Monday, May 18, 2015
Pikul Sendiri
Seseorang hamba yang mematuhi perintah Allah, dia akan dapat pahala, tetapi jika perintah itu dilanggar, dosa pasti menanti. Setiap manusia menanggung dosa masing-masing. Ibu bapa wajib mengajar anak-anak tentang halal haram, yang benar dan yang batil supaya mereka menjadi insan beriman dan bertaqwa apabila dewasa kelak. Bapa mendidik anak-anak kecil dengan baik dan akan menanggung apa jua dosa yang mereka lakukan. Namun, selepas anak-anak mencapai usia akil baligh, pahala dan dosa perbuatan mereka dipikul sendiri. Dalam alam rumahtangga pula suami wajib mengajar isteri tentang halal haram dosa dan pahala. Jika selepas dididik isteri tetap juga melakukan dosa, maka dosa itu ditanggung oleh isteri itu sendiri.
Dosa yang dilakukan tanpa sengaja seperti termakan atau terminum pada bulan puasa, maka puasa itu tidak batal. Atau, termakan makanan yang diyakini kehalalannya namun terbongkar rahsia bahawa ia mengandungi sesuatu yang haram, maka itu tidak mendatangkan dosa. Andai kata tersesat dalam hutan, atau dalam keadaan menjadi pelarian dari tempat sendiri akibat kezaliman seseorang atau sekumpulan orang, lalu dalam keterpaksaan memakan makanan yang haram bagi mengelakkan kemudaratan pada diri, maka hukumnya harus dan hamba itu tidak berdosa. Pun begitu usaha harus dilakukan untuk mencari makanan yang halal.
Jika melakukan dosa-dosa besar, kembalilah kepada Allah dengan melakukan taubat nasuha dan bertekad tidak mengulanginya. Untuk membersihkan diri dari dosa-dosa kecil, lazimi diri untuk beristighfar, berzikir, bersedekah dan melakukan apa jua kebaikan. Dosa kecil jika terus menerus dilakukan akan menjadi dosa besar. Oleh itu mohonlah keampunan Allah dengan taubat nasuha dan menjauhi dosa-dosa itu secara total.
Masalah besar masa kini ialah ramai yang sengaja suka-suka dan mudah berkongsi dosa di laman sosial. Orang yang memuat naik foto atau cerita jelek dan juga orang yang melihatnya sama-sama berdosa. Dosa bagi orang yang memuat naik semakin bertambah dengan bilangan orang yang melihat foto dan cerita jelek itu. Bayangkan kalau yang melihatnya dalam jumlah ribuan atau jutaan. Ingatlah, selain amal jariah, ada juga DOSA JARIAH, iaitu dosa yang terus mengalir meskipun orangnya sudah meninggal dunia.Sanggupkah memikul balasan seksa nanti? Na’uudzubillaah. Demi kehidupan abadi di akhirat, segeralah insaf dan bertaubat. Hapuskan semua yang jelek sebelum maut datang memanggil. Kalau kebaikan yang dibuat itu sedikit, jangan pula memperbanyakkan dosa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment