Monday, February 18, 2013

Dilema Pinjam Duit


serenemaklong.blogspot.com


SEBELUM memberi pinjaman kepada seseorang, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan. 

Pastikan setiap pinjaman  mempunyai cagaran. Sekiranya kawan hendak pinjam RM500, minta sesuatu untuk dipegang yang berharga lebih dari RM500 sebagai cagaran, contoh set televisyen untuk digunakan sementara berhutang. Selagi hutang tidak di bayar, pegang set TV tersebut. Gunakan ia di bilik tidur sekiranya ruang tamu sudah ada TV. Sekiranya kawan hendak menonton TV, bayar dulu wang RM500 tersebut. Jangan lupa, apabila seseorang meminjam wang anda, ia adalah salah mereka dan anda yang dalam kerugian. Sekurang-kurangnya dengan cara ini, anda mengimbangkan keadaan.

Keduanya, sediakan perjanjian bertulis mengandungi jumlah yang dipinjam dan terma bayaran. Pastikan terdapat sejumlah wang dibayar setiap 1hb pada setiap bulan apabila mereka mendapat gaji. Jangan biarkan pinjaman hanya sekadar janji mulut sahaja tanpa terma dan jangkamasa bayar balik. Dengan mempunyai perjanjian sebegini ia memastikan anda serius dalam mendapatkan wang anda kembali. Sekurang-kurangnya ia merupakan bukti bertulis sekiranya kawan anda buat-buat lupa hutang tersebut.

Ketiga, ketahui apakah kegunaan wang yang dipinjam. Sekiranya untuk menaiktaraf dari bawa motor kepada bawa kereta kerana inginkan kemewahan, anda boleh pertimbangkan sendiri berbaloi atau tidak untuk anda beri pinjaman. Ketahui apa yang akan digunakan dengan wang yang dipinjam bukan sahaja untuk anda membuat keputusan untuk meminjamkan atau tidak, tetapi sekurang-kurangnya anda tahu wang itu tidak pergi kepada perkara yang tidak elok dan membazir sahaja. Sebagai contoh, sekiranya ada ahli keluarga yang hendak menyambung rumah. Fikir sama ada ia perlu atau tidak. Sebaik-baiknya untuk mengawal keadaan pinjaman, anda sendiri membayar wang untuk kegunaan yang dikatakan.

Akhir sekali, jangan pinjamkan wang sekiranya anda sendiri tidak mampu. Anda telah bekerja keras untuk mendapatkan wang, jangan pula akibat meminjamkan wang kerana kasihan, anda tinggal sehelai sepinggang. Jangan sehingga simpanan anda kering kontang. Nanti silap haribulan, anda pula yang makan nasi berlauk garam!

Tepuk dada, tanya selera apabila seseorang meminta pinjam wang. Terdapat berbagai kemudahan pinjaman wang melalui institusi kewangan sama ada untuk tujuan peribadi, membeli kereta, rumah, atau perniagaan. Mungkin keputusan terbaik menasihatkan kawan itu membuat pinjaman dari institusi tersebut. Dan sekiranya mereka katakan mereka telah cuba tetapi tidak diluluskan, maka ini satu lagi sebab anda perlu fikirkan. Kalau bank pun tidak meluluskan pinjaman kerana tidak yakin dapat dibayar balik, masakan anda pula yang yakin akan mendapat wang anda kembali!

(Tulisan oleh Irfan Khairi)

No comments:

Post a Comment