serenemaklong.blogspot.com
TABAL JIN adalah
merupakan suatu istiadat turun temurun bagi Salahsilah Kesultanan Perak. Cuma Negeri
Perak sahaja yang mengadakan istiadat TABAL JIN di Tanah Melayu ini.
Negeri Perak merupakan
salah satu negeri tertua di rantau ini dan Sultan yang memerintah biasanya
didampingi oleh JIN-JIN Islam. Di sini kedaulatan seseorang Sultan itu dapat
dilihat ketika dinobatkan dahulu pada hari pertabalan baginda. Istiadat Tabal
Jin ini biasanya dilakukan pada sebelah senja/malam dan diterangi hanya oleh
dian (lilin) sahaja.
Istiadat TABAL JIN
dimulakan dengan paluan NOBAT DIRAJA pada sebelah senja, sehari selepas
Istiadat TABAL ADAT disempurnakan. Istiadat ini dilakukan pada waktu malam. Selepas
Jejawat Berlembing dan Jejawat Berpayung Obor serta Jejawat Perempuan memegang
kaki dian dan Benara Perempuan membawa Perkakas Istiadat Merenjis mengambil
tempat masing-masing di dalam Balairong Seri didahului oleh Panglima Dalam dan
diapit oleh Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri, dan di belakangnya
Pawang DiRaja menatang PEDANG CURA SIMANJA KINI, bersama Toh Seri Nara DiRaja
menatang PONTOH BERNAGA dan PONTOH ULAR LIDI di atas talam berlapikkan kain
kuning dan diikuti oleh Sida-Sida. Biduanda-Biduanda menatang PERKAKAS KERAJAN
masuk ke Balairong Seri dan diletakkan kesemuanya di atas meja yang disediakan
diiringi dengan paluan NOBAT.
Selepas itu Pawang
DiRaja dengan menatang PEDANG CURA SIMANJAKINI dan Toh Seri Nara DiRaja
menatang PONTOH BERNAGA dan PONTOH ULAR LIDI keluar dari Balairong Seri didahului
oleh Panglima-Panglima masuk ke Kamar Persenangan lalu mempersembahkan kepada
Ke bawah Duli Paduka Seri Sultan. Baginda kemudian diiringi berangkat ke
Balairong Seri dengan iringan paluan NOBAT 'Raja Berangkat'.
Apabila sampai di Singgahsana, Baginda Sultan akan bersemayam diatas 'Chior Keemasan' yang disediakan di hadapan Singgahsana. Kemudian Pawang DiRaja mengadap dan mempersembahkan PEDANG CURA SIMANJAKINI kepada Baginda Sultan yang akan meriba Pedang tersebut.
Selepas itu PERKAKAS KERAJAN dibawa mengadap oleh
Sida-Sida dan Biduanda-Biduanda ke hadapan Baginda Sultan. Kemudian dikuti pula
oleh Bentara Toh Ratna Senari dan Bentara Toh Ratna Wati masuk mengadap membawa
PERKAKAS ISTIADAT MERENJIS dan dikuti pula oleh Toh Setia Guna (Ketua Nobat)
bersama Ahli-Ahli Nobat DiRaja masuk ke Balairong Seri memohon limpah perkenan
Baginda untuk meletak PERKAKAS NOBAT DIRAJA di tempat yang telah disediakan.
Kemudian 'Istiadat Memulih' PERKAKAS KERAJAN dan PERKAKAS
NOBAT DIRAJA dijalankan dan juga 'Merenjis Tepung Tawar'. Setelah selesai,
bacaan Doa Selamat disempurnakan oleh Sahibul Mufti Kerajaan Negeri Perak.
|
Contoh
Mandi Sampat
|
Setelah selesai upacara
'Memulih Perkakas Kerajaan dan Merenjis Tepung Tawar', diikuti pula dengan
'Istiadat Bersiram Tabal' (Mandi Sampat) dimulakan di PANCA PERSADA. Baginda
Sultan dan isteri akan berangkat dari Pintu Besar Istana. Pawang DiRaja memulakan
'Istiadat Mengelilingi Balai Panca Persada' sebanyak tujuh kali dan dibantu
oleh Bomoh dan Pawang Tempatan serta Bentara-Bentara yang membawa 'Perkakas
Merenjis'. Sepanjang keberangkatan Baginda NOBAT dipalu sehingga Baginda
bersemayam di atas 'Perterakna Seri Panca Persada'.
