Sunday, February 28, 2016

Perasaan Menghubungkan Kasih Sayang


Semua orang inginkan syurga. Untuk ke sana memerlukan redha Allah dan redha ibu bapa. Tetapi ada manusia moden yang tidak pedulikan hal ini. Demi keselesaan diri, ibu bapa tua dihantar ke rumah kebajikan. Ibu bapa yang kempunankan ziarah anak-anak akhirnya meninggal dunia dengan dikelilingi rakan-rakan senasib dan kakitangan rumah kebajikan.

Ada kisah pilu yang dikongsikan kepada Ustazah Hafizah Musa oleh seorang wanita yang bertugas sebagai pengurus jenazah sebuah syarikat swasta.

Selesai memandikan dan mengkafankan jenazah seorang ibu tua, petugas berkenaan berkali-kali memanggil anak-anak almarhumah supaya memberikan penghormatan terakhir. Tetapi panggilannya tidak diendahkan. Sebaliknya mereka yang sibuk dengan gajet di tangan masing-masing mahukan jenazah itu segera dihantar ke tanah perkuburan .

Lantas petugas itu merangkul jenazah dan berkata, "Sayalah anak ibu dunia dan akhirat. Saya yang memandi dan mengkafankan ibu. Saya menjadi saksi di depan Allah nanti betapa banyaknya kebaikan yang ibu buat semasa hidup di dunia."

Sungguhlah, kasih sayang insan dihubungkan oleh perasaan, bukan pertalian darah. Mungkinkah syurga dunia yang sementara ini lebih penting dari syurga Allah yang abadi?

No comments:

Post a Comment