Friday, February 26, 2016

Demi Kita Doakan Saudara Juga


Setiap yang hidup akan merasai mati. Dan, sebaik-baik kematian ialah apabila kita meninggalkan anak cucu yang soleh, yang sentiasa mendoakan kita, juga sedekah jariah dan ilmu bermanfaat.

Namun cuba kita fikirkan apa akan jadi pada kita apabila doa-doa yang selama ini dipanjatkan oleh anak cucu kita terhenti apabila mereka juga kembali ke rahmatullah. Tentu roh kita di barzakh akan terasa kering dari rahmat-Nya.

Oleh kerana itu, janganlah kita bataskan doa kita hanya di kalangan keluarga semata-mata. Sebaik-baiknya doakanlah juga semua saudara Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat, sama ada yang masih hidup atau telah mati.Apabila kita berbuat kebajikan kepada orang lain, kebaikan kita akan dibalasi oleh Allah.

Allah mungkin menggerakkan hati orang susah yang pernah kita bantu di segi material dan sokongan moral untuk mendoakan kesejahteraan roh kita. Begitu juga Allah mampu mendatangkan doa buat kita dari orang yang telah mendapat inspirasi dan motivasi hasil dari tulisan baik-baik yang kita sampaikan di media sosial.

Mereka itu penduduk dunia yang tidak kenal kita, tetapi tulisan kita yang mampu dicapai melalui Internet telah mengubah persepsi mereka tentang hidup. Mereka mungkin tersilap masuk ke simpang kehidupan. Kita pula umpama gembala yang membolehkan “kambing tersesat” mencari jalan pulang ke fitrah. Kambing tersesat tidak harus dibiarkan kerana ia boleh menjadi mangsa “serigala” yang kejam.

Allah Yang Maha Berkuasa juga boleh saja menggerakkan hati orang-orang yang mendapat manfaat hasil dari sedekah jariah/wakaf kita untuk turut mendoakan kesejahteraan roh kita. Pemberi wakaf berterusan menerima pahala kebaikan sehingga hari kiamat.

Semua cara ini hanya sebahagian saja yang boleh difikirkan oleh manusia, sedangkan Allah Yang Maha Penyayang mempunyai segala macam cara terhebat untuk membalasi kebaikan hamba-hamba-Nya. Wallahualam.



No comments:

Post a Comment