Friday, May 29, 2015
Ibadah Lillahi Taala
Allah S.W.T. mencipta jin dan manusia supaya beribadah kepada-Nya. Tiada hamba yang tidak pernah melakukan dosa. Keampunan Allah Yang Maha Luas tidak pernah menolak mana-mana taubat hamba berdosa yang ingin kembali menyerah kepada-Nya. Selangkah menuju Allah, berlangkah-langkah Allah menuju kepada hamba-Nya.Islam bukan sekadar agama tetapi ia adalah cara hidup. Ibadah wajib melibatkan kelima-lima tiang agama, syahadah, solat, zakat, puasa dan haji. Ibadah umum dilakukan pada bila-bila masa sahaja, solat sunat, puasa sunat dan apa-apa sunnah Nabi s.a.w. Semua anugerah Allah S.W.T. seperti mata, telinga, lidah, kaki, tangan, harta-benda dan kemahiran hidup diguna untuk melakukan kebaikan. Dengan ini martabat akan ditinggikan oleh-Nya.
Anggota badan seperti hati, kulit, tangan, kaki, jari jemari, telinga dan mata merupakan saksi bisu yang menurut apa sahaja perintah dari si pemilik iaitu manusia. Lidah memang anggota berkuasa ketika di dunia, namun di akhirat nanti ia paling bisu, terpaksa mendengar dan melihat sahaja persaksian semua anggota tubuh lain mengemukakan fakta dan hujah berpandukan catatan dalam kitab amalan.
Manusia berasa sangat takut memikirkan nasib diri. Syurga dan neraka sudah dapat dilihat nyata. Paling dibimbangi dosa melibatkan manusia lain. Khuatir sangat apabila pahala yang tidak seberapa berpindah ke timbangan orang yang dianiayai. Jika pahala tidak cukup, dosa orang dianiaya pula dipindahkan kepada diri. Akhirnya diri menjadi muflis dan berakhir di neraka.
Dosa dengan Allah dibersihkan dengan taubat nasuha, istighfar, bersujud dan amalan soleh. Allah memang Maha Pengampun. Tetapi permohonan maaf daripada manusia yang dianiayai mesti dilakukan semasa di dunia lagi. Kalau permohonan tidak diperkenankan, sekurang-kurangnya dosa diri telah terlepas. Yang lain itu serahkan sahaja kepada Allah.
Begitulah konsep ibadah dalam Islam, penyerahan diri hamba kepada Allah Yang Satu. Semua yang dilakukan dan ditinggalkan bertepatan dengan redha dan syariat-Nya. Beribadah mengikut ketentuan rukun Islam, berdoa kepada Allah sebelum melakukan sesuatu perkara untuk mendapatkan barakah dan perlindungan-Nya juga adalah ibadah, contoh berdoa sebelum dan selepas makan minum, sebelum tidur dan selepas bangun tidur, masuk dan keluar tandas, ke pasar dan sebagainya. Meninggikan syiar Islam menerusi pembacaan al-Quran, sedekah dan waqaf bagi membantu umat Islam lain, meninggalkan segala larangan seperti minum arak, judi, rasuah, menipu dan sebagainya, menghindari hasutan syaitan laknatullah, semua termasuk dalam rangkuman ibadah.
Ibadah dengan hati (khusyuk), lisan (puji-pujian untuk-Nya) dan dengan anggota tubuh (sujud, rukuk, berangkat ke masjid), ikhlas dilakukan LILLAHI TAALA, tiada perasaan hendak mempamer kepada apa-apa atau sesiapa. Amalan berlandaskan syariat mengikut tatatertibnya, dalam keadaan bersuci (berwuduk) dan menutup aurat. Bila semua ini dipenuhi barulah ibadah itu diterima Allah.
Orang mukmin tidak mengenal apa itu sakit jiwa kerana dia hidup dalam keadaan mampu menerima dan menyesuaikan diri dengan segala yang terjadi. Baik perkara yang menyenangkan mahupun yang menyusahkan.Hatinya selalu dalam keadaan tenteram dan berjiwa tenang. Dia melihat dengan cahaya batin yang bersinar, bahawa dunia ini hanyalah kampung ujian. Hanya tempat singgah, bukan tempat untuk menetap. Hanya bertamu sejenak dalam waktu yang terbatas. Keburukannya akan lenyap dan kebaikannya pun tidak kekal abadi. Yang sanggup dan mampu bersabar menghadapinya, dialah yang beruntung. Dan yang mampu bersyukur dialah yang menang !
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment