Sunday, February 15, 2015
Hitam Putih Kehidupan
Dunia adalah DARUL ASBAB iaitu tempat berlakunya sebab dan akibat. Jom cipta sebanyak-banyak kebaikan kerana ia merupakan satu-satunya hal yang tidak pernah mati apabila seseorang hamba kembali ke kampung abadi.
Dalam kehidupan seharian, lihatlah yang hitam dengan hati putih (bersih). Dengan demikian kita mampu mendapat yang putih (kebaikan) daripada satu titik hitam (keburukan). Sangka baik, dapat baik. Rasulullah s.a.w. dibaling batu ketika berdakwah di Taif namun terus bersangka baik sehingga mendoakan, “Ya Allah, ampunkan kaumku kerana mereka tidak tahu. Aku mengharapkan zuriat mereka kelak akan beriman dengan seruanku.” Dalam bersangka baik, perlu juga ditegur sekiranya berlaku kesalahan dan kemungkaran secara terang-terangan dan berulang-ulang. Bila berdepan dengan orang yang sudah punya rekod buruk, reputasi negatif serta kita sendiri pernah mengalami pengalaman yang pahit akibat perbuatannya, jangan bersangka buruk, tetapi berhati-hati. Berilah peluang untuk dia percayai kita dan untuk kita sendiri mempercayainya, namun beringat-ingatlah supaya tidak jatuh dalam ‘lubang’ yang sama dua kali atau berkali-kali.
Jangan mudah menghukum terutama sebelum kita benar-benar kenali seseorang itu.Orang yang sibuk menghukum tidak akan sempat memberi kasih sayang. Kekadang belum pun berkenalan, apa lagi bercakap-cakap, baru melihat wajahnya sahaja terus hati terdetik akan keburukan dan kelemahannya. Acap kali seseorang dihukum kerana kisah lama, sedangkan mungkin dia telah berubah. Orang baik dapat melihat kebaikan, orang jahat hanya melihat keburukan. Soalnya, bukan ‘apa’ yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Dan bagaimana kita melihatnya bergantung kepada siapa diri kita – who you are determine how you see. Untuk mendapat kebaikan dalam kehidupan, betulkan dahulu pandangan mata hati dan fikiran.Ingatlah, orang yang tidak memberi kasih sayang, tidak akan mendapat kasih sayang.
LETAKKANLAH LIDAH DI HATI.....BUKAN MELETAKKAN HATI DI LIDAH !!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment