Tuesday, August 29, 2017

Hakikat Rezeki Mungkin Tidak Disedari



Rezeki bukan ditentukan berdasarkan kebijaksanaan diri.
“Aku ada ijazah, sebab itu aku dapat kerja ini.”
“Aku pelajar terbaik dalam jurusanku, tidak hairanlah aku dapat tawaran syarikat itu.”
Awas daripada pemikiran seumpama ini. Jika begitu, tiada beza antara kita dengan Qarun yang dimurkai Allah. Bukankah kata-kata di atas senada dengan kata-kata Qarun; “Semua yang aku miliki ini kerana ilmuku.” (Al-Qasas 28: 78)
Ramai sahaja orang yang lebih cerdik daripada kita tidak mendapat pekerjaan yang selayak dengan kepandaiannya sebagaimana kita. Bukan sedikit pekerja asing di stesen minyak yang memegang ijazah sarjana muda dan MA. Bahkan di sebahagian negara Arab, jangan terkejut jika pemandu teksi ada ijazah PhD.
Seharusnya kita bersyukur memperoleh rezeki dalam bentuk pekerjaan yang selayaknya dengan kita. Hal ini kerana kepandaian dan kerajinan kita hanya prasyarat untuk melayakkan kita dikurniakan rezeki. Dapat atau tidak, semutlaknya atas takdir Allah.
Bayangkan bila-bila masa Allah boleh jadikan otak kita mereng, mata kita buta dan badan kita lumpuh kerana kemalangan sehingga tidak mampu bekerja lagi.
Dengan memahami hakikat ini, kita menggantung rezeki kepada Allah, bukan pada diri.


Dengar hal yang baik-baik. Cakap hal yang baik-baik. Fikir hal yang baik-baik. Buat hal yang baik-baik.
InsyaAllah akan sampai suatu ketika nanti kita benar-benar akan jadi baik, dengan penuh rasa ketulusan, Lillahitaala.

Nilailah Diri Sendiri Dulu



Sketsa buat muhasabah:

Che Mud:
Mus, saya nak tanya awak suatu hal. Situasinya macam ni. Ahmad rajin beribadah tapi perangainya sombong dan rasa dirinya ala-ala suci gitu. Lain pulak dengan Ali. Dia ni bab ibadah malas sikit tapi akhlaknya baik, rendah hati, santun, lembut dan sayang sesama manusia, apa lagi dengan makhluk Allah yang lain. Awak fikir di antara mereka berdua, siapa yang paling tak baik?

Mus Binjai:
Alah buat apa susah-susah nak fikir? Dua-dua pun memang tak betul!

Che Mud:
Mus, manusia boleh berubah. Mana tahu satu hari nanti, turun hidayah Allah menyebabkan Ahmad bertaubat dan hilang perangai sombongnya. Ali pula bertaubat dan jadi rajin beribadah.

Mus Binjai:
Habis, siapa yang tak baik?

Che Mud:
Kitalah!!! Rajin menilai orang lain, tapi lalai menilai diri sendiri. Jom cari hidayah.

Mus Binjai:
Nak cari di mana?

Che Mud:
Di sekeliling kita kan banyak. Dalam keluarga, kawan-kawan, jiran, orang-orang yang kita kenal dan tak kenal. Gunakan "Mata Hati."

DALAM HITAM ADA PUTIH
DALAM PUTIH ADA HITAM
DALAM HITAM DAN PUTIH ADA KELABU





Si Faqir : 
Apalah nasib saya. Nak buat pahala dengan bersedekah saya tak mampu. Saya cemburu tengok orang kaya. Senang saja dapat pahala dengan sumbangan masing-masing.

Ilmuan:
Isy, awak masih boleh bersedekah dengan sesuatu yang mungkin jutawan pun tak mampu buat.

Si Faqir:
Apa tu?

Ilmuan:
Bersedekah bukan dengan duit saja. Memenuhkan saf-saf di masjid dan surau setiap kali solat fardu tu satu jenis sedekah ringan yang orang kaya tak mampu buat sumbangan. Manalah mereka ada masa nak buat macam tu. Mereka kesuntukan masa mengumpul dan menguruskan duit.






TIDAK TAKUT PADA ALLAH akan sentiasa mengulang salah

TIDAK TAKUT BERJUMPA ALLAH akan berusaha mengelak haram dan; syubhah.

MENGHARAP PUJIAN ORANG, penyakit riyak mudah menyerang.

BERHARAP KEPADA MAKHLUK, rasa rakus mudah menyusup.

ENGGAN POHON PERTOLONGAN ALLAH, cemburu, iri hati datang mencelah.

BANGGAKAN ILMU DAN AMAL SOLEH, sifat ujub datang menoleh.




#JomUbahJomHijrah

Larangan Melaknat




Dari kitab Riyadussolihin: 1553.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila melaknat kepada sesuatu, maka naiklah kelaknatannya itu ke langit, lalu ditutuplah pintu-pintu langit itu agar tidak masuk ke dalamnya, kemudian turun kembali ke bumi lalu ditutuplah pintu-pintu yang menuju ke arah bumi itu agar tidak dapat masuk ke dalamnya, selanjutnya ia bolak-balik ke kanan dan ke kiri.

Seterusnya apabila tidak lagi ia memperoleh jalan masuk, maka kembalilah ia kepada orang yang dilaknat, jikalau yang dilaknat memang benar-benar sebagaimana isi yang dilaknatkan, maka kelaknatan itupun tetap berada dalam diri orang ini, tetapi jikalau tidak, maka kembalilah ia kepada orang yang mengucapkannya - sehingga ia akan memperoleh bencana dengan sebab ucapan laknatnya tersebut." (Riwayat Abu Dawud)

Monday, August 28, 2017

Halakan Pandangan Kepada Allah




Seorang wanita berbincang dengan seorang ustazah:


"Ustazah, saya tak mau ikut pengajian ini lagi."

"Mengapa?" tanya ustazah.

"Di pengajian ini perempuannya suka bergosip, lelakinya munafik, pengurusnya hidup dengan cara  tidak benar, jemaahnya sibuk dengan HP saja."

"Baiklah. Tapi sebelum pergi, tolong buat suatu perkara. Ambil segelas penuh air dan berjalanlah mengelilingi dalam masjid ini tanpa menumpahkan setitik air sekalipun ke lantai. Lepas itu sila tinggalkan masjid ini seperti yang puan mahu."

"Senang tu!"

Wanita itu melakukan apa yang diminta oleh ustazah, sementara pengajian berlangsung seperti biasa. 
Setelah selesai, dia berkata kepada ustazah, bahawa dia hendak pergi. Ustazah menahannya sebentar.

"Sebelum pergi, ada satu soalan. Semasa puan berjalan keliling dalam masjid, adakah puan dengar orang bergosip, melihat orang munafik, melihat orang sibuk dengan HP?"

"Tidak."

"Tau tak mengapa?"

"Tidak."

"Sebab puan fokus pada gelas, supaya kaki tidak tersandung dan tak ada air yang tumpah."



Begitu juga dengan kehidupan. Ketika kita menghala pandangan kita kepada Allah S.W.T. yang kita imani, maka :
• Kita tidak akan ada masa untuk melihat kesalahan orang lain.
• Kita tidak akan ada masa untuk menilai dan mengkritik orang lain.
• Kita tidak akan ada masa untuk bergosip sakan dengan orang lain.
•••• Kita akan menolong orang lain dan fokus pada langkah kita menggapai redha Allah.

Semoga Allah S,W.T. selalu merahmati kita semua... 
Aamiin Yaa Mujibassailiin 

[Sumber CNP dari hamba Allah]

Dinding Yang Hilang





Media sosial telah meruntuhkan banyak dinding di dalam kehidupan kita.

Dinding sinonim dengan 'halangan', dan jika dijadikan metafora, biasa disebut dengan konotasi yang negatif. Meruntuhkan dinding boleh kedengaran positif jika ditafsirkan meruntuhkan sesuatu yang menghalang kelancaran kemaraan kita menempuh satu-satu perjalanan.

Dinding juga punya makna berbeza. Tiada siapa selesa duduk di rumah tanpa dinding. Dinding melindungi penghuni rumah dari mata-mata ramai, memberikan privasi, sekaligus memberikan kita kerehatan setelah seharian menempuh kehidupan, bergaul dengan orang ramai.

Hari ini, beberapa dinding di dalam kehidupan kita telah dirobohkan.

Internet antara jentera utama yang meruntuhkan dinding tersebut. 

Kemajuan teknologi maklumat menjadikan para penguasa korup tidak senang duduk. Urusan-urusan hitam yang selama ini tersembunyi di balik 'dinding', jauh dari mata insan yang lain, hari ini mudah terbongkar. Sebentar sahaja maklumat sampai kepada netizen, dan mulalah terkapai-kapai pemimpin korup mencari alasan dan dalil berkenaan tindakannya itu. 'Dinding' telah dirobohkan. Jika dahulu maklumat dikawal oleh mereka melalui surat khabar dan televisyen, tetapi hari ini internet berjaya merobohkan cengkaman tersebut. Positif.

Media sosial tambah membawa kemajuan ini ke hadapan. Berhubungan dengan rakan kini tidak memerlukan telefon atau berziarah ke rumah. Cukup sekadar buka Facebook. Boleh bermesej, boleh 'menziarahi' akaun sahabat untuk melihat perkembangannya yang terkini. 'Dinding' penghalang yang membataskan perhubungan selama ini telah berjaya dirobohkan oleh media sosial.



Namun, antara dinding yang juga hilang seiring kemajuan ini ialah privasi, adab, tatasusila.

Manusia tidak lagi menyimpan hal-hal rumahtangga di dalam dinding rumah mereka. Mereka meletakkannya di internet. Hari ini makan apa, hari ini jalan pergi mana. Bahkan hari ini pakai baju apa, jenama apa, beli di mana pun kita beritahu. Kemudian hal ini meleret sehingga apabila ada pergaduhan, salah faham, perbezaan pendapat, terasa hati antara ahli keluarga, suami isteri, bahkan apa yang dilihat turut dikongsi dan menjadi tular di media sosial. 

Orang yang melihat pula, gatal tangan. Tidak dapat mengawal dirinya untuk tidak masuk campur. Mahu juga meletakkan komen, walhal perkara yang berlaku tidak ada kena mengena dengannya. Jika hal politik yang melayang di newsfeed, maka jadilah dia ahli politik segera. Jika hal rumahtangga orang yang melintas, jadilah dia pakar rumahtangga. 

Tidak lagi difikir dua tiga kali sebelum menurunkan komen, di akaun siapakah yang dia komen, apakah patut dia menurunkan komen, apakah komennya bermanfaat? Apakah dia benar-benar tahu apa yang berlaku? Apakah dia punya autoriti akan hal tersebut? Tidak dipedulikan. Asalkan boleh komen. Alang-alang komen, buat komen ada 'punchline' sikit, moga-moga komen dapat banyak 'like'.

Dinding sudah roboh. Maka jadilah apa yang terjadi. Masyarakat hilang tatasusila.

Namun hendak ditegur juga tidak kena. Kerana ia seakan menafikan sisi-sisi positif kemajuan ini.

Apakah ini realiti hari ini yang perlu kita terima?

Sebahagian dinding penghalang berjaya kita robohkan untuk menambah kesenangan urusan hidup, namun pada masa yang sama, untuk mencapai kesenangan urusan hidup tersebut, kita mestilah rela merobohkan sebahagian dinding yang selama ini menjadikan kita aman.

Hari ini privasi, adab kesopanan, tatasusila sebagai insan, mungkin telah hampir menjadi cerita lama. Menjadi 'rare'.

Mungkin adab-adab yang indah, luhur kesopanan yang tinggi, akhlak yang mulia, sikap malu dan menjaga yang diterapkan oleh Islam, benar-benar semakin asing di era ini.

Rasulullah SAW bersabda: "Di antara (tanda) kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya." (Hadith Riwayat Tirmidzi).

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka hendaklah dia berkata baik atau hendaklah dia diam." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

"Islam datang dalam keadaan yang asing, akan kembali pula dalam keadaan asing. Sungguh beruntunglah orang yang asing.” (Hadith Riwayat Muslim).

