Wednesday, August 23, 2017

Tip Menjelang Hari Wukuf Haji 1438H






Buat jemaah Haji yang berangkat lebih awal akan melalui fasa yang panjang berada di Madinah dan Makkah sebelum menjelang Hari Wukuf Arafah dijadualkan pada 31 Ogos 2017 / 09 Zulhijjah 1438H. 

Para jemaah Haji akan bertolak ke Masyaer sehari lebih awal iaitu 08 Zulhijjah 1438H. 

Jarak Maktab Penempatan Hotel Tabung Haji di Makkah jauh sedikit untuk ke Masjidil Haram. Antara pesanan-pesanan saya semasa di Kompleks Tabung Haji tempoh hari supaya, 

1. Laksanakan Umrah Wajib. 

Cuba elakkan untuk buat ibadah umrah sunat / badal umrah terlalu banyak. Stamina perlu dikekalkan pada tahap optimum ketika 4 hari ibadah Haji berturut-turut. Itu lebih utama. 

2. Tawaf Sunat 

Jika ada kesempatan, boleh lebihkan tawaf sunat sebelum masuk waktu solat fardhu atau selepas solat. Adalah lebih baik untuk tawaf sunat berbanding umrah sunat berkali-kali. 

3. Solat Fardhu Berjemaah 

Cuaca di Makkah ketika ini sudah mencecah 50C pada waktu tengah hari. Di penghujung hari menjelang Wukuf di Arafah kurangkan perjalanan ke Masjidil Haram untuk solat Zohor dan Asar. 

Bertolak ke Masjidil Haram selepas Asar kira-kira satu / dua jam sebelum waktu Maghrib dan terus iktikaf di Masjid dengan membaca Al Quran, berzikir, solat sunat dan berehat sementara menunggu Isyak. 

Pulang semula ke hotel untuk makan malam selepas solat Isyak, atau sambung iktikaf sehingga usai solat Subuh dan waktu dhuha. Berehat di bilik selepas waktu berkenaan, Zohor dan Asar solat berjemaah di maktab penginapan. Jangan paksa diri, ikut kemampuan & ketahanan fizikal. Sesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang panas, kering & berdebu. 

4. Fokus untuk Hari Wukuf 

Ambil masa 3-5 hari sebelum bertolak ke Arafah / Mudzalifah / Mina untuk perbanyakkan rehat dan kurangkan aktiviti luar ke Masjid pada waktu siang. Simpan dan kumpul tenaga, supaya dapat digunakan sebaiknya bagi melaksanakan setiap rukun haji. 

Jarak perjalanan dari maktab di Arafah untuk ke Mudzalifah dan melontar di Jamarat memerlukan kudrat fizikal serta kesabaran pada tahap paling tinggi. Di sinilah ujian dan dugaan bakal menguji keimanan para duyufurRahman Allah. 

Kelengkapan khemah di Mina serta kemudahan fasiliti yang terhad akan menggugat keupayaan para jemaah untuk bersikap tolak ansur. 

Istighfar, istighfar, istighfar & SABAR. 

Hari pertama Wukuf di Arafah kita amat kuat dan bersemangat, namun emosi luntur pada hari kedua kerana jarak untuk berjalan kaki yang jauh apatah lagi ketika itu perlu kan stamina dan toleransi 

5. Jaga Kesihatan 

Ambil ubat-ubatan ikut jadual yang telah ditetapkan, supplement / vitamin untuk kekal cergas & bertenaga. Anggota yang paling banyak digunakan adalah kedua-dua belah kaki yang dianugerahkan Allah. Maka jaga lah kesihatan tubuh badan. 

Jangan abaikan rutin makanan berat yang telah disediakan oleh pihak Tabung Haji. Jamah untuk mengalas perut. 

Sentiasa positif dengan fikiran terbuka. Usah merungut hotel TH jauh atau sebagainya. Ia adalah satu nikmat & hikmah, pasti akan menjadi kenangan paling manis hingga hujung usia. 

Berjalan beramai-ramai, berduyun-duyun mengejar waktu solat berjemaah ke Masjid berhimpun bersama jemaah Haji seluruh dunia pasti tidak terasa jauhnya langkah ke Masjidil Haram. 

6. Peka Keadaan Sekeliling

Pastikan ikut jadual dan program yang telah ditetapkan oleh pihak Tabung Haji. Di setiap penempatan ada disediakan tag nombor maktab / nama hotel, ambil dan simpan dalam beg agar memudahkan pencarian hotel penginapan andai tersasar arah ketika keluar dari pintu-pintu berbeza di Masjidil Haram. 