Semua Putera dan Puteri
baginda akan mengambil tempat di belakang Perterakna serta diringi oleh Yang Berbahagia
Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar DiRaja, Yang Berbahagia Orang
Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar DiRaja dan Yang Berbahagian Orang
Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan. Istiadat 'Merenjis Tepung Tawar' disempurnakan dan diikuti
dengan bacaan Doa Selamat oleh Sahibul Samahan Mufti Kerajaan Negeri Perak.
Selepas itu 'Upacara
Bersiram Tabal' (Mandi Sampat) pula dimulakan oleh Pawang DiRaja sendiri dari
awal hingga akhir ke atas Perkakas Istiadat Bersiram Tabal. Kain putih
direntangkan dan daun kelapa muda bentuk jari lipan ditaruhkan ke atas kain
putih yang diregang dan dipegang oleh Toh-Toh Puan di tiap-tiap penjuru.
Istiadat Bersiram Tabal
dimulakan dengan mengambil sebatil GELUK berisi Air Datu dan dicurahkan ke atas
kain putih sehingga habis Enam Belas Batil GELUK yang berisi air. NOBAT
dipalukan sepanjang Istiadat Bersiram Tabal. Setelah selesai Istiadat Bersiram
Tabal, Baginda berdua akan bersalin pakaian dan berangkat turun dari Seri Panca
Persada berselimut dengan 'Kain Benang Emas Kekuningan', dan diarak balik ke
ISTANA.
Setelah menukar kepada
Pakaian Kebesaran DiRaja, DYMM Paduka Seri Sultan Perak akan berangkat masuk ke
BALAIRONG SERI (NOBAT dipalu) dan bersemayam di atas PETERAKNA SINGGAHSANA.
Pawang DiRaja memulakan 'Istiadat Merenjis Air Panca Bicara' ke atas PERKAKAS
KERAJAAN yang sedia ada terletak di atas meja di hadapan Singgahsana, 'Merenjis
Tepung Tawar' ke atas Baginda Sultan dan diikuti dengan meletakkan 'BUNGA
PENCAWA PENCARA' di telinga Baginda.
Pada waktu istiadat ini
NOBAT DIRAJA akan memainkan lagu di antara empat hingga sembilan lagu. Toh
Setia Guna (Ketua Nobat) akan memerhatikan gerak-geri Paduka Seri Sultan ketika
paluan NOBAT dipalukan. Dari sini, kedaulatan seseorang Sultan itu akan dapat
diketahui.
Daulat
Tuanku
|
Mengikut adat,
sekiranya Baginda dapat bertahan lama di atas Singgahsana (iaitu dapat bertahan
sehingga tujuh lagu ke atas dipalukan oleh NOBAT) ini menunjukkan pertabalan
Baginda telah direstui oleh JIN-JIN KERAJAAN dan Baginda akan memerintah Negeri
Perak lama atau pun panjang umur.
Akan tetapi sekiranya
Baginda hanya dapat bertahan empat atau lima lagu sahaja...petandanya umur
Baginda mungkin pendek. Toh Setia Guna akan memberi isyarat kepada Ahli Nobat
supaya memberhentikan paluan NOBAT apabila melihat Baginda Sultan dalam keadaan
'resah gelisah' di atas Peterakna Singgahsana.
Sewaktu NOBAT
dipalukan, PEDANG CURA SIMANJAKINI akan 'bergerak-gerak' dengan sendirinya (di mana
seakan-akan hendak keluar dari sarungnya). Ini menunjukkan JIN KERAJAAN beserta
dalam ISTIADAT TABAL JIN ini dan merestui pertabalan Baginda. Istiadat TABAL
JIN selamat disempurnakan selepas upacara 'SANTAPAN NASI BERASTANOKA'
dijalankan dengan bacaan doa selamat.
istiadat pertabalan yang unik
ReplyDelete