Thursday, February 7, 2013

Balasungkawa Buat Cikgu




SETIAP Isnin hingga Khamis seawal jam 7.45 pagi  dan Jumaat 7.30 pagi, kudengar suaramu rancak memberi penerangan di Radio Bernama 24.

Sebenarnya aku dan suami telah mula mengenali suara ceriamu sejak kau ke udara di Radio KLfm dan Radio Nasional RTM lagi. Apa saja perkara mengenai ICT yang diajukan petah sekali kau menjawabnya.

Berbagai topik yang kau utarakan: Laman Web, Laman Blog, Opera mini, Conduit, FourSquare, Rakancop, MyDistress, Google +, Zello, PayPal, What’s App, Toolbar, Radio ADA, Ham Radio, masalah dan penyelesaian berkaitan Blackberry, iPod, Dopod, iPad, iPhone, PC, Notebook,Notepad, Tablet, Facebook, Twitter, Instangram, persaingan sengit Samsung-Apple, di samping menjawab segala bentuk soalan yang diajukan para pendengar dan peminatmu. Sesungguhnya kau memang layak memenangi Anugerah APICTA 2012 Best of the Best.

Kali terakhir ku mendengar suaramu pada pagi
4Februari(Isnin) yang lalu. Malam 6Februari ku terima berita kau telah tiada. Terasa sebak dalam dada. Satu-satunya insan yang mengilhamkan aku menjadi penulis blog  telah kembali menemui Maha Pencipta.

Jasa yang kau tinggalkan telah memberi manfaat kepada beribu malah mungkin juga berjuta rakyat Malaysia. Selagi ia memberi manfaat, selagi itulah kau meraih pahalanya di alam sebelah sana.

Ucapan takziah buat keluarga yang ditinggalkan. Semoga kau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Innalillahi wa innailaihi rojiun. Al-Fatihah buat Allahyarham Cikgu Azli Paat. 

No comments:

Post a Comment