Sunday, February 8, 2015
Sedekah - Indahnya Memberi
Dari Abu Mas’ud r.a., katanya: “Kami diperintahkan Rasulullah s.a.w. supaya bersedekah, sedangkan kami hanya bekerja buruh kasar. Namun Abu ‘Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lain (pun) mengikutinya dengan menyedekahkan apa sahaja, ada yang lebih banyak daripada itu.Melihat keadaan itu, orang-orang munafik berkata: Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Dia tidak memerlukan sedekah ini dan itu. Dan mereka melakukan ini semua hanya kerana riyak semata-mata”.
Kerana ucapan mereka itu, maka turunlah ayat: “(Orang munafik) iaitu yang mencela orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela, dan (mencela) orang yang tidak memperoleh sesuatu (untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka, maka orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu dengan seksaan yang pedih.” (Surah At Taubah ayat 79). [ Shahih Muslim no. 975]
Sedekah jariah berupa dana bantuan dan keperluan bagi pihak yang memerlukan. Manfaatnya berterusan hingga ke akhirat. Hukum alam menentukan KITA DAPAT APA YANG KITA BUAT KERANA ALLAH. Bila pokok yang kita tanam berbuah lebat, janganlah disimpan di pokok sahaja. Ada baiknya SEDEKAH sedikit kepada jiran. Ketika lalu-lalang di kawasan kita, tentu mereka geram juga melihat buah-buahan yang bergayut itu. Kalau dibiarkan sahaja, akhirnya ia buruk di pokok dan gugur ke bumi. Cukup merugikan bila nikmat Allah tidak dikongsi bersama. Jika sesekali buah-buah itu dimakan haiwan seperti tupai, burung atau monyet, jangan pula disumpah seranah. Hakikatnya itu pun sedekah.
Andai kita menyediakan juadah, lebihkan sedikit untuk dihulur kepada orang di sebelah rumah. Takkanlah kita hendak biarkan mereka mencium baunya sahaja. Semakin banyak kita SEDEKAH, semakin banyak keberkatan dan kemurahan rezeki yang Allah beri.
Bila melihat seseorang dalam keadaan berdukacita dan rendah keyakinan diri, berilah dia motivasi bagi menguatkan semangatnya. Jangan dibiarkan dia murung berterusan. Kita tidak dapat meneka apa yang ada di fikirannya. Dikhuatiri dia mengambil langkah nekad yang merosakkan dirinya sendiri. Kata-kata motivasi yang kita beri itu adalah sebahagian daripada SEDEKAH.
Letakkan Al-Quran, tasbih, minyak wangi, sejadah, telekung, kerusi lipat yang berkualiti, buku dan majalah Islamik di masjid, surau atau musolla di pasar raya atau kawasan rehat dan rawat di lebuh raya.Benda-benda baik yang kita SEDEKAHKAN tentu akan ada orang yang menggunakannya, terutama orang-orang tua dan orang kurang upaya.
Di Turki, ketika tiba musim salji, burung-burung sukar mencari makanan, lalu orang-orang di sana menggantungkan makanan di pokok untuk membolehkan burung-burung itu makan.Kita juga boleh mempraktikkannya di sini. Makanan burung yang dibeli dari kedai haiwan peliharaan itu kita gantungkan di pokok atau pagar. Seronok dapat melihat burung berwarna-warni makan sambil berkicauan.
Sediakan peruntukan khas untuk DISEDEKAHKAN ke tabung masjid setiap kali datang bersolat. Atau,boleh juga dihulur atau diwakafkan kepada rumah anak-anak yatim dan fakir miskin. Sekurang-kurangnya kita menyumbang kepada kemakmuran ummah.
Bila bertandang ke rumah jiran, saudara-mara atau sahabat handai, jika diizinkan oleh tuan rumah, ringan-ringankanlah tangan untuk membasuh pinggan atau cawan yang kita gunakan. Sekurang-kurangnya legalah sedikit beban tuan rumah. Tenaga sedikit yang kita sumbangkan itu hakikatnya adalah SEDEKAH.
Selepas menggunakan tandas awam seperti di stesen minyak atau kawasan rehat dan rawat lebuh raya, tiada salahnya kita mengambil hos getah itu dan pancutkan air di atas lantai bagi membersihkan kesan kotoran tapak kasut.Ini juga cara bersedekah.
Sambil duduk-duduk di atas karpet masjid atau surau ketika mendengar kuliah atau tazkirah, kutiplah sampah-sampah kecil dan seumpamanya. Masukkan ke dalam plastik kecil dan simpan dalam kocek atau beg. Buang plastik itu ke dalam tong sampah bila berjalan keluar. Boleh juga disusun selipar dan kasut pengunjung masjid atau surah, siap sedia menghala ke arah jalan. Ini memudahkan orang untuk memakainya tanpa perlu memusingkan badannya seperti selalu.
Hakikatnya, laman sosial dan blog adalah wacana paling baik untuk bersedekah ilmu. Jangan campakkan diri kita ke dalam api neraka dengan menyebarkan fitnah dan segala perkara yang buruk. Lebih ramai yang membaca dan mengamalkan, lebih banyak pahala yang kita raih.
Yang penting, jangan kedekut dan jangan tamak. Perkataan tamak itu sendiri terdiri dari 3 huruf iaitu tha, mim dan 'ain. Ketiga-tiga huruf ini berongga dan berlubang. Oleh kerana itu orang tamak tidak akan pernah kenyang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment