Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (wafat 728H);
فإن الرد بمجرد الشتم والتهويل لا يعجز عنه أحد
'Sekiranya membantah orang itu hanya sekadar dengan cacian dan celaan maka semua orang pun boleh melakukannya.'
Apabila kita tidak bersetuju dengan sesiapa pun maka lakukanlah perkara berikut;
1. Menyatakan hujah terhadap isu, bukan individu
2. Membantah dan menolak pendapat, bukan orangnya
3. Mendoakan kebaikan dan mengharapkan maslahat
4. Tidak membuka ruang fitnah atau pertengkaran yang buruk
5. Menginginkan kebenaran, bukan habuan duniawi
Apabila ada kekurangan pada niat, tujuan dan cara teguran maka jadilah nasihat bertukar kepada celaan dan kejian, lalu permusuhan akan timbul dalam masyarakat.
Diriwayatkan bahawa anak kepada Imam al-Fudhail bin Iyyad rahimahullah (wafat 187 H) pernah berkata kepada bapanya;
يا أبتِ، ما أحلى كلام أصحاب محمد ﷺ فقال : يابني، وتدري لما حلا؟ قال : لا قال : لأنهم أرادوا الله به
'Wahai ayahanda, betapa indahnya ucapan para sahabat Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam.
Lalu Fudhail pun berkata kepada anaknya, ‘Anakku, tahukah kamu kenapa ia menjadi indah?
Anaknya pun menjawab tidak tahu.
Lalu Fudhail pun menjawab; 'Ini adalah kerana mereka hanya menginginkan keredhaan Allah daripada ucapan mereka.' [Shu’ab al-Iman, Al-Baihaqi]
Diriwayatkan bahawa Imam Muhammad bin Sirin rahimahullah (wafat 110 H) berkata;
ظلمت أخاك إذا ذكرت مساوئه ولم تذكر محاسنه
'Kamu telah menzalimi saudaramu apabila kamu hanya menyatakan keburukannya tanpa menyebutkan kebaikan-kebaikannya.' [Al-Jami lil Akhlak al-Rawi, Al-Khatib Al-Baghdadi]
[Sumber: Ustaz Emran Ahmad]
Contoh yang diberikan oleh Ustazah Siti Nurbaya:
Pada malam Ramadhan pertama, seorang ulama telah mendatangi masjid dan melihat jemaah masjid itu telah terbahagi dua pihak. Mereka sedang berselisih faham. Satu pihak menjelaskan bahawa solat terawih sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w. adalah 11 rakaat.
Pihak yang satu lagi pula merujuk pada hadis lain yang menegaskan bahawa solat terawih dengan 23 rakaat lebih utama. Kedua kumpulan saling membidas dengan menggunakan dalil masing-masing,
Ulama itu bertanya kepada kedua-dua belah pihak, "Apakah hukum solat terawih?"
Mereka menjawab, "Sunnah."
Beliau bertanya lagi, "Apakah hukum bertengkar di rumah Allah (masjid), apa lagi dengan suara yang keras?"
Mereka menjawab, "Haram!"
Tegur ulama itu lagi, "Mengapa kalian berselisih faham sehingga melakukan perkara yang haram untuk mempertahankan sunnah?"
Dalam kata lain ulama itu ingin menerangkan MENGAPA HARUS MEMPERTAHANKAN FIQH DAN MENJATUHKAN AKHLAK MASING-MASING. SEDANGKAN PUASA ADALAH AJARAN UNTUK MEMBENTUK PERIBADI LEBIH BERAKHLAK
No comments:
Post a Comment