serenemaklong.blogspot.com
UMAR pergi menunaikan fardu haji setelah bersusah payah mengumpulkan
perbelanjaan. Di tanah suci dia tidak pernah jemu beribadat, bermunajat dan
berdoa.
Di antara doanya yang istimewa ialah agar dia dikurniakan Allah anak yang
soleh. Umar berdoa ketika dia bermunajat di Multazam dengan linangan airmata, katanya:
“Ya Allah, Tuhan
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku datang dari kampung halamanku yang
jauh di Malaysia, hanya kerana ingin menyahut panggilan-Mu (Labbaika Allahumma Labbaik!). Sekarang
aku telah berada di sisi ka’abah-Mu yang mulia. Kedatanganku bukan kerana
hendak melancong. Aku memenuhi panggilan-Mu dan menziarahi Rumah-Mu setelah bersusah
mengumpul perbelanjaan dari hasil pertanian. Kedatangan aku
mengharapkan rahmat dan keampunan-Mu.
Setelah sampai di sisi Ka‘abah-Mu aku semakin rasa
malu, semakin menginsafi kejahilan dan kelemahan diri sendiri. Apatah lagi
setelah melihat tetamu-Mu yang datang dari penjuru dunia. Aku malu kerana aku
membaca kitab-Mu tetapi tidak memahaminya. Aku tidak faham sabda Rasul-Mu
Muhammad SAW, kerana aku tidak menguasai Bahasa Arab. Namun aku tetap yakin dan
berharap kerana sifat-Mu yang Rahman-RahimMu,
sifat Maha Kaya yang ada pada-Mu agar Engkau ampunkan dosaku dan mengurniakan aku
anak soleh yang dapat memahami kandungan Kitab suci-Mu, sunnah Nabi-Mu dan
dapat memahami ajaran agama-Mu. Ya, Allah, aku juga berharap Engkau memberiku
limpahan taufik, hidayah, dan ‘inayah supaya aku dapat memperbaiki segala kekurangan dan
kelemahan bila kembali dari Tanah Suci kelak. Amin!
Akhirnya Umar dikurniakan Allah ‘buah hati’ yang
kemudian menjadi seorang anak yang memahami al-Quran, Hadis dan agama Islam,
dan membimbing umat ke jalan Allah, dengan ucapan, perbuatan, karya tulisannya.
Dalam pada itu Umar juga semakin tekun dan taat beribadat.
Walillahil hamd! Munajat dan tadarru’ yang tekun dan ikhlas didengar dan
dikabulkan Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang.
Rasulullah SAW bersabda:
‹‹ إِذَا
سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ ››
Ertinya “Apabila
ingin meminta, mintalah kepada Allah. Dan apabila ingin meminta tolong, minta
tolonglah kepada Allah”. (HR Tirmizi, Ahmad dll).
Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
«اللَّهُمَّ
إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ اْلأَرْبَعِ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ وَمِنْ قَلْبٍ لاَ
يَخْشَعُ وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ وَمِنْ دُعَاءٍ
لاَ يُسْمَعُ».
Ertinya ‘Ya
Allah, aku memohon perlindungan-Mu dari empat perkara: dari ilmu yang tidak
bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang mahu kenyang, dan dari doa yang
tidak didengar’. (HR Abu Daud).
Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
«ثَلاَثُ
دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لاَ شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ
الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ».
Ertinya ‘Terdapat
tiga doa yang mustajab yang tidak syak lagi: doa si ayah, doa si musafir, dan
doa orang yang teraniaya.’ (HR Abu Daud, Ahmad dll).
(Sumber: Dari buku: Merebut Pahala Berlipat Ganda Dalam Masa Singkat, ms
178-179, hasil terjemahan Ustaz Ahmad Asri Lubis)
No comments:
Post a Comment