Usah panik, polis bantuan Arab Saudi berada hampir di setiap penjuru sekitar Masjidil Haram sentiasa akan membantu para jemaah. Pihak Tabung Haji juga turut menyediakan pegawai-pegawai rondaan. 

7. Keselamatan Diri 

Bawa wang saku sekadar minimum, simpan di ruangan-ruangan poket dalam baju adalah lebih selamat.

Jaga barangan peribadi seperti telefon bimbit, gunakan slingbag yang telah disediakan oleh pihak TH bagi memudahkan pengenalan kumpulan jemaah mengikut agensi dan negara. 

Banyak kes kecurian berlaku di luar dataran dan di dalam Masjidil Haram / Masjid Nabawi. Sentiasa berwaspada. 

Elakkan membawa handbag jenis Tote yang berfesyen atau bagpack terlalu besar ke Masjid. Tidak bersesuaian dengan keadaan jemaah yang begitu ramai dan padat. Beg besar biasanya tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam Masjid. Sebaiknya gunakan lah slingbag yang telah diberikan oleh Tabung Haji yang lebih praktikal. 

8. Disiplin dan Sabar 

Jemaah Haji Malaysia antara jemaah yang paling berhemah, berdisiplin dan tahap kesabaran yang membanggakan. Usah terikut-ikut dengan nafsu amarah dan hasutan syaitan jika dihimpit, ditolak, disiku, dirempuh ketika tawaf / saei, apatah lagi dilangkah oleh jemaah berebut saf solat. Ini adalah budaya dan tingkahlaku biasa jemaah dari negara lain. 

Kemudahan dan pengurusan perkhidmatan terbaik pastinya akan diberikan oleh pihak Tabung Haji dan travel agensi walaupun tidak sempurna sepenuhnya. 

Jaga lidah, jaga mata, jaga telinga, tetapi kita seringkali terlepas pandang untuk jaga HATI dari berkata-kata. Hati terdetik, hati mencaci menghina. Malah hari ini jari yang "pekak dan bisu" lebih tajam bicaranya di Facebook. Ibadah yang kita kejar akan menjadi sia-sia, RUGI. 

9. Doa senjata Utama 

Berdoa dan mohon pada Allah S.W.T. Pada waktu dan peluang yang telah Allah berikan ini manfaatkan sebaiknya agar dipermudahkan setiap urusan, dikurnia kesihatan yang baik dan berpanjangan, dimakbulkan setiap hajat serta impian mengejar Haji yang Mabrur. InshaAllah. 


Semoga bermanfaat. 

Jazakallahu khayr. 

Amera Sabrena 
#HELPUmmah  
Malaysia - Makkah


➽➽➽➽➽➽➽


SESAK

Apabila dalam keadaan sesak, maka adab dan akhlak perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. 

Nabi shallallahu alaihi wa sallam adalah contoh terbaik.

Usamah bin Zaid radhiyallahu anhuma berkata:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمشي عنقا فإذا وجد فجوة نص

"Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam berjalan dengan anaq (tidak terlampau laju atau terlampau perlahan), apabila ada tempat yang luas, maka baginda cepatkan perjalanannya" [Shahih Bukhari]

Baginda shallallahu alaihi wa sallam tidak menyakiti orang lain dengan bersesak-sesak dan tolak-menolak.

Malah, baginda shallallahu alaihi wa sallam memerintahkan sahabat radhiyallahu anhum untuk berjalan dengan TENANG apabila bertolak dari Arafah. 

Baginda bersabda:

عليكم بالسكينة

"Hendaklah kamu semua (bergerak) dalam keadaan tenang" [Muttafaqun Alih]

Jika semua manusia mengikut petunjuk, akhlak dan adab yang diajar Nabi shallalahu alaihi wa sallam, maka semua perjalanan akan teratur.

Pepatah Arab menyebutkan:

لعمرك ما ضاقت بلاد بأهلها
ولكن أخلاق الرجال تضيق

Demi sesungguhnya, sebuah negeri tidak sempit kerana (bilangan) penghuninya;
Namun, SIKAP (AKHLAK) PENGHUNINYA, yang menyempitkannya.

Wallahu alam.

Cataan Arar, .
Attachments area

No comments:

Post a Comment