Semoga kita antara yang beruntung menjadi yang asing itu.

Mungkin banyak dinding telah roboh. Tetapi semoga dinding keimanan kita tidak sesekali tergugah dan rapuh.

Muhasabah.

[Sumber CNP diperolehi menerusi FB Ahmad Ezry]

Sunday, August 27, 2017

Azam Syaitan Setelah Ditipu



Adalah dikatakan pada zaman dahulu orangg ramai boleh melihat Syaitan. Pada suatu ketika seseorang telah berkata kepada Syaitan :

Hamba Allah : "Beritahulah kepada saya cara untuk menjadi seperti Kamu."

Syaitan : Belum pernah aku temui seorang manusia yang membuat permintaan seperti ini. Mengapa kamu memerlukannya?"

Hamba Allah : "Hati aku yang ingin sangat."

Syaitan : "Kalau begitu, hendaklah kamu melengah-lengahkan Solat dan banyakkan berSumpah. Jangan kamu hiraukan sama ada sumpah itu benar atau salah."

Hamba Allah : "Saya berjanji dengan  الله saya tidak akan melengah-lengahkan Solah dan tidak akan berSumpah."

Syaitan : "Aku belum pernah ditipu oleh sesiapa selain kamu. Kini aku berazam aku tidak akan lagi memberi nasihat kepada Manusia." 


Saturday, August 26, 2017

Perbandingan Negara Telus Dan Negara Agama




Di sebahagian negara bukan muslim seperti Scandinavia, Jepun, New Zealand, Australia,  beberapa negara Eropah dan seumpamanya, majlis kenegaraan mereka tidak dihiasi dengan unsur-unsur keagamaan. Namun, mereka dari segi amanah harta rakyat, urus tadbir awam dan penjagaan alam sekitar sangat cemerlang dan terbilang. Arahan Tuhan agar manusia amanah sesama mereka dan menguruskan alam dengan baik sedang mereka tunaikan. Rakyat mereka pula sangat sensitif tentang salahguna dan salah tadbir harta negara dan awam. 

Sementara itu kebanyakan negara umat Islam, majlis-majlis para pemerintah, pentadbiran awam dan ahli politik sering diiringi dengan pelbagai unsur keagamaan.  Bermula dari doa, nasyid, qasidah, istighfar sehingga selawat yang mahal berbayar. Malangnya, negara-negara umat Islam ini tahap amanah dan urus tadbir kita jauh ke belakang. Indeks rasuah juga menyenaraikan negara-negara umat Islam berada dalam tahap yang mengecewakan. Alam sekitar juga dicemari.
 
Persoalannya,  agama ini sekadar kosmetik para penguasa ataupun agama itu pembimbing dan panduan dalam politik dan pentadbiran? Golongan agama pula, apakah mereka penasihat yang amanah terhadap para penguasa ataupun sekadar pemegang logo halal bagi menjustifikasikan tindakan penguasa yang menimbulkan bantahan rakyat? 

Kita sering mengutuk penjajah. Ya,  penjajah penuh dengan kesalahan dalam sejarah penjajahan mereka. Namun, hari ini negara penjajah itu dalam banyak keadaan lebih amanah dan baik tadbir urus mereka dibandingkan negara-negara umat Islam yang bebas dari penjajahan itu.

[Sumber : FB Dr. MAZA, Kredit Foto: Hashiah Hashim di Australia]


Fokus Kepada Redha Allah





Perkongsian menarik dari seorang rakan.

Salah satu tulisan yang sangat mengesankan ditulis oleh Syekh Thanthawi (Grand Syeikh Al Azhar Assyarif): كُلُّنَا اَشْخَاصٌ عَادِيٌّ فِى نَظْرِ مَنْ لاَ يَعْرِفُنَا

Kita semua adalah orang biasa dalam pandangan orang-orang yg tidak mengenal kita.. وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ رَائِعُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يَفْهَمُنَا 

Kita adalah orang yang menarik di mata orang yang memahami kita.. ، وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ مُمَيِّزُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يُحِبُّنَا

Kita istimewa dalam penglihatan orang - orang yang mencintai kita.. وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ مَغْرُوْرُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يَحْسُدُنَا

