Sunday, August 20, 2017

Siri Menjawab Kristian (5)






Golongan misionari juga kian aktif menggunakan al Quran untuk berdakyah kepada umat Islam. Antara hujah mereka adalah, di dalam al Quran, Allah menyatakan bahawa Jesus adalah ‘Kalimatin’ dalam surah Ali Imran 45 dan surah An Nisa 171 yang bermaksud kata-kata Allah. Mereka mendakwa kata-kata Allah itu termasuk sebahagian dari Allah. Itu bermaksud Jesus juga adalah Tuhan.

Jawapan:

a) Perkataan ‘Kalimatin’ dalam Surah Ali-Imran ayat 45 dan Surah An-Nisa ayat 171 sangat jelas merujuk kepada kejadian Jesus, firman Allah yang bermaksud:

“(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) KALIMAH daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).” (Surah Ali Imran: 45)

“Wahai Ahli kitab ! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan KALIMAH Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).” (Surah An Nisa: 171)

Dalam ayat sama yang dipakai oleh misionari ini sudah menjawab bahawa Jesus itu adalah seorang hamba dan rasul yang diutuskan Allah. Malah ayat ini juga menempelak agamawan mereka agar jangan melampaui batas dalam agama serta menjadi kesalahan buat mereka yang mengatakan Allah itu Triniti.

Bagi dakwaan Jesus adalah Tuhan disebabkan Allah menggunakan perkataan ‘Kalimatin’, adalah disebabkan Allah telah menjadikannya dengan menyebut kalimah “Kun Fayakun” bermaksud "jadilah! maka jadilah" ia. Dengan perintah Allah. Ini kerana kelahiran Jesus tidak sama dengan manusia lain kerana ia tidak memiliki bapa. Malaikat Jibril meniupkan roh ke dalam rahim Maryam dan terjadilah Jesus dengan izin Allah.[1] 

b) Sekiranya Kristian menganggap kelahiran Jesus yang tidak berbapa itu dianggap sebagai anak Tuhan maka bagaimana pula dengan kejadian Adam yang tidak memiliki ibu dan bapa? Di dalam al Quran, Allah selalu membandingkan kelahiran Jesus dengan kejadian Adam, firman Allah yang bermaksud: 

“Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia.” (Surah Ali Imran: 59)

Seseungguhnya Allah menjadikan Adam dengan kalimat “Kun fayakun” lalu terjadilah nabi Adam. Dan perkara itu mudah bagi Allah, firman Allah yang bermaksud:

“Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.” (Surah Maryam: 21)

Kesimpulan

Perkataan kalimatin yang ditujukan kepada Jesus adalah bermaksud ia diciptakan dengan kalimah “Kun Fayakun” dan ditiupkan roh masuk ke rahim Maryam. Seterusnya, terjadilah Jesus dengan izin Allah. Jesus merupakan seorang pesuruh Allah dan juga merupakan seorang nabi. Sepertimana nabi Adam juga diciptakan dengan kalimah "Kun Fayakun" yang sama. 

Begitu juga jika disebabkan perkataan Kalimatin itu menjadi tanda aras bagi misionari Kristian bagi membuktikan Jesus adalah Tuhan maka nabi Adam juga layak mendapat pengiktirafan yang sama di sisi misionari.

Malah dilihat Bible, dalam perjanjian baru sendiri ada memperkenalkan satu tokoh yang tidak memiliki ibu bapa, tidak bersilsilah (berketurunan), dan hidupnya tidak berkesudahan serta dia digelar anak Allah dan ia dilihat lebih hebat dari Jesus iaitu Raja Melkisedek:

“Kepadanya pun Abraham memberikan sepersepuluh dari semuanya. Menurut erti namanya Melkisedek adalah pertama-tama raja kebenaran, dan juga raja Salem, iaitu raja damai sejahtera. Ia tidak berbapa, tidak beribu, tidak bersilsilah, harinya tidak berawal dan hidupnya tidak berkesudahan, dan kerana ia dijadikan sama dengan Anak Allah, ia tetap menjadi imam sampai selama-lamanya.” (Ibrani 7: 2-3)

Harus mengapa tokoh ini tidak termasuk di dalam senarai Tuhan dalam Kristian sepertimana Jesus mendapatnya?

Nota Kaki
______________________________

[1] Lihat Ibnu Ibnu Kathir, (2008). Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Team Ahli Tafsir di Bawah Pengawasan Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfuri, Jilid 2, Jakarta, hlm 761 & 762 / Lihat Imam Asy Syaukani, (2009). Tafsir Fathul Qadir: Tahqiq dan Takhrij: Sayyi Ibrahim, Pustaka Azzam, Jakarta, Jilid 3, hlm 199 & 200

R&D TEAM MRM

No comments:

Post a Comment