Monday, February 4, 2013

Gendong Aku Sampai Ajalku Tiba


serenemaklong.blogspot.com




SUATU malam ketika Ahmad kembali ke rumah, isterinya, Aminah sedang menghidangkan makan malam. Sambil memegang tangannya Ahmad berkata, "Abang ingin beritahu sesuatu kepada Inah." Aminah lalu duduk di samping sambil menemaninya menikmati makan malam dengan tenang. Tiba-tiba Ahmad tidak tahu bagaimana hendak memulakan kata-kata yang terasa berat untuk keluar dari mulutnya.

Ahmad ingin bercerai, kerana itu mahu tidak mahu diberanikan dirinya. Nampaknya Aminah tidak terganggu sama sekali dengan kata-kata Ahmad, malah dia bertanya dengan tenang, "Mengapa?" Ahmad enggan menjawab. Ini membuat Aminah marah. 

Malam itu mereka tidak bertegur sapa. Aminah terus menangis dan menangis. Ahmad tahu bahawa dia ingin tahu alasan di sebalik keinginan untuk bercerai itu. Dengan rasa bersalah yang mendalam, Ahmad membuat surat persetujuan untuk bercerai. Aminah bakal memiliki rumah, kereta, dan 30% daripada keuntungan syarikat mereka.

Aminah sungguh marah dan mengoyakkan kertas itu. Ahmad minta maaf kerana Aminah membazirkan 10 tahun daripada hidupnya untuk dia, semua usaha dan tenaga yang telah diberikannya. Namun Ahmad tidak boleh menarik kembali janjinya kepada Jane, wanita simpanan yang sangat dicintainya. Bagi Ahmad tangisan Aminah tidak bererti apa-apa. Keinginan untuk bercerai telah muktamad.

Hari berikutnya, ketika Ahmad lewat pulang ke rumah, dia melihat Aminah sedang menulis sesuatu di atas meja di bilik  tidur. Ahmad tidak makan malam tetapi terus tidur kerana sangat mengantuk  akibat keletihan seharian suntuk bersama Jane. Ketika Ahmad terbangun, dilihatnya Aminah masih duduk di meja sambil terus menulis. Ahmad tidak menghiraukannya lalu menyambung tidur.

Pada pagi itu, Aminah menyerahkan syarat-syarat perceraian yang telah ditulisnya kepada Ahmad. Dia tidak ingin apa-apa kecuali tempoh sebulan sebelum perceraian. Dalam sebulan itu, mereka berdua harus hidup normal sebagai suami isteri. Alasannya sangat sederhana. Anak lelaki mereka akan menjalani peperiksaan dalam bulan itu dan dia tidak boleh diganggu dengan hal perceraian mereka. Selain itu, dia juga meminta agar Ahmad menggendong dia sambil mengenang kembali saat mula pernikahan mereka. Dia meminta Ahmad menggendongnya selama sebulan itu dari bilik tidur sampai ke pintu depan ruang tamu pada setiap pagi.

Ahmad fikir Aminah sudah gila. Akan tetapi, biarlah dicuba juga untuk membuat hari-hari terakhir mereka menjadi indah demi perceraian yang diinginkan. Dia bersetuju dengan syarat-syarat Aminah.

Ahmad menceritakan hal itu kepada Jane yang tertawa terbahak-bahak mendengarnya. "Ikutlah kehendaknya itu asal saja dia diceraikan," kata Jane.

Ahmad rasa kaku ketika menggendong Aminah pada pertama kali kerana mereka memang sudah lama tidak melakukan hubungan kelamin. Anak mereka melihat sambil bertepuk tangan. "Wow, Abah gendong Mama."

Sambil memeluk Ahmad dengan erat, Aminah berkata, "Jangan beritahu dia pasal perceraian ini."

Ahmad menurunkannya di depan pintu. Dia lalu pergi ke depan rumah untuk menunggu bas yang akan membawanya ke tempat kerja, sedangkan Ahmad memandu kereta sendirian ke pejabat.

Pada hari kedua, mereka berdua melakukannya dengan lebih mudah. Aminah memeluk erat sehingga Ahmad dapat mencium dan merasakan keharuman tubuhnya. Ahmad mula sedar bahawa dia tidak memperhatikan wanita itu dengan saksama untuk waktu yang agak lama. Dia tidak muda seperti dulu lagi, ada bintik-bintik kecil di wajahnya, rambutnya sudah mulai beruban. Namun entah mengapa hal itu membuat Ahmad terkenang waktu pernikahan mereka dulu.

