Jangan Pandang Bulu
Tidak ada cermin yang berbohong ketika mencerminkan penampilan. Tidak ada cermin yang mampu mengubah gambaran alam.Tidak ada cermin yang mengubah keburukan menjadi sebuah keindahan. Yang berbohong adalah manusia ketika bercermin.
Rasulullah s.a.w. tidak memandang manusia berdasarkan penampilan luaran. Sebaliknya Baginda menghormati seseorang dan meletakkannya pada kedudukan yang dihormati oleh manusia lain, sesuai dengan kebersihan jiwa, ketakwaan, kezuhudan, ketinggian akal dan kekentalan hatinya. Baginda tidak membiarkan prasangka dan prejudis menguasai fikiran. Sebaliknya, Baginda melihat seseorang itu dengan perasaan kasih, diiringi dengan doa serta nasihat ke arah kebaikan.
Manusia diciptakan berbeza-beza. Ada di antaranya dilahirkan dengan keadaan fizikal yang dilihat buruk, cacat dan nasib hidupnya tidak sebaik orang lain. Namun mereka ini mempunyai hati yang mulia. Ada yang rajin bersedekah, rajin berusaha, suka mendoakan orang lain, tekun beribadah, tidak suka meminta-minta dan sebagainya. Malangnya kita suka benar menghukum orang lain berdasarkan penampilan fizikalnya. Kita hanya memandang tinggi kepada orang kaya, berjawatan besar, berpakaian kemas, berumah agam dan berbau harum. Kita mudah berasa sombong dan berasa lebih mulia berbanding orang lain. Sedangkan, ukuran mulia dan takwa itu hanya diketahui oleh Allah. Mungkin orang yang kita pandang hina dan perlekehkan itu lebih mulia dari kita.
Kita hidup bermasyarakat dengan berbilang bangsa dan budaya. Hitam atau putih, kaya atau miskin, cacat atau sempurna, busuk atau harum, kita semua manusia. Hiduplah dengan kasih sayang. Doakan sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita dengan doa yang baik-baik. Prasangka itu buruk, kasih sayang itu baik. Manusia seperti mesin. Setiap orang ada peranannya. Tiada orang yang boleh melakukan segala-galanya sendirian. Lalu, berterima kasihlah kepada orang lain, termasuk orang yang kita pandang hina, seperti si pengutip sampah dan si pencuci tandas!
[Dakwah Nov/Dis 2015]
No comments:
Post a Comment