Sunday, February 17, 2013

Modal Untuk Berniaga


serenemaklong.blogspot.com


RAMAI yang hendak memulakan perniagaan, tetapi sering kali yang menjadi penghalang adalah kekurangan modal. Kekurangan modal sememangnya menghentikan usaha kita hendak menjalankan sesuatu perniagaan, tetapi adakalanya juga 'modal' hanya sekadar alasan untuk kita melengah-lengahkan masa memulakan perniagaan.

Ketika saya baru hendak mulakan perniagaan lebih kurang 15 tahun lalu, sememangnya saya tidak punyai modal. Ketika itu, saya sedang belajar di luar negara di bawah tajaan kerajaan. Oleh itu, untuk mencari pendapatan tambahan, semestinya perlu bekerja. Selama 2 tahun saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pasaraya kira-kira 2 kilometer dari Universiti. Setiap pagi selepas subuh lagi saya akan berjalan 2 kilometer pergi dan balik dalam kesejukan pagi untuk bekerja sebagai tukang cuci sebelum kuliah bermula.
Walaupun mendapat gaji minimum sebagai pencuci, tetapi, Alhamdulillah dapat juga mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk membantu matlamat saya memulakan perniagaan!

Minggu lepas saya terdengar keluhan rakan yang  tidak mempunyai modal untuk mulakan perniagaan. Teringat pula kisah saya bertungkus lumus untuk mendapatkan modal. Adakah sememangnya dia tidak mempunyai modal, ataupun tidak mahu berusaha lebih untuk mendapatkan modal perniagaan?

Dalam perniagaan saya sering kongsikan konsep yang dikenali sebagai 'boot strapping', maksudnya,  jangan meminjam modal dari mana-mana untuk memulakan perniagaan (tidak kira badan kewangan atau keluarga dan rakan-rakan).

Mulakan perniagaan anda dengan wang simpanan  secara kecil-kecilan. Keuntungan yang diterima dari perniagaan kecil itu dipusingkan kembali untuk memajukan dan mengembangkan perniagaan anda.

Ramai jutawan lahir dari pendekatan bootstrap apabila memulakan perniagaan (termasuk saya sendiri). Dengan menggunakan konsep bootstrap, anda akan lebih berhati-hati dengan wang yang dilaburkan. Anda juga akan lebih mempelajari dari usaha sendiri. Ia akan memaksa anda menggunakan inovasi dan kreativiti anda dalam menguruskan perniagaan anda - mulakan kecil dan perlahan-lahan kembangkan perniagaan dengan ilmu dan pengalaman yang dikumpulkan melalui bootstrap.

Sekiranya anda ingin memulakan perniagaan dengan pinjaman modal RM30,000 - RM40,000, fikir sekali lagi. Statistik mengatakan  bahawa lebih dari 90% perniagaan baru gagal dalam tahun pertama sahaja! Saranan saya, mulakan perniagaan kecil dahulu dan kembangkannya perlahan-lahan; Bootstrap!

(Tulisan oleh Irfan Khairi)

No comments:

Post a Comment