Pada hari keempat, ketika Ahmad menggendongnya, dia  mulai merasakan kedekatan. Itulah wanita yang telah memberi dan mengorbankan 10 tahun kehidupannya untuk dia. Pada hari keenam dan ketujuh, perasaan kedekatan  sebagai suami isteri mulai tumbuh kembali di hatinya.

Suatu hari, Ahmad melihat dia sedang memilih baju yang hendak dipakai, tetapi tidak ada yang sesuai. Dia sedikit mengeluh, "Semua baju ni dah terlampau besar untuk badan Inah sekarang."

Ahmad sedar Aminah semakin kurus dan kerana itulah dia mudah digendong. Hatinya banyak memendam luka dan kepahitan hidup. Ahmad menghulurkan tangan dan menyentuh kepalanya.

Tiba-tiba anak mereka muncul di pintu dan berkata," Abah, dah sampai masa Abah menggendong Mama." Bagi anak itu, melihat Abah menggendong dan membawa Mamanya menjadi sesuatu yang penting dalam hidupnya. Aminah memeluk erat tubuh anak itu dengan rasa terharu. Ahmad memalingkan wajah daripada pemandangan yang boleh mempengaruhi dan mengubah keputusannya untuk bercerai.

Ahmad mengangkat Aminah dengan kedua tangan, berjalan dari bilik tidur melalui ruang tamu sampai ke pintu depan. Tangan Aminah melingkar erat di lehernya dengan lembut dan sangat romantis bagaikan suami isteri yang harmoni. Ahmad pun memeluk erat tubuh Aminah seperti pada hari pernikahan mereka 10 tahun lalu. Akan tetapi tubuhnya yang sekarang ringan membuat Ahmad sedih.

Pada hari terakhir, Ahmad menggendong Aminah dengan kedua lengan. Rasa susah bergerak meskipun cuma selangkah ke depan. Anak mereka telah pergi ke sekolah. Ahmad  memeluk erat Aminah sambil berkata, "Abang tak pernah perasan yang selama ini hidup kita dah hilang kemesraan."

Ahmad memandu keretanya sendirian ke pejabat Jane. Dia melompat keluar dari kereta tanpa mengunci pintu. Dia mahu cepat kerana takut ada sesuatu yang akan membuatnya mengubah fikiran. Jane membuka pintu dan Ahmad terus  berkata kepadanya. "Maaf Jane, aku tak mau ceraikan isteri aku."

Jane memandang Ahmad penuh tanda tanya bercampur hairan dan kemudian menyentuh dahi Ahmad dengan jarinya. Ahmad mengelak dan berkata, "Maaf Jane, aku takkan bercerai. Perkahwinan aku terasa membosankan sebab dia dan aku tidak menghayati setiap saat kehidupan kami, bukan kerana kami tidak cinta satu sama lain. Sekarang aku sedar, sejak aku menggendongnya sebagai syaratnya itu, aku ingin terus menggendongnya sampai hari kematian kami." 

Jane sangat terkejut mendengarnya. Dia menampar Ahmad dan kemudian membanting pintu dengan kuat. Ahmad tidak menghiraukannya. Dia memandu kereta pergi jauh dari situ.

Ahmad singgah di sebuah kedai bunga dan memesan bunga untuk Aminah. Gadis penjual bunga bertanya apa yang harus ditulis pada kadnya. Ahmad tersenyum dan menulis, "Abang akan menggendong Inah setiap pagi sampai kematian menjemput."

Pada petang itu ketika tiba di rumah, dengan bunga di tangan, sebuah senyum menghias wajah, dia berlari ke dalam rumah untuk menyerahkan bunga itu dan merangkul Aminah demi memulai sesuatu yang baru dalam perkahwinan mereka.

Tetapi apa yang ditemuinya? Isterinya telah meninggal dunia di atas katil tempat mereka tidur bersama selama 10 tahun perkahwinan.

Ahmad baru tahu bahawa selama ini Aminah berjuang melawan kanser ganas yang telah menyerangnya sejak berbulan-bulan, tanpa pengetahuan Ahmad yang sibuk  menjalin hubungan asmara dengan Jane. Aminah tahu hayatnya tidak lama. Meskipun begitu, dia ingin menyelamatkan Ahmad daripada pandangan negatif yang mungkin timbul dalam hati anak mereka kerana kebodohan seorang suami dan ayah yang hendak menceraikan wanita yang telah berkorban selama sepuluh tahun mempertahankan rumahtangga demi anak mereka.

Betapa berharga sebuah pernikahan di saat kita dapat melihat atau mengingat kembali apa yang membuatnya berharga. Ingat pada perjuangan dan peristiwa yang telah berlaku di dalam rumahtangga, ingat tentang janji yang telah dimeterai. Semua itu hanya berakhir saat maut memisahkan.

No comments:

Post a Comment