Kita adalah pribadi yg menjengkelkan bagi orang yang penuh kedengkian.. ، وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ سَيِّئُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يَحْقِدُ عَلَيْنَا

Kita adalah orang-orang jahat di dalam tatapan orang - orang yang iri... ، لِكُلِّ شَخْصٍ نَظْرَتُهُ، فَلاَ تَتْعَبْ نَفْسَكَ لِتُحْسِنَ عِنْدَ الآخَرِيْنَ

Pada akhirnya, setiap orang memiliki pandangannya masing masing, maka tak usah berlelah lelah agar tampak baik di mata orang lain.. ، يَكْفِيْكَ رِضَا اللّٰهُ عَنْكَ ، رِضَا النَّاسِ غَايَةٌ لاَ تُدْرَك 

Cukuplah dengan redha Allah bagi kita, sungguh mencari redha manusia adalah tujuan yang tak kan pernah tergapai.. ، وَرِضَا اللّٰهُ غَايَةٌ لاَ تُتْرَك ، فَاتْرُكْ مَا لاَ يُدْرَكْ ، وَاَدْرِكْ مَا لاَ يُتْرَكْ 

Sedangkan Redha Allah, destinasi yang pasti sampai,

Maka tinggalkan segala upaya mencari keredhaan manusia, dan fokus saja pada redha Allah...



Saat kau merasa lelah untuk terus hidup,
Saat kau tidak tahu ke mana harus dituju,
Saat kau tiada lagi sebab untuk bertahan,

Percayalah,
Rabbmu sedang memerhatikanmu.
Berdoalah,
dan Dia pasti akan menunjukkan jalan.

Sujudlah,
kerana Dia menantimu
dengan penuh kehangatan dan kasih sayang.
CINTA & HATI

(Janji Allah Itu Pasti)

Wednesday, August 23, 2017

Tip Menjelang Hari Wukuf Haji 1438H






Buat jemaah Haji yang berangkat lebih awal akan melalui fasa yang panjang berada di Madinah dan Makkah sebelum menjelang Hari Wukuf Arafah dijadualkan pada 31 Ogos 2017 / 09 Zulhijjah 1438H. 

Para jemaah Haji akan bertolak ke Masyaer sehari lebih awal iaitu 08 Zulhijjah 1438H. 

Jarak Maktab Penempatan Hotel Tabung Haji di Makkah jauh sedikit untuk ke Masjidil Haram. Antara pesanan-pesanan saya semasa di Kompleks Tabung Haji tempoh hari supaya, 

1. Laksanakan Umrah Wajib. 

Cuba elakkan untuk buat ibadah umrah sunat / badal umrah terlalu banyak. Stamina perlu dikekalkan pada tahap optimum ketika 4 hari ibadah Haji berturut-turut. Itu lebih utama. 

2. Tawaf Sunat 

Jika ada kesempatan, boleh lebihkan tawaf sunat sebelum masuk waktu solat fardhu atau selepas solat. Adalah lebih baik untuk tawaf sunat berbanding umrah sunat berkali-kali. 

3. Solat Fardhu Berjemaah 

Cuaca di Makkah ketika ini sudah mencecah 50C pada waktu tengah hari. Di penghujung hari menjelang Wukuf di Arafah kurangkan perjalanan ke Masjidil Haram untuk solat Zohor dan Asar. 

Bertolak ke Masjidil Haram selepas Asar kira-kira satu / dua jam sebelum waktu Maghrib dan terus iktikaf di Masjid dengan membaca Al Quran, berzikir, solat sunat dan berehat sementara menunggu Isyak. 

Pulang semula ke hotel untuk makan malam selepas solat Isyak, atau sambung iktikaf sehingga usai solat Subuh dan waktu dhuha. Berehat di bilik selepas waktu berkenaan, Zohor dan Asar solat berjemaah di maktab penginapan. Jangan paksa diri, ikut kemampuan & ketahanan fizikal. Sesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang panas, kering & berdebu. 

4. Fokus untuk Hari Wukuf 

Ambil masa 3-5 hari sebelum bertolak ke Arafah / Mudzalifah / Mina untuk perbanyakkan rehat dan kurangkan aktiviti luar ke Masjid pada waktu siang. Simpan dan kumpul tenaga, supaya dapat digunakan sebaiknya bagi melaksanakan setiap rukun haji. 

