Saturday, February 13, 2016

Solat Itu Sekejap Cuma


Solat adalah hubungan Allah dan hamba-Nya. Solat bererti DOA, tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Yang membezakan orang Islam dan orang kafir ialah solat 5 waktu.Solat adalah nyawa manusia. Yang tidak solat umpama mati. Kalau biasa melewatkan solat, mungkin satu hari nanti semua solat akan terabai dan ditinggalkan begitu sahaja. Percuma dapat dosa kering. Di Padang Mahsyar nanti, orang yang meninggalkan solat akan memecahkan kepalanya sendiri ke batu hingga pecah berkali-kali.


Jangan biasa lewatkan solat. Seseorang yang solat di hujung waktu, andai kata dapat rakaat awal tetapi telah kedengaran azan untuk waktu solat yang sebenar sebelum dia selesai rakaat berikutnya, maka solat yang dikerjakan itu sudah jatuh sebagai solat qadak. Nabi s.a.w. pernah menjamakkan solat ketika hujan turun lebat yang menghalangnya pergi bersolat di masjid tepat pada waktunya. Namun dalam konteks biasa HARAM MENJAMAKKAN SOLAT. Orang yang mengumpulkan dua atau lebih solat dalam satu waktu dikategorikan sebagai ORANG YANG LALAI DALAM SOLAT. Itu dosa besar, baginya Neraka Jahanam.


Solat boleh dilewatkan sedikit sekiranya ada majlis ilmu ketika azan berkumandang. Tetapi ia tidaklah terlalu lama. Solat juga boleh dilewatkan ketika terasa hendak segera ke bilik air sedangkan solat jemaah hampir bermula. Atau, ketika cuaca terlalu panas (dalam konteks negara Arab), juga ketika makanan telah terhidang. Jamahlah sedikit makanan itu dan segera mengerjakan solat. Orang uzur yang sukar hendak pergi awal untuk solat Jumaat di masjid, boleh pergi lewat sedikit. Ulama berselisih pendapat mengenai melewatkan solat Isyak. Tetapi itu pun menurut syarat-syarat tertentu. Yang afdalnya ialah solat Isyak di awal waktu. Dahulukan perintah Allah dalam apa jua ibadah berbanding urusan manusia. Ibadah yang ikhlas sangat Allah cintai dan diberi ganjaran besar.


Untuk mengelakkan sikap melewatkan solat, tip pertama ialah sentiasa ingat bahawa Allah sentiasa hampir dengan hamba-Nya. Oleh itu segeralah hampiri Dia melalui solat dan sujud. Tip kedua, rekodkan dalam minda tentang waktu-waktu solat dan patuhinya sebaik mungkin.Dekati orang-orang yang menjaga solat supaya solat kita terpelihara.

[Sumber: Program Tanyalah Ustaz bertajuk "Kejap 5 Minit" oleh Ustaz Roslan Mohamed di TV 9]

No comments:

Post a Comment