Sunday, May 24, 2015

Sekejap Cuma

Di dalam al Quran, Allah banyak menjadikan alam ini sebagai analogi untuk hamba-hamba berfikir dan merenung kebesaran-Nya. Dari langit, Allah turunkan air yang menyuburkan pokok. Pokok mempunyai jangka hayat yang ditetapkan. Bila tiba masa, dedaun mula mengering lalu gugur dan akhirnya pokok pun mati. Begitulah cara Allah menyedarkan hamba-hamba bahawa kehidupan di dunia ini sekejap cuma. Bila hamba beriman melihat kejadian alam dan menyedari betapa singkatnya kehidupan, akan timbul rasa takut di dalam hatinya, dan lalu dia segera ingat kepada Allah S.W.T. yang sedang memerhatikan.


Sebagaimana Allah menurunkan air untuk menghidupkan tumbuhan, begitu jugalah Allah menurunkan al-Quran untuk menghidupkan hati-hati manusia supaya sentiasa mengingati Allah. Allah memberikan manusia akal untuk berfikir, analogi dan fitrah untuk hati, persiapan wahyu dan sebagainya bagi memandu kehidupan manusia supaya terarah kepada-Nya, dan tidak mudah tergoda oleh dunia. Dunia hanya sekadar alat, bukan matlamat. Buat yang terbaik di dunia demi meraih yang terbaik di akhirat. Sebagaimana pokok disuburkan dengan air hujan, Al-Quran dan As-Sunnah dijadikan penyubur hubungan dengan Allah melalui amalan solat, zakat, zikir, selawat, yang mencambahkan iman. Akar iman yang kukuh mampu menjaga insan daripada tergelincir ke lembah dosa.




Allah memang menantikan hati-hati yang sentiasa bekerja mencari Dia di setiap kesempatan. Seorang mukmin melembutkan dan menghidupkan hati yang merupakan raja di dalam dirinya dengan mengarahkan seluruh anggota tubuhnya melakukan kebaikan yang sentiasa dipertingkatkan. Kehidupannya cukup terancang dengan pengambilan makanan dan minuman hanya dari sumber yang halal lagi baik. Hak Pencipta dan hak sesama manusia dijaga rapi. Semuanya dilakukan supaya dia dapat kembali kepada Allah dengan penuh keredhaan-Nya.
Seorang Mukmin sedar sebagaimana pokok mati, dia juga akan merasai kematian. Maut datang tanpa terikat pada usia tua atau sakit. Yang muda dan sihat pun boleh meninggal dunia. Tugas khalifah yang dipikulnya di atas muka bumi ini menyebabkan mukmin itu mengurus diri, keluarga, organisasi tempat dia bekerja dan masyarakatnya sebaik mungkin kerana menyedari bahawa tempoh hidup ini sekejap cuma. Dia ingin kembali kepada Pencipta dengan keredhaan-Nya. Semoga kita semua istiqamah berbuat baik dan menyebarkan kebaikan ke seluruh alam.

No comments:

Post a Comment