Jarak perjalanan dari maktab di Arafah untuk ke Mudzalifah dan melontar di Jamarat memerlukan kudrat fizikal serta kesabaran pada tahap paling tinggi. Di sinilah ujian dan dugaan bakal menguji keimanan para duyufurRahman Allah. 

Kelengkapan khemah di Mina serta kemudahan fasiliti yang terhad akan menggugat keupayaan para jemaah untuk bersikap tolak ansur. 

Istighfar, istighfar, istighfar & SABAR. 

Hari pertama Wukuf di Arafah kita amat kuat dan bersemangat, namun emosi luntur pada hari kedua kerana jarak untuk berjalan kaki yang jauh apatah lagi ketika itu perlu kan stamina dan toleransi 

5. Jaga Kesihatan 

Ambil ubat-ubatan ikut jadual yang telah ditetapkan, supplement / vitamin untuk kekal cergas & bertenaga. Anggota yang paling banyak digunakan adalah kedua-dua belah kaki yang dianugerahkan Allah. Maka jaga lah kesihatan tubuh badan. 

Jangan abaikan rutin makanan berat yang telah disediakan oleh pihak Tabung Haji. Jamah untuk mengalas perut. 

Sentiasa positif dengan fikiran terbuka. Usah merungut hotel TH jauh atau sebagainya. Ia adalah satu nikmat & hikmah, pasti akan menjadi kenangan paling manis hingga hujung usia. 

Berjalan beramai-ramai, berduyun-duyun mengejar waktu solat berjemaah ke Masjid berhimpun bersama jemaah Haji seluruh dunia pasti tidak terasa jauhnya langkah ke Masjidil Haram. 

6. Peka Keadaan Sekeliling

Pastikan ikut jadual dan program yang telah ditetapkan oleh pihak Tabung Haji. Di setiap penempatan ada disediakan tag nombor maktab / nama hotel, ambil dan simpan dalam beg agar memudahkan pencarian hotel penginapan andai tersasar arah ketika keluar dari pintu-pintu berbeza di Masjidil Haram. 

Usah panik, polis bantuan Arab Saudi berada hampir di setiap penjuru sekitar Masjidil Haram sentiasa akan membantu para jemaah. Pihak Tabung Haji juga turut menyediakan pegawai-pegawai rondaan. 

7. Keselamatan Diri 

Bawa wang saku sekadar minimum, simpan di ruangan-ruangan poket dalam baju adalah lebih selamat.

Jaga barangan peribadi seperti telefon bimbit, gunakan slingbag yang telah disediakan oleh pihak TH bagi memudahkan pengenalan kumpulan jemaah mengikut agensi dan negara. 

Banyak kes kecurian berlaku di luar dataran dan di dalam Masjidil Haram / Masjid Nabawi. Sentiasa berwaspada. 

Elakkan membawa handbag jenis Tote yang berfesyen atau bagpack terlalu besar ke Masjid. Tidak bersesuaian dengan keadaan jemaah yang begitu ramai dan padat. Beg besar biasanya tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam Masjid. Sebaiknya gunakan lah slingbag yang telah diberikan oleh Tabung Haji yang lebih praktikal. 

8. Disiplin dan Sabar 

Jemaah Haji Malaysia antara jemaah yang paling berhemah, berdisiplin dan tahap kesabaran yang membanggakan. Usah terikut-ikut dengan nafsu amarah dan hasutan syaitan jika dihimpit, ditolak, disiku, dirempuh ketika tawaf / saei, apatah lagi dilangkah oleh jemaah berebut saf solat. Ini adalah budaya dan tingkahlaku biasa jemaah dari negara lain. 

Kemudahan dan pengurusan perkhidmatan terbaik pastinya akan diberikan oleh pihak Tabung Haji dan travel agensi walaupun tidak sempurna sepenuhnya. 

