Tuesday, May 14, 2013

Di Gerbang Fitnah Duhaimak


serenemaklong.blogspot.com


  
SEBUAH hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah bin Umar yang berkata: “Suatu ketika kami duduk-duduk di hadapan Rasulullah saw membincangkan tentang fitnah-fitnah (cubaan dan huru-hara) sehingga Baginda menyebut Fitnah al-AhlasMaka, seseorang bertanya kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah saw, apakah fitnah al-Ahlas itu?’

Baginda  menjawab : ‘Iaitu fitnah pelarian (dari medan peperangan) dan hilangnya harta dan keluarga. Kemudian Fitnah as- Sarrak (fitnah kesenangan), kotoran atau asapnya berasal dari bawah tapak kaki seorang lelaki yang berasal dari kaumku yang mana dia mengaku berasal dari keturunanku, sedangkan dia bukan dari keturunanku, kerana  sesungguhnya waliku hanyalah orang-orang yang bertakwa. Kemudian manusia akan dipimpin seorang lelaki seperti paha di atas rusuk (tidak stabil atau tempang) dn ia berlangsung tidak lama. Kemudian datang pula Fitnah Duhaimak (bencana dan huru-hara) yang mana dia tidak membiarkan ada seseorang dari umat ini kecuali dihentamnya. Apabila dikatakan: ‘Ia telah selesai’, maka ia akan menjadi-jadi. Pada pagi harinya seorang lelaki itu akan beriman, sedangkan pada malam harinya dia pula menjadi kafir, sehingga manusia akan menjadi dua kelompok: Kelompok Iman yang tidak ada kemunafikan dan Kelompok Munafik yang tidak ada iman. Bila itu sudah terjadi, maka tunggulah kedatangan Dajjal pada hari itu atau esoknya.[1]

Jika melihat dari teks yang menjelaskan berbagai bentuk fitnah di atas, nampaknya hakikat dan terjadinya fitnah-fitnah tersebut saling berhubungan satu sama lain. Peristiwa yang satu akan menjadi penyebab munculnya fitnah berikutnya.

Mengenai fitnah pertama iaitu Fitnah Ahlas (yang panjang masanya), sebahagian berpendapat ia sudah terjadi semenjak zaman para sahabat, di mana Umar bin al Khattab merupakan dinding pembatas antara kaum Muslimin dengan fitnah ini, sebagaimana yang diterangkan Nabi saw ketika Baginda berkata kepada ‘Umar:
Sesungguhnya antara kamu dan fitnah itu terdapat pintu yang akan hancur.”[2] 

Sabda Rasulullah saw, ini memang menjadi kenyataan di mana ketika ‘Umar baru saja meninggal dunia, hancurlah pintu tersebut dan terbukalah fitnah ini terhadap kaum Muslimin dan ia tidak pernah berhenti sampai sekarang ini. Sejak wafatnya Umar bin al Khattab, kaum muslimin terus diburu oleh fitnah tersebut.

Imam Ali Al-Qaari menyatakan yang dimaksudkan dengan Fitnah as- Sarrak ini adalah nikmat yang menyenangkan manusia, berupa kesihatan, kekayaan, selamat dari musibah dan bencana. Fitnah ini terjadi disebabkan timbulnya  berbagai maksiat akibat kehidupan mewah, atau kerana kekayaan tersebut menyenangkan musuh.Ia telah bermula pada zaman kita sekarang ini dan menjadi pintu gerbang menyambut kedatangan fitnah Duhaimak.

Fitnah Duhaimak bermakna bencana huru-hara dan kesusahan, iaitu fitnah pertempuran-pertempuran terakhir yang akan bermula dengan perang Armagadon dan fitnah ini akan berakhir dengan terbunuhnya Dajjal yang terlaknat oleh Isa Ibn Maryam a.s.[3]

Beberapa ciri khusus dari Duhaimak yang tidak ada pada  fitnah sebelumnya:
·      Fitnah ini akan menghentam semua umat Islam (lebih khusus lagi bangsa Arab). Tidak seorang pun dari warga Muslim yang terlepas. Fitnah ini menggunakan lafaz “lathama” yang bererti menghentam, atau memukul bahagian wajah dengan tapak tangan (menempeleng/menampar). Ini gambaran fitnah yang sangat keras dan ganas.

·      Fitnah ini akan terus berlangsung, tanpa manusia mengetahui bila ia akan berakhir. Bahkan ketika ada manusia yang berkata bahawa fitnah itu sudah berhenti, yang terjadi adalah sebaliknya.

·      Kesan yang ditimbulkan oleh fitnah ini ialah munculnya sekelompok manusia yang di waktu pagi masih memiliki iman, namun di waktu petang menjadi kafir. Fitnah ini akan mencabut keimanan seseorang hanya dalam satu hari.

·      Sebahagian umat Islam murtad dengan begitu cepat dalam tempoh  yang tidak diketahui. Mereka gugur satu persatu dalam kekufuran, dan puncak daripada kejadian ini ialah manusia terbahagi kepada dua kelompok (fusthathain): Kelompok iman yang tidak tercampur dengan kemunafikan dan kelompok munafik yang tidak memiliki keimanan.

Sebagaimana Nabi saw bersabda sebagai menjawab soalan Abu Huzaifah: `Apakah terjadinya kebaikan (kebenaran dan keadilan) ini akan terjadi pula keburukan (kemungkaran dan kezaliman)?` Baginda saw menjawab: `Benar.`

Abu Huzaifah bertanya lagi:` Dan apakah setelah terjadinya keburukan itu akan terjadi pula kebaikan?`

Baginda saw menjawab,`Benar, sedangkan padanya terdapat ad-Dakhan (kekeruhan).` Abu Huzaifah bertanya, `Apakah kerosakannya itu?`

Baginda saw menjawab: `Adanya satu kaum yang tidak mengambil petunjukku, engkau mengetahui hal itu dan engkau membencinya.`

Abu Huzaifah bertanya: `Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya menemui hal itu?`

Baginda saw menjawab: `Selalulah engkau bersama kelompok kaum muslimin dan pemimpin mereka.`

Abu Huzaifah bertanya, `Bagaimana jika mereka tidak mempunyai kelompok kaum muslimin atau pemimpin?`

Baginda menjawab, `Maka hendaklah engkau menjauhkan diri dari semua kelompok tersebut (bersendirian atau beruzlah).`

Perkataan ad-Dakhan dalam hadis ini mempunyai banyak makna; antaranya kedengkian, kerosakan dan kekeruhan keadaan yang membawa kekacauan dan huru-hara dalam masyarakat.

Apa yang telah disebut oleh Rasulullah saw di atas ada yang telah berlaku dan akan berlaku.   

Rujukan:

[1] HR. Abu Dawud, Kitabul Fitan no. 4242, Ahmad 2/133, Al-Hakim 4/467, Dishahihkan Syaikh Al-Albani dalam Shahih Jami’ Shaghir no. 4194, Silsilah Ahadits Shahihah no. 974.
[2] Diriwayatkan dalam hadis Hudzaifah yang masyhur dalam kitab Bukhari dan Muslim.
[3] Selengkapnya lihat ‘Annul Ma’bud 11/310-311 dan Jaami’ul Ushul 10/25.

(Sumber: Majalah Solusi isu perdana dan sumber-sumber lain.)

No comments:

Post a Comment