Tuesday, June 25, 2013

Selamat Lantaran Sedekah

serenemaklong.blogspot.com




HARI itu hari Ahad. Usai solat subuh, Said menyiapkan barang-barang yang bakal dibawa untuk keluar berekreasi seperti kebiasaannya pada setiap hujung minggu. Barang-barang itu hendak dibawa turun dari pangsapurinya di tingkat 12 ke keretanya yang sudah diparkir berdekatan dengan pintu masuk utama sejak malam tadi.

Di blok pangsapuri bersebelahan, rakannya, Ahmad turut membuat persediaan untuk pergi bersama-sama Said ke tempat yang telah mereka persetujui. Sejurus kemudian Ahmad menelefon Said.

“Assalamualaikum, kau dah siapkah? Ingat, ya, kali ini kita pergi dengan kereta masing-masing. Dah kerap benar aku menumpang kereta kau.”

Pagi itu kedua-duanya memandu kereta secara beriringan dengan kadar kelajuan yang sama. Hari masih awal, tidak banyak kenderaan berada di atas jalan raya. Maklum saja, hujung minggu. Seronok sekali memandu dalam keadaan tanpa kesesakan lalulintas seperti hari-hari bekerja.

Di suatu tempat mereka berdua terlihat seorang lelaki tua miskin yang meminta belas kasihan kepada setiap pengguna jalan raya. Said memberhentikan keretanya bersebelahan dengan lelaki tua itu dan menghulurkan beberapa ringgit kepadanya, berbeza dengan Ahmad yang hanya berlalu pergi begitu sahaja.

Disebabkan lelaki tua tadi, Said masuk ke lebuh raya agak terlewat sedikit. Setibanya di suatu selekoh dia melihat beberapa buah kereta berhenti di tepi jalan. Said  memperlahankan kereta sambil memanjangkan leher untuk melihat apa yang berlaku.

Dia sudah mengagak bahawa itu tentunya satu kemalangan. Yang membuat dia terkejut besar ialah kereta yang terbabit itu ialah kereta Ahmad. Dia tidak faham bagaimana kereta Ahmad boleh terjatuh ke gaung. Dia menangis sambil menghubungi pihak berwajib.

Dia teringat bahawa jika dia tidak berhenti dan bersedekah kepada lelaki tua tadi mungkin dia yang mengekori Ahmad turut terlibat dalam kemalangan tersebut.

Benarlah seperti sabda Rasulullah saw: Perbuatan baik dapat menghindar kematian yang buruk (HR Tabrani).  

Sesungguhnya sedekah mampu memadam kemurkaan Allah swt dan mampu menolak dari kematian yang buruk (HR Tirmizi). 

No comments:

Post a Comment