Jaga lidah, jaga mata, jaga telinga, tetapi kita seringkali terlepas pandang untuk jaga HATI dari berkata-kata. Hati terdetik, hati mencaci menghina. Malah hari ini jari yang "pekak dan bisu" lebih tajam bicaranya di Facebook. Ibadah yang kita kejar akan menjadi sia-sia, RUGI. 

9. Doa senjata Utama 

Berdoa dan mohon pada Allah S.W.T. Pada waktu dan peluang yang telah Allah berikan ini manfaatkan sebaiknya agar dipermudahkan setiap urusan, dikurnia kesihatan yang baik dan berpanjangan, dimakbulkan setiap hajat serta impian mengejar Haji yang Mabrur. InshaAllah. 


Semoga bermanfaat. 

Jazakallahu khayr. 

Amera Sabrena 
#HELPUmmah  
Malaysia - Makkah


➽➽➽➽➽➽➽


SESAK

Apabila dalam keadaan sesak, maka adab dan akhlak perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. 

Nabi shallallahu alaihi wa sallam adalah contoh terbaik.

Usamah bin Zaid radhiyallahu anhuma berkata:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمشي عنقا فإذا وجد فجوة نص

"Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam berjalan dengan anaq (tidak terlampau laju atau terlampau perlahan), apabila ada tempat yang luas, maka baginda cepatkan perjalanannya" [Shahih Bukhari]

Baginda shallallahu alaihi wa sallam tidak menyakiti orang lain dengan bersesak-sesak dan tolak-menolak.

Malah, baginda shallallahu alaihi wa sallam memerintahkan sahabat radhiyallahu anhum untuk berjalan dengan TENANG apabila bertolak dari Arafah. 

Baginda bersabda:

عليكم بالسكينة

"Hendaklah kamu semua (bergerak) dalam keadaan tenang" [Muttafaqun Alih]

Jika semua manusia mengikut petunjuk, akhlak dan adab yang diajar Nabi shallalahu alaihi wa sallam, maka semua perjalanan akan teratur.

Pepatah Arab menyebutkan:

لعمرك ما ضاقت بلاد بأهلها
ولكن أخلاق الرجال تضيق

Demi sesungguhnya, sebuah negeri tidak sempit kerana (bilangan) penghuninya;
Namun, SIKAP (AKHLAK) PENGHUNINYA, yang menyempitkannya.

Wallahu alam.

Cataan Arar, .
Attachments area

Titian Sirat Dicahayai Amalan Sendiri



Bila mendengar huraian kitab tentang syurga neraka, rupa-rupanya titian sirat itu sangat gelap. Sahabat tanya Nabi s.a.w. "Kalau gelap bagaimana hendak melintasinya?"

Jawab Nabi, ."Dengan yang keluar dari anggota kita. Terang atau malap cahaya itu bergantung pada amalan semasa di dunia. Orang yang anggotanya bercahaya terang benderang, senanglah melintas titian sirat. Ada orang cahayanya terdapat pada ibu jari kakinya sahaja, maka melintaslah dia dengan cahaya yang terbatas itu.Ada orang cahayanya sekejap ada, sekejap padam. Masa keluar cahaya dia berjalan, masa cahaya hilang dia berhenti dulu. Begitulah dia sepanjang perjalanan itu.


Doa Rasulullah s.a.w. memohon cahaya:

Ya Allah, 
Jadikanlah cahaya di dalam penglihatanku, 
Jadikan cahaya di pendengaranku, 
Jadikan cahaya di lisanku,
Jadikan cahaya di dalam hatiku, 
Jadikan cahaya di kananku, 
Jadikan cahaya di kiriku, 
Jadikan cahaya di depanku, 
Jadikan cahaya di belakangku,
Jadikan cahaya di atasku,
Jadikan cahaya di bawahku,
Jadikan untukku cahaya di hari Kiamat, 
dan anugerahkanlah kepadaku cahaya yang gilang gemilang.

Aamiin Ya Rabbal'alamiin..


Ahli-ahli syurga tidak akan bercakap perkara-perkara yang lagha, 
bila bercakap tidak akan mengeluarkan ucapan yang menyakitkan hati orang lain.Pada waktu senggangnya hanya dihabiskan dengan membaca Quran dan melafazkan zikir memuji Allah. Hidup sentiasa dalam ketaatan kepada Allah, mati pun dalam ketaatan kepada Allah.

