Tuesday, February 5, 2013

Alah Bisa Tegal Biasa


serenemaklong.blogspot.com



SAMAD, seorang petani dan keluarganya tinggal di sebuah kampung yang mana rumah masyarakatnya rata-rata berbentuk panggung. Umumnya kolong rumah mereka dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan barang-barang pertanian, tetapi ada juga yang dijadikan kandang haiwan ternakan.

Begitulah juga Samad. Walaupun kambing ternakan di dalam kolong rumahnya tidak banyak namun cukup untuk memenuhi keperluan lauknya sepanjang tahun, bahkan di bulan haji terkadang boleh juga menjual 2 atau 3 ekor kambing.

Dia dan keluarganya sudah terbiasa dengan suara embik kambing yang menjadi irama di telinga  mereka. Bahkan bau hamis pun tidak menjadi masalah.

Pada suatu masa, Samad dan keluarganya menghadiri upacara perkahwinan di kampung bersebelahan. Kebiasaannya upacara perkahwinan di kampung itu mengambil masa sampai tiga hari tiga malam.  Kerana keluarga Samad bersaudara dengan keluarga pengantin, mereka turut membantu kerja kenduri kendara itu. Suasana cukup bahagia dan meriah.  Tetamu yang datang berpakaian cantik dengan wangian yang semerbak.

Setelah selesai upacara itu, Samad dan keluarganya pulang ke rumah.Tetapi mereka terasa ada kelainan. Sebaik sahaja tiba di halaman rumah, bau hamis bagai mencucuk hidung mereka. Mereka tidak tahan kerananya. Begitu juga suara embik kambing yang bersahutan. Anak isteri Samad merungut-rungut.

Akhirnya mereka memberi kata dua kepada Samad. Hari itu juga kandang kambing mesti dipindahkan ke kebun belakang.

Begitulah akhirnya. Tiga hari yang mereka lalui di upacara perkahwinan telah mengubah kesensitifan pancaindera penciuman dan pendengaran mereka sehingga menjadi 'normal'.

Moral of the story:

Mungkin di tempat kita sekarang ini, tidak kira di  rumah, pejabat atau lingkungan, suasana ‘bising dan hamis’ yang sesungguhnya tidak selesa dianggap wajar kerana sudah menjadi kebiasaan.

Sekiranya kita berkunjung ke tempat lain yang suasananya ‘bagus dan wangi’ walaupun untuk waktu yang singkat, sekembali ke tempat sendiri kita menginginkan suasana seindah dan sewangi itu.

Hikmahnya, kita secara kolektif harus memastikan kebersihan kawasan lingkungan kita. Tiada sampah sarap bertaburan di sana sini. Kemudahan awam seperti taman, tandas dan kawasan perniagaan berada dalam keadaan teratur. Barulah kita dapat hidup dalam keadaan aman tenteram.

No comments:

Post a Comment