbiratul ihram kali pertama dan andainya ia sudah sah di sisi Allah, tetapi kemudian anda ragu-ragu lantas anda turun semula dan takbir untuk kali kedua .Takbir kali kedua itu akan menyebabkan solat anda menerusi takbir pertama tadi terbatal dan jika anda meneruskan solat dengan takbir kedua itu, bermakna anda meneruskan solat dalam keadaan solat yang terbatal. Melainkan anda melakukan takbir kali ketiga.

Jadi kesimpulannya, be firm & confident ketika takbir.  Seelok - eloknya dapat pada takbir pertama. Pedulikan bisikan Syaitan.

6. Terdapat segelintir imam yang berdoa selepas solat akan memulakan doa dengan “Hamdan hamidin”, “Hamdan zakirin”, atau “Hamdan syakirin”. Bunyinya memang sedap, tetapi dari segi nahu bahasa Arabnya salah ini kerana terdapatnya huruf Alif Lam pada perkataan kedua di setiap bacaan tersebut. Jadi yang sebetulnya harus disebut begini: “Hamdal-hamidin” , “Hamdaz-zakirin” dan ” Hamdasy-syakirin” . (p/s: huruf z adalah huruf zal).

7. Menurut mazhab Shafie, mesti terdapat 7 anggota yang menyentuh tanah ketika kita sedang sujud iaitu dahi, kedua - dua tapak tangan, kedua - dua lutut dan kedua-dua PERUT ibu jari kaki (hidung sunat sahaja). Yang hendak ditekankan di sini adalah berkenaan perut ibu jari kaki, bermakna ibu jari kaki mestilah dilentikkan ketika sujud barulah perutnya boleh mencecah tanah. Terdapat ramai orang yang kakinya menegak saja tanpa dilentikkan. Ketika sujud tidak sah solat kalau macam itu.  

Seperkara lagi, ketika sujud sebelum tahiyat akhir, ada yang sudah siap kakinya disilangkan seperti tidak sabar - sabar hendak duduk tahiyat akhir. Itupun tidak sah juga solatnya, hati-hatilah. Jangan disebabkan hal yang kita anggap remeh menyebabkan solat kita tidak diterima oleh Allah.

8. Pada bulan puasa, orang kita rajin menghantar kuih-kuih atau juadah ke rumah jiran, memang bagus sekali tetapi silapnya di mana? Orang kita selalu mengharapkan dibalas juadah tadi, itulah silapnya, niat sudah lari Kalau menghantar kuih - muih ke rumah jiran, niatlah kerana Allah. Jangan mengharapkan dibalas, kalau dibalas itu rezekilah.

9. Apabila kita bersolat di tempat yang sempit tetapi ramai orang, contohnya di surau R&R, dalam kapal terbang, dan sebagainya, sesudah kita solat, teruslah bangun untuk bagi ruang kepada orang lain untuk solat. Tidak payah hendak berwirid, doa panjang - panjang, solat sunat ba’diah. Lebih utama kita beri orang lain peluang untuk solat, menunaikan perkara wajib berbanding kita hendak buat perkara - perkara sunat. Lebih - lebih lagi kalau waktu maghrib sebab waktunya pendek. Di R&R ramai orang yang macam ini.

10. Menunaikan haji memang rukun bagi kita tetapi kita mesti pandai menyusun keutamaan. Contohnya, jika kita sudah cukup duit hendak pergi haji tahun ini, tiba - tiba ada saudara kita yang jatuh sakit memerlukan kos perubatan yang tinggi, kita kena tangguhkan dulu pergi haji. Gunakan duit itu untuk membantu saudara yang memerlukan memang dituntut dalam Islam.

11. Jika kita hendak solat sunat, tiba - tiba ada tetamu datang ke rumah, kita tangguhkan solat itu dan pergi layan tetamu dulu. Itu lebih utama. Contohnya apabila selesai solat zohor, kita hendak solat ba’diah, tiba - tiba tetamu datang. Tangguhkan solat ba’diah itu dan pergi layan tetamu. Selepas selesai baru buat solat ba’diah dan jika tidak sempat, solat ba’diah zohor boleh diqada selepas solat asar walaupun selepas asar sudah tidak boleh solat sunat lagi, tetapi jika untuk qada solat ba’diah zohor boleh kerana ini pernah dibuat sendiri oleh nabi saw tetapi itupun jika ada hal yang tidak dapat dielakkan. Kalau saja - saja hendak qada tidak boleh.

Sebagai kesimpulan, kita hendaklah pandai menyusun keutamaan dalam beribadat. Jika kita gagal, ia boleh menyebabkan ibadat kita sia - sia sahaja, malah sesetengahnya boleh mengakibatkan dosa pula.

Manusia selalu sibuk mencari sesuatu di dunia yang bakal ditinggalkan, tidak dihebohkan untuk menyiapkan sesuatu yang bakal dibawa ke akhirat.


No comments:

Post a Comment