Kata Nabi s.a.w, ".Ahli neraka tidak mati dan tidak hidup, maknanya dia sekejap mati, sekejap hidup. Begitulah  hingga tamat tempohnya di neraka itu. Tubuh anak Adam dilebarkan oleh Allah di dalam neraka beberapa hasta supaya kesakitan yang dirasai itu lebih banyak!!! Neraka itu terlalu gelap kerana apinya terlalu panas. Bayangkan berapa lama di neraka kerana dosa-dosa? 


Ada yang dibakar hingga tamat tempoh. Dia diam di dalam neraka menjadi arang....hinggalah tiba masa semuanya keluar dan masuk ke syurga....

Bayangkan, orang  bukan Islam berapa lama dia akan tinggal di neraka Allah. Sebab itu kadang-kadang mengalir air mata kita bila melihat berlalunya jenazah orang bukan Islam...

Titian sirat dibentangkan di atas neraka jahannam. Di hadapan titian sirat itulah syurga. Ada yang berjalan selaju angin.. Mereka ini adalah orang ini tidak pernah sakitkan hati sesiapa, sentiasa memberi daripada menerima.  

Diriwayatkan Nabi s.a.w. tunggu sampai orang terakhir melintas titian sirat. Baginda berjalan dengan lambat sambil menunggu. Orang terakhir ini adalah orang yang imannya paling lemah...

Selepas melintas titian sirat, dia melihat sebatang pokok besar yang di bawahnya ada air yang mengalir. Dia mohon kepadaAllah untuk duduk di situ.Kemudian di hadapan lagi dia lihat ada pokok lain yang jauh lebih indah. Dia seterusnya memohon hendak duduk di bawah pokok tu. Allah izinkan. Dia dengar suara-suara orang dalam syurga, begitu merdu. Dia mohon dengan Allah untuk masuk ke dalam syurga. Allah pun benarkan...

Bila masuk, dia keluar semula. Dia tanya Allah,adakah tempat untuk dia?

Allah bertanya, " Pernahkah dengar semasa di dunia dulu orang yang paling kaya? 


Dia jawab, "Pernah."

Allah kata, " Sesungguhnya untukmu akan Kuanugerahkan 10 kali ganda malah lebih lagi berbnding kekayaan orang yang paling kaya itu." 

MasyaAllah betapa pemurahnya Allah. Orang yang paling akhir pun diberi nikmat sebegitu besar. Apatah lagi orang-orang yang taat kepada Allah.

Sampaikan kebaikan walaupun hanya sebaris ayat. Semoga bermanfaat..InshaAllah..

[ Oleh Ustazah Siti Khadijah, Usrah Nuran]

Kesan-kesan maksiat






1.   Membantutkan potensi diri
2.   Nafsu tidur akan bertambah
3.   Nafsu makan akan semakin liar
4.   Banyak kerja tidak menjadi
5.   Allah tarik keberkatan rezeki
6.   Hubungan dengan manusia makin rosak
7.   Allah tarik nikmat kesihatan tubuh badan
8.   Ilmu susah masuk ke dalam hati
9.   Otak malas berfikir
10. Allah tarik keberkatan masa
11. Allah tarik nikmat beribadah
12. Melengah-lengahkan solat terasa normal
13. Susah menerima teguran dan nasihat
14. Rasa diri hebat dan paling betul
15. Merungut tentatng semua orang
16. Tidak suka tengok kelemahan diri
17. Suka cari kesalahan orang
18. Sebulan tidak baca Quran rasa normal
19. Hati tidak terasa apa-apa dengan kematian
20. Sukar bergaul dengan masyarakat
21. Jiwa cepat resah
22. Cepat putus asa
23. Suka lari dari masalah
24. Suka mencarut
25. Cepat marah dan melenting
26. Subuh gajah terasa normal
27. Mengelak dari majlis ilmu
28. Mengelak dari bersama orang yang soleh
29. Memendekkan umur dan keberkatan hidup
30. Maksiat menumbuhkan maksiat lain

Jom jauhi maksiat sama ada kecil ataupun besar 

[Oleh Ustaz Ridwan Rais]