Wednesday, May 20, 2015
Abu Dzarr Al Ghiffari
Uthman bin Affan mengutuskan Abu Dzarr Al Ghiffari untuk mengunjungi Mu’awiyah di wilayah Syam.Setibanya di sana, Abu Dzarr memberikan ceramah kepada penduduknya. Di dalam ceramah itu banyak yang menangis kerana dakwah beliau amat menyentuh hati. Di antara kandungan dakwahnya ialah: "Jangan kalian melintasi satu malam dengan dinar atau dirham tersimpan dengan banyak di rumahmu. Jadikan sebahagiannya sebagai infak di jalan Allah." Penyampaian ini membekas di hati setiap yang mendengar termasuk Mu’awiyah bin Abi Sufyan sehingga menitiskan air mata.
Mu’awiyyah ingin menguji sejauh mana Abu Dzarr mengamalkan ucapan di lisannya. Lalu dia pun mengirimkan seribu dinar kepada Abu Dzarr. Setelah menerimanya, Abu Dzarr langsung membahagikan kepada yang memerlukan sehingga habis semuanya. Pada esoknya Mu'awiyyah memanggil petugasnya dan berkata, "Pergilah berjumpa Abu Dzarr dan katakan wang seribu dinar itu sebenarnya untuk orang lain. Kamu telah tersilap dan menyerahkan wang itu kepada dia. Kerana tidak berani membantah, lantas petugas itu menemui Abu Dzarr dan memberitahu, "Selamatkan aku dari murka Mu’awiyyah. Tolong pulangkan wang seribu dinar itu." Dengan tenang Abu Dzarr membalas, "Sampaikan salamku kepada Mu’awiyyah. Aku tidak mempunyai satu dinar pun kerana aku telah menginfakkannya kepada yang memerlukan.Berikan aku 3 hari untuk menggantikannya."
Sekembalinya, petugas itu pun menyampaikan jawapan Abu Dzarr. Setelah diselidiki memang terbukti Abu Dzarr telah membahagi-bahagikan kesemua dinar itu kepada yang memerlukan. Dengan peristiwa ini, Mu’awiyyah pun yakin bahawa peribadi Abu Dzarr memang selurus ucapannya. [Ustazah Siti Nurbaya Usman]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment