Friday, February 26, 2016
Tidakkah Rasa Malu
Hukum melihat gambar-gambar porno adalah haram, berdosa dan tidak bersyukur kepada Allah terhadap nikmat mata.
Memelihara pandangan, penglihatan merupakan suatu yang diperintahkan oleh Allah. Di dalam al-Quran secara jelas dalam surah al-Nur yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat dalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (al-Nur: 30)
Ayat ini diturunkan bagi mendidik umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. daripada melihat ke arah wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Tegahan dalam ayat ini adalah larangan daripada melihat ke arah perempuan yang mendedahkan aurat semata-mata. Apatah lagi sekiranya melihat gambar-gambar porno.
Adapun kesan daripada melihat perkara-perkara porno akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan beberapa masalah, di antaranya ialah:
*Terangsang untuk melakukan perbuatan buruk atau perbuatan yang terkutuk, mungkin juga akan membawa seseorang itu untuk melakukan zina. Sebab jelas dalam ayat di atas kaitan mata dengan kehormatan iaitu kemaluan.Mata yang boleh melihat merupakan kurniaan Allah dan kehebatan mata ini tidak ubah seperti kamera digital melihat merakam dan menyimpannya dalam memori ingatan minda. Akhirnya gambar-gambar porno yang dilihat akan mengganggu fikiran serta mendesak untuk melakukan perbuatan yang terkutuk. Perkara ini juga akan menyebabkan seseorang itu terdedah untuk melakukan jenayah sumbang mahram, mencabul atau merogol.
*Merosakkan hati yang dikurniakan oleh Allah untuk menginggatinya dengan berzikir serta berfikir perkara-perkara yang baik untuk dirinya dan untuk kebaikan orang lain. Para salafusoleh telah berkata: “Pandangan ke arah perkara-perkara yang ditegah adalah panahan daripada panahan syaitan” (ibn Kathir, jld:3, hlm: 283).
*Hilangnya nur, cahaya kebaikan di wajah seseorang yang suka melihat gambar-gambar porno.
*Ibadatnya juga terganggu, mungkin tidak dapat memfokuskan diri dalam melakukan solat dan amalan-amalan yang lain.
Kesimpulannya ialah, seseorang yang suka melihat gambar-gambar porno dengan melayari laman web yang menyajikannya akan berhadapan dengan gangguan emosi yang tidak stabil.Hal ini akan menyebabkan seseorang itu merosot kualiti hidupnya, sama ada dalam urusan agama mahupun dalam urusan kerjaya. Wallahua'lam
[Sumber: Hairul Nizam Ijam]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment