Tuesday, December 22, 2015
Solat Sunat Tahiyatul Masjid
Mengenai Solat Sunat Tahiyatul Masjid, jika seseorang itu telah masuk masjid dan terus duduk dengan sengaja, maka tiada lagi Solat Sunat Tahiyatul Masjid baginya. Jika duduk itu dengan terlupa yang sekejap kemudian ingat kembali, maka dibolehkan bangun dan terus solat. Jika terlupa yang panjang waktunya, kemudian teringat, tiadalah lagi dibolehkan bangun bersolat.
Sekiranya masuk masjid dan didapati azan sedang berkumandang, maka perlulah menjawab azan tersebut sambil berdiri, kemudian melakukan solat sunat Rawatib yang dikira sudah memadai sebagai memenuhi tuntutan Solat Sunat Tahiyatul Masjid.
Apabila masuk masjid, khatib sedang berkhutbah atau majlis ilmu sedang dijalankan, hendaklah mengerjakan solat Tahiyatul Masjid dua rakaat, sebelum duduk. Solat tersebut hendaklah dilakukan secara ringkas dengan mengambil yang wajib sahaja. Malah Rasulullah s.a.w. pernah menegur orang yang masuk ke masjid kerana tidak Solat Sunat Tahiyatul Masjid sewaktu khutbah Jumaat dijalankan.Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a., dia menyatakan: Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. sedang menyampaikan khutbah lalu dia terus duduk. Baginda berkata kepadanya, “Wahai Sulaik, berdiri dan rukuklah dua rakaat serta pendekkanlah dalam melaksanakannya.” Kemudian Baginda bersabda lagi, “Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Orang yang tidak dapat mengerjakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid disebabkan sudah dimulakan solat jemaah atau dia telah duduk atau dia sekadar masuk sebentar untuk sesuatu keperluan, maka dianjurkan membaca 3 kali: ‘Subhanallah Walhamdulillah Walailahailallah Wallahu Akbar.’ Dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: “Jika iqamah solat sudah dikumandangkan, tidak ada solat lagi, kecuali solat wajib.”(Hadis Riwayat Muslim).
Sekiranya seseorang itu sedang dalam rakaat pertama Solat Sunat Tahiyatul Masjid dan para jemaah pun mendirikan solat fardhu, maka wajib baginya membatalkan solat tersebut dan menyertai solat fardhu kerana ada tegahan daripada Rasulullah SAW: “Apabia didirikan solat fardhu, maka tiada solat ketika itu melainkan solat fardhu.” (Hadis Riwayat Muslim). Tetapi jika dia berada di rakaat kedua, maka hendaklah dia mempercepatkan dan sempurnakan rukun-rukun yang berbaki sehingga salam sebelum menyertai jemaah solat fardhu.
Tiada tuntutan untuk Solat Sunat Tahiyatul Masjid di luar masjid, contohnya di padang atau kaki lima. Sekiranya datang sewaktu imam berkhutbah, kena duduk diam mendengar khutbah. Jika tiba sebelum imam memberi khutbah dan selepas azan pertama, maka boleh Solat Sunat Qabliyah Jumaat.
Bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah, apabila memasuki Masjidilharam hendaklah melakukan Tawaf sebagaimana yang diamalkan Rasulullah s.a.w. dan bukannya Solat Tahiyatul Masjid. Kata Ibn Abbas r.a. “Tahiyat Kaabah ialah Tawaf”. Namun, mereka yang telah bermukim di Makkah dan datang ke masjid untuk solat, menuntut ilmu dan seumpamanya, sebaik-baiknya mereka hendaklah melaksanakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid bukannya mengerjakan Tawaf. (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment