Wednesday, October 7, 2015
Cara Jadi Orang Kaya
Selepas makan di restoran atau gerai, tinggalkan duit baki seringgit dua atau sen sebagai tips kepada mereka yang melayan kita. Tidak akan luak duit dalam poket. Jutawan pun belum tentu boleh buat begini. Ketika isi minyak kereta, lepas atendan pam tolong cucikan cermin atau isikan minyak, ringankan tangan untuk menghulur. Tidak kira apa bangsa sekalipun,kita tidak tahu doa mana yang akan makbul. Mereka yang berkereta mewah dan ada pemandu belum tentu berpeluang buat begitu.
Jika kita singgah solat di mana-mana surau atau masjid,jangan lupa lepas solat seluk poket, cari not paling BESAR untuk disedekah ke tabung masjid. Manalah tahu, mungkin ini sumbangan terakhir kita. Hanya orang yang betul-betul kaya mampu berbuat demikian. Cuba ubah tempat kita beli barang keperluan harian. Kalau selalunya kita ke pasaraya besar seperti Tesco/Giant, cuba membeli di pasar tani pula. Kita dapat tolong penjual/petani. Tidak perlu berkira hendak tawar menawar sayur atau lauk mentah itu. Bila hendak belikan mainan anak, bawa mereka ke pasar malam. Bagi duit RM10, macam-mana mainan boleh beli, sambil bantu peniaga pasar malam. Kalau pergi ke Toys r Us, RM10 untuk buat bayar parkir saja. Bila naik teksi, genapkan tambang itu dengan niat untuk bersedekah. Jika mereka diberi peluang, mungkin mereka pun tidak mahu jadi pemandu teksi.Bukan semua orang berpeluang naik teksi dan jadi penumpang. Adakala kita sedang beratur di kaunter bayaran pasar mini, datang pula budak-budak merengek hendakkan jajan atau gula-gula. Apa salahnya tolong ambil dan bayarkan. Ini buat mereka tersenyum.
Ketika dalam perjalanan balik ke kampung, singgah di mana-mana RNR, liarkan pandangan kita. Tengok orang sekeliling. Ada yang singgah dengan keluarga yang ramai, naik kereta lama berhimpit-himpit. Makan pun macam kena berkongsi. Apa salahnya belikan air atau bayarkan makan walaupun mereka mampu. Masa minum di kedai kopi atau kedai makan,sekali-sekala kita bayarkan makan atau minum orang di meja sebelah.
Jika ada peluang melawat orang sakit di wad, masa hendak belikan buah tangan, belilah ekstra 1 pek. Beri pada jiran sebelah katil pesakit yang kita kunjungi. Doakan ksejahteraan mereka.Besar nilainya bagi orang yang tengah sakit dapat ingatan sebegitu. Orang kenamaan sahaja biasanya ada peluang buat macam itu.Kita tidak memerlukan masa dan saat sesuai untuk menjadi orang kaya. Kita juga tidak perlukan sebab dan alasan tertentu untuk menjadi seperti orang kaya. Apa yang penting adalah KEIKHLASAN. In sya Allah kita akan menjadi seperti orang kaya. Usah khuatir kerana kita tidak akan menjadi seorang papa kalau buat perkara di atas. Hari ini mungkin tangan kita yang memberi, mana tahu esok lusa kita pula yang akan menerima. [Nasihat dari Ustaz Azhar Idrus]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment