Tuesday, August 29, 2017

Hakikat Rezeki Mungkin Tidak Disedari



Rezeki bukan ditentukan berdasarkan kebijaksanaan diri.
“Aku ada ijazah, sebab itu aku dapat kerja ini.”
“Aku pelajar terbaik dalam jurusanku, tidak hairanlah aku dapat tawaran syarikat itu.”
Awas daripada pemikiran seumpama ini. Jika begitu, tiada beza antara kita dengan Qarun yang dimurkai Allah. Bukankah kata-kata di atas senada dengan kata-kata Qarun; “Semua yang aku miliki ini kerana ilmuku.” (Al-Qasas 28: 78)
Ramai sahaja orang yang lebih cerdik daripada kita tidak mendapat pekerjaan yang selayak dengan kepandaiannya sebagaimana kita. Bukan sedikit pekerja asing di stesen minyak yang memegang ijazah sarjana muda dan MA. Bahkan di sebahagian negara Arab, jangan terkejut jika pemandu teksi ada ijazah PhD.
Seharusnya kita bersyukur memperoleh rezeki dalam bentuk pekerjaan yang selayaknya dengan kita. Hal ini kerana kepandaian dan kerajinan kita hanya prasyarat untuk melayakkan kita dikurniakan rezeki. Dapat atau tidak, semutlaknya atas takdir Allah.
Bayangkan bila-bila masa Allah boleh jadikan otak kita mereng, mata kita buta dan badan kita lumpuh kerana kemalangan sehingga tidak mampu bekerja lagi.
Dengan memahami hakikat ini, kita menggantung rezeki kepada Allah, bukan pada diri.


Dengar hal yang baik-baik. Cakap hal yang baik-baik. Fikir hal yang baik-baik. Buat hal yang baik-baik.
InsyaAllah akan sampai suatu ketika nanti kita benar-benar akan jadi baik, dengan penuh rasa ketulusan, Lillahitaala.

No comments:

Post a Comment