Monday, February 22, 2016
Hormati Pemimpin Adil Patuhi Syariat Islam
Pemimpin yang melaksanakan pimpinan dan pemerintahan dengan adil, saksama, jujur, ikhlas, amanah, menegakkan yang makruf dan menentang yang batil serta memenuhi perintah serta amanah Allah SWT wajib dihormati selari dengan seruan dalam al-Quran.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, para pemimpin yang dipilih mempunyai tanggungjawab berat untuk memimpin ummah ke jalan yang lurus dan diredai Allah SWT agar umat Islam terus dilimpahi keberkatan dunia serta akhirat.
“Pada hari kebangkitan, beban tanggungan pemimpin amatlah berat kerana kesanggupannya menerima amanah. Setiap perkataan dan segala perbuatannya akan dihitung dan ditimbang. Antara sifat-sifat utama seseorang pemimpin adalah menjauhkan diri daripada tergelincir aqidah hingga ke peringkat sanggup menghambakan jiwa raga kepada kebendaan, bertuankan insan lain, bersekutu dan bersubahat merestui perbuatan mungkar,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada penutupan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-37 di Pusat Konvensyen Amanjaya di sini, semalam. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.Selain itu, Sultan Nazrin bertitah bilangan huffaz yang bertambah ramai serta kecenderungan ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti kelas tahfiz ketika ini merupakan satu petanda yang baik.
Baginda bertitah pada masa ini terdapat 54 pusat serta sekolah yang melaksanakan pengajian tahfiz di Perak dan ia memberi manfaat kepada 4,910 pelajar.
“Para huffaz berperanan penting membantu memelihara keaslian dan melindungi kesahihan al-Quran,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut bertitah al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca dan dihafal, tetapi ia juga menuntut kepada pemahaman serta penghayatan bagi mengupayakan manusia melihat dunia dengan perspektif baharu.Titah baginda, selain berperanan sebagai kompas yang membantu pembentukan adab dan budaya, al-Quran turut berfungsi sebagai sumber inspirasi untuk membolehkan umat Islam mencipta tamadun agung dan mencapai mercu kegemilangan.
Pada majlis itu Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenaan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-37 berlangsung selama lima hari mulai 16 Feb lalu dan disertai 78 huffaz dari seluruh